5 December 2011

Ucapan Penggulungan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi Sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011

UCAPAN PENGGULUNGAN

NAIB PRESIDEN UMNO, DATUK SERI AHMAD ZAHID HAMIDI

SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2011, DEWAN MERDEKA, PWTC

3 DISEMBER 2011
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum WarahmatullahiWabarakatuh

Datuk Pengerusi Tetap, Datuk Seri Presiden, Tan Sri Timbalan Presiden, Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

Saya merasa terpanggil untuk menyambut lontaran ucapan dasar YAB Presiden mengenai identiti diri sebagai “orang UMNO” bukan “ahli UMNO”. Sebagai orang UMNO kita perlu merujuk kepada beberapa hadith:

Ulil-Amri kita adalah Presiden parti kita. Wajib kita mentaati Ulil-Amri kita sebagaimana dalam hadith Riwayat Muslim.

Maksudnya:
“Wajib atas kamu mendengar dan taat (kepada ulil amri dalam kebaikan), sama ada berkait dengan hal yang sulit, hal yang mudah, hal yang disukai, hal yang tidak disukai, mahupun ketika ulil amri melakukan kepentingan sendiri sekalipun."

Maksudnya:
"Wahai Abdurrahman bin Samurah, janganlah engkau meminta, janganlah engkau meminta jawatan, kerana jika engkau memegang jawatan tanpa memintanya terlebih dahulu, engkau akan di beri pertolongan dalam menjawatnya: sedang jika engkau memegang jawatan dan sebelumnya engkau memintanya, engkau akan dibebani dalam menjawatkannya. Jika engkau sudah bersumpah untuk melakukan / meninggalkan sesuatu, namun engkau lalu melihat ada sesuatu lain yang lebih baik, maka ambillah yang lebih baik itu dan tebuslah sumpahmu yang dulu" (Riwayat al-Bukhari )

Di samping itu kita perlu merenungi hadis mengenai Abu Zar Al-Ghifari:

Maksudnya:
“Wahai Rasulullah mengapa engkau tidak mengangkatku menjadi pegawai?’ Baginda pun lalu menepuk belakangku lalu bersabda: “Wahai Abu Zar, sesungguhnya menurutku engkau adalah seorang yang lemah ( dalam pengurusan), sementara jawatan itu merupakan suatu amanah: dan sesungguhnya jawatan itu kelak pada hari kiamat akan menjadi sumber kehinaan dan penyesalan , kecuali bagi orang yang memegangnya dengan benar dan mampu membenarkan apa yang telah menjadi kewajipannya.”(Riwayat Muslim)

Semua Hadith yang dimafhumkan di atas memberi banyak pengertian tentang ciri-ciri kepimpinan dan ciri-ciri pengikut yang setia dan patuh kepada pemimpin dan parti.

Dato’ Pengerusi Tetap,

Presiden parti kita mengenengahkan pendekatan wasatiyah yang banyak menampilkan ciri-ciri kesederhanaan dan toleransi. Pendekatan ini telah menampakkan hasil kejayaannya sebagai contoh populariti YAB Presiden kita telah meningkat pada tahun 2011 berbanding 2008. Populariti ini menggambarkan penerimaan rakyat terhadap dasar pentadbiran dan pendekatan YAB Presiden dalam pemerintahannya. Hasil kajian yang dijalankan oleh Dato Sri Prof Dr Syed Arabi Idid dan pasukannya dari UIA mendapati,

  • UMNO telah sedikit sebanyak mendapat kepercayaan rakyat semenjak reputasi yang menurun dalam pilihanraya umum 2008. Beberapa tindakan telah diambil oleh Presiden UMNO sendiri YAB Dato Seri Najib Tun Razak untuk memulihkan imej atau citra parti sendiri. Rancangan-rancangan dan tindakan yang di ambil oleh pemimpin dan orang UMNO sendiri telah berjaya menarik perhatian rakyat yang bukan dan orang UMNO sendiri. Tindakan-tindakan kita untuk memulihkan citra parti telah menunjukkan hasil yang positif.
  • Populariti pemimpin YAB Presiden pada tahun 2008 ialah 41% dari seluruh rakyat Malaysia dan 38% dari kalangan rakyat Melayu. Tetapi pada tahun 2011 populariti Presiden telah meningkat menjadi 55% seluruh penduduk dan 59% bagi orang Melayu. Ini menunjukkan satu pencapaian yang cemerlang. Populariti pemimpin pembangkang dalam tahun 2011 ialah Anwar (21% umum dan 22% melayu), Nik Aziz (35% umum dan 45% dari orang melayu sahaja).
  • Satu dari faktor yang menentukan kemenangan UMNO, insyaallah ialah keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran negara dibawah pentadbiran Barisan Nasional /UMNO.
  • Keyakinan rakyat terhadap masa depan negara juga tinggi. Pada tahun 2011 mereka yang yakin akan masa depan negara adalah baik ialah 86%.
  • Keyakinan orang ramai terhadap wawasan 2020 juga meningkat. Seramai 77% pada 2010 menaruh keyakinan bahawa Malaysia di bawah pentadbiran Barisan Nasional akan mencapai wawasan 2020. Angka ini telah meningkat menjadi 82% dalam tahun 2011.
  • Penerimaan terhadap idea 1Malaysia telah diterima baik oleh rakyat Malaysia. Dalam tempoh 2010, 75% menerima idea 1Malaysia. Angka ini telah meningkat kepada 85% dalam tahun 2011.

2. Kita mesti akui peranan media baru sebagai alat komunikasi penting masa kini dan ia boleh menentukan kejayaan dan kegagalan sesebuah parti memerintah negara.

3. Demi menyambut cabaran baru dalam politik Umno yang sentiasa relevan dalam masyarakat Melayu, marilah kita berkomunikasi tanpa lisan dalam meledakkan maklumat, menyatukan yang ‘haq’ dan menolak yang bathil.

Kepada bala tentera siber,
UMNO siap berjuang bersama saudara,
Kita pertahankan Putrajaya,
1 Malaysia kita pastikan berjaya.


4. Kita semua cukup simpati kepada Menteri Besar Perak Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir atas penghinaan ke atas beliau oleh pimpinan DAP. Saya ingin membaca sebuah sajak oleh seorang anak African-American yang marah dengan deskriminasi seperti yang dilakukan oleh DAP. Anak African-American berpuisi seperti ini :

When I born, I black
When I grow up, I black
When I go in sun, I black
When I scared, I black
When I sick, I black
And when I die, I still black
And U white fellows,
When U born, U pink
When U grow up white
When U go in sun, U red..
When U cold, U blue..
When U scared, U yellow..
When U sick, U green…
When U die, U grey…
And U call me coloured..?
And U call me black metalic


Dato’ Pengerusi Tetap,

5. Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada beberapa orang perwakilan yang prihatin terhadap Biro Latihan Umno Malaysia dengan membangkitkan beberapa isu dan memberi pandangan masing-masing.

6. Saya ingin menyatakan sejak diamanahkan mempengerusikan Biro Latihan, biro ini berperanan untuk menjadi nadi penggerak kepada pembentukan jati diri ahli dengan mengembalikan roh perjuangan Umno supaya lebih dinamik bagi merealisasikan wawasan ke arah memperkasa dan mentransformasi Umno.

7. Peranan Rangkaian Penggerak di peringkat bahagian dan cawangan adalah penting menjelang pilihanraya nanti. Sehubungan itu Biro Latihan Umno Malaysia menganjurkan Kursus Pemantapan Dan Transformasi Organisasi (KPTO) untuk pemimpin cawangan empat peringkat dalam usaha membantu BN memenangi majoriti lebih dua pertiga dalam pilihanraya akan datang.

8. Seramai 43,034 orang atau 67.4 peratus iaitu 29,142 ketua cawangan empat peringkat dan 13,892 wakil ganti sah daripada 63,823 pemimpin peringkat cawangan seluruh Negara menyertai kursus ini.

9. Semangat bersatu dan bekerjasama yang mereka tunjukkan melalui program ini adalah juga lambang kekuatan perjuangan kita mencapai matlamat yang dituju.

10. Saya amat berbangga dengan pencapaian Rangkaian Penggerak KPTO yang di jalankan selama enam bulan mulai Januari Hingga Jun lalu. Sebanyak 190 daripada 191 bahagian hadir menyertai kursus yang dianjurkan.

11. Kebanyakan peserta terbabit mendapat pendedahan tentang proses pilihanraya dan mempunyai semangat untuk menghadapi pilihanraya.

12. Saya yakin wanita masih merupakan jentera yang utama bagi menghadapi PRU-13. Manakala Pemuda dan Puteri berperanan untuk menentukan BN menjadi “ Pilihan Orang Muda ”.

13. Berasaskan pada pelaksanaan KPTO, urus setia pelaksana berpendapat UMNO peringkat Cawangan dan Bahagian masih perlu untukmempertingkatkan tahap kesiapsiagaan untuk menghadapi PRU-13. Saya yakin setiap kelemahan boleh diperbaiki dalam tempoh terdekat untuk kita menghadapi pilihanraya yang mencabar kali ini.

14. Mereka menjadi agen transformasi yang berterusan dalam usaha memperkasakan Umno bagi memastikan kejayaan Barisan Nasional dan misi yang lebih penting ialah melaksanakan arahan YAB Presiden Parti dalam usaha mengukuhkan jentera Umno atau BN seluruh negara.

15. Saya berharap mereka semua menjadi pemangkin proses transformasi dan penambaikan untuk Umno, melalui idea, lisan dan tindakan berterusan termasuk melatih rakan-rakan secara formal atau tidak formal.

16. Saya pasti mereka akan menjadi mata dan telinga yang sensitif dalam menerap dan memperkukuhkan budaya transformasi serta prestasi maksima untuk Umno atau BN dan ahlinya. Mereka juga adalah jentera pelengkap kepada Umno atau BN dalam persediaaan menghadapi PRU13.

17. Hidup dan mati kita adalah untuk Umno dan BN, sekaligus menjadi benteng mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara. Objektif utama kita ialah menang 2/3 kerusi parlimen dan DUN di 14 buah negeri dalam PRU 13.

Dato’ Pengerusi Tetap,

18. Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih atas amanat yang disampaikan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam Ucapan Dasar pada hari Khamis lalu dan sebagai orang Umno yang taat dan setia kepada parti saya bersetuju dengan kenyataan beliau mengenai orang Umno kena taat dan setia kepada parti.

19. Daripada ucapan yang disampaikan kita bersetuju bahawa setiap ahli Umno mesti mengikut adab dan adat ditentukan parti di samping mengikut arahan pemimpin atasan apabila diminta berbuat demikian walaupun kita dianggap orang penting dalam parti sebagaimana yang dilakukan Panglima Perang Islam, Khalid Al Walid. Beliau sanggup melepaskan jawatan dan digantikan Usamah bin Zaid yang terlalu muda dan kurang berpengalaman demi kepentingan Islam serta menurut perintah pemimpin tertingginya.

20. Begitulah juga dalam konteks Umno masa kini sekiranya pemimpin meminta kita berundur dan mencalonkan orang lain dalam pilihanraya akan datang, maka kita hendaklah akur dan memberi laluan kepada orang baru walaupun kita mempunyai jawatan penting dalam parti di samping tidak menganggap calon berkenaan merampas tempat kita dan sabotaj kepadanya.

21. Kita jangan mengangguk dan menggeleng di depan pemimpin sebaliknya melakukan sesuatu untuk merosakkan parti dalam pilihanraya nanti dan akhirnya calon yang diketengahkan kalah di tangan pembangkang. Apa guna parti kita kuat tetapi kalah dalam pilihanraya kerana sikap orang Umno yang tidak taat, setia, cinta dan sayang kepada parti serta pemimpin.

22. Tuan-tuan dan puan-puan, Orang Umno yang sabotaj kepada calon bererti sabotaj kepada parti dan mereka ini boleh dianggap sebagai petualang kepada parti, bangsa, agama dan negara.

23. Selepas ini kita hendaklah terus turun ke padang sehingga diisytiharkan pilihanraya. Jangan kita takut mendengar dan menerima pandangan orang lain dan mesti berani memperkatakan sesuatu yang benar dan sesuai dengan nilai kesetiaan kita untuk terus membela parti selagi nyawa dikandung badan.

24. Kita mesti menggalas falsafah perjuangan yang tersurat dan tersirat parti untuk memperjuangkan nasib orang Melayu selama ini. Kita hendaklah cinta kepada parti kita di samping ikhlas berkhidmat untuk rakyat yang sedang memerhati, merasai, mendengar, menilai dan mengadili orang Umno walaupun gerak-geri mereka kelihatan diam.

25. Orang Umno mesti bermuhasabah diri, bersemangat, berusaha tanpa jemu dan sanggup menghadapi cabaran untuk menang dalam pilihanraya nanti.

Kalau kita turun ke bendang
Jangan lupa menanam padi
Mari kita turun ke padang
Sama-sama bermesra dengan pengundi


26. Kita mesti berdamping dengan rakyat supaya kita terus jadi juara di samping berkorban menjunjung aspirasi parti dan bukan kepentingan diri sendiri. Hayatilah bahawa Umno sememangnya memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam, namun ia bukan bersifat rasis.

Sabah negeri di bawah bayu
Tumbuh subur pohon kelapa
Umno perjuangkan nasib Melayu
Kepentingan India dan Cina tidak dilupa


27. Kita mesti akui bahawa Umno adalah pencetus idea dan mengamalkan tolak ansur semua kaum demi kemakmuran ekonomi dan sosial.

Umno berjaya memerdekakan negara
Tanpa marah dan pertumpahan darah
Tidak sibuk berevolusi
Sebaliknya berbincang di meja rundingan
Mari kita semarakkan jiwa membara
Di samping tidak lupa sejarah
Perjuangan parti menolak kepentingan diri
PRU13 mencapai kecemerlangan.


Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


LAMPIRAN 1

PLKN

Program PLKN yang semasa permulaan penubuhannya dulu dikritik hebat oleh pembangkang dengan berbagai andaian negatif terbukti telah dapat mengeluarkan dan menghasilkan remaja yang mampu menampilkan perubahan imej dan perlakuan menjadi warga negara yang berakhlak mulia dan bersemangat patriotisme.

Hasil kaji selidik yang dijalankan PLKN dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2010 yang membabitkan 61,950 responden terdiri daripada bekas pelatih, ibubapa, majikan dan masyarakat umum. Lebih 80% bersetuju dengan pencapaian objektif PLKN.

Kajian persepsi yang ijalankan JLKN ke atas pelatih PLKN pada setiap tahun juga menunjukkan bahawa program ini diiktiraf sebagai sangat baik dalam kalangan pelatih yang mengikuti program ini. Contohnya 87.05% untuk markah petriotisme, 85.56% (aspek kesukarelaan), 91.19% (lain-lain faedah).

Kesedaran pelatih untuk mendaftar dalam Pasukan Sukarela juga menunjukkan satu peningkatan, sehingga Mei 2011, seramai 43,987 pendaftaran telah dibuat ke pasukan Sukarela seperti Pasukan Simpanan ATM, PDRM, JPAM dan RELA.


LAMPIRAN 2

YAB Perdana Menteri dalam upacara perhimpunan “ Kami Anak Satu Malaysia” (KAIM) telah menyarankan agar diwujudkan Briged Kesukarelaan sebagai platform kepada bekas pelatih untuk mencurah khidmat bakti kepada masyarakat dan negara. Ini mampu melibatkan 622, 542 orang belas pelatih PLKN. Program seterusnya bagi briged Sukarela akan dilaksanakan di semua IPT.

Ini membuktikan bahawa PLKN bukanlah program membazirkan wang rakyat, sebaliknya menguntungkan anak muda generasi kini kerana ia berjaya membentuk keyakinan diri, meningkatkan semangat petrotisme, setiakawan jati diri kepada negara yang tinggi kepada bakal pemimpin dan ahli professional negara tanpa mengira kaum, status dan darjat.

Malah ada yang meminta agar program ini dilanjutkan daripada tiga bulan hingga enam bulan kerana mereka percaya ia boleh melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti pada masa akan datang.

Kementerian Pertahanan amnya dan JLKN khususnya melihat peri pentingnya perkara ini diberi fokus dan telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Sekretariat Alumni PLKN sebagai medium kepada bekas pelatih PLKN berhubung antara satu sama lain dan pihak yang pernah bersama mereka sebelum ini sama ada secara bersemuka atau berintraksi melalui telefon bimbit, sms, mms, facebook, twitter dan blog.

Sekretariat Alumni PLKN ditubuhkan secara rasminya pada 27 September tahun lalu yang membabitkan 22 ahli sekretariat di peringkat kebangsaan dan seramai 770 ahli menyertai sekretariat di peringkat negeri serta Kem.

Dengan penubuhan sekretariat ini, ia menjadi penyumbang atau perantara kepada Alumni PLKN untuk meneruskan aktiviti berfaedah selaras dengan aspirasi kerajaan berkonsepkan prinsip 1Malaysia di samping mereka dapat bertemu, bertukar-tukar pendapat dan secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturrahim yang lebih sihat.


LAMPIRAN 3

Mereka akan membantu dalam sebarang malapetaka seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran dan puting beliung.

Sekretariat Alumni PLKN yang ada sekarang turut menjadi sekretariat Briged Sukarela PLKN.

Beliau mengingatkan lebih 622,542 alumni PLKN supaya tidak melupai agenda pembangunan negara bangsa demi kesejahteraan Malaysia pada masa depan.

Kejayaan sebenar bukanlah ketika latihan selama tiga bulan sebaliknya keberkesanannya dalam tempoh 30 tahun akan datang dan negara bergantung kepada produk atau pelatih PLKN.

Dato’ Pengerusi Tetap,

Penubuhan Pasukan Askar Wataniah dan Konsep Hanruh

Pasukan simpanan atau Askar Wataniah ditubuhkan berdasarkan konsep pertahanan menyeluruh atau hanruh. Syabas dan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Presiden kerana meletakkan batu asas dan berjaya menubuhkan 97 pasukan askar wataniah semasa menerajui Kementerian Pertahanan dahulu.

Bagi melengkapi dan mengembangkan konsep tersebut, Kementerian Pertahanan telah melancarkan strategi penubuhan Askar Wataniah di seluruh kawasan Parlimen di Malaysia. Dan sehingga bulan Oktober 2011 kesemua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara telah berjaya di lengkapkan dengan satu Pasukan Askar Wataniah.

Lanjutan daripada kejayaan penubuhan pasukan askar wataniah di semua 222 kawasan parlimen. Kementerian Pertahanan merancang penubuhan Pasukan Askar Wataniah di kesemua 317 Tanah Rancangan FELDA di seluruh negara.


LAMPIRAN 4

Program Penubuhan Pasukan Askar Wataniah seterusnya akan diperluaskan ke IPTS yang bertaraf Universiti di seluruh negara yang berjumlah 45 buah.

Setakat ini penyertaan pelbagai kaum dalam pasukan tentera simpanan (Wataniah) membanggakan dan bilangannya semakin bertambah berikutan kesedaran mereka terhadap tanggungjawab bersama menjaga keamanan negara.

Saya bersyukur kerana baru-baru ini kawasan Parlimen Parit Buntar dan Bukit Gantang melengkapkan bilangan sebanyak 222 kompeni wataniah ditubuhkan di seluruh negara sekaligus mencapai Key Performanace Indeks (KPI) saya yang berakhir pada 31Disember 2011
Sesuai dengan konsep Hanruh yang saya sebutkan tadi, saya mengajak golongan muda termasuk pemimpin dan penyokong parti pembangkang menyertai askar wataniah jika mereka benar-benar cintakan negara tanpa rasa prejudis, perbedaan pendapat dan fahaman politik.
Setakat ini tidak ada seorang pun wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang mempolitikkan wataniah untuk kepentingan peribadi dan meraih sokongan rakyat.

Army Care

Sebagai Menteri Pertahanan, gelombang transformasi yang dicetuskan YAB Dato’ Seri Presiden sewaktu menjadi Menteri Pertahanan akan diteruskan. Transformasi yang lebih menjurus kepada penekanan terhadap aspek kebajikan dan setiap warga tentera akan diberi keutamaan. Dalam pembentangan belanjawan 2012, sebanyak RM500 juta telah diperuntukkan untuk program Army Care. Program Army Care ini lebih tertumpu kepada Rehibilitasi kem-kem tentera dan kediaman para anggotanya.


LAMPIRAN 5

Jiwa Murni

Kementerian Pertahanan akan terus berusaha untuk mendekatkan diri dengan rakyat bagi membantu kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya.

Program Jiwa Murni telah dilaksanakan ATM di seluruh Negara dan antara program yang dilaksanakan termasuk Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) yang meliputi Program Ilmu dan Muafakat (PIKAT) Gotong Royong Tanah Perkuburan Islam, Motivasi Pelajar dan Program Dakwah Kawasan Operasi (PRODAKSI).

Rejimen Askar Jurutera Diraja telah berjaya melaksanakan program Jiwa Murni yang meliputi antaranya pembinaan jalan raya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Antara projek yang telah dan akan dilaksanakan

51.1: Ba’kelalan ke Bario sepanjang 50km yang menelan belanja hanya RM48 juta.
51.2: Belaga ke Menjawah sepanjang 38km yang menelan belanja 62 juta
51.3: Long Lupin ke Ba’kelalan sepanjang 75km yang menelan belanja RM52 juta.
51.4: Menaiktaraf jalan Mendamit Limbang ke Kuala Medalam sepanjang
12 km yang menelan belanja RM12.83juta
51.5: Menaiktaraf jalan dari kampung Teniku Miri ke Marudi sepanjang 52 km yang menelan belanja RM52.25 juta.
51.6: Projek Menaiktaraf jalan kampung Saeh , Bekenu Miri sepanjang
16.2 km menelan belanja RM13.7 juta


LAMPIRAN 6


51.7: Membina ganti jambatan di sungai Kelulit dan Sungai Terus Miri – RM2.53 juta
51.8: Membina 4 buah jambatan dari Bario ke Kampung Pa’dalik – RM 6juta
51.9: Projek membina Rumah Panjang 29 pintu di Kuala Tatau, Bintulu – RM783 ribu
51.10: Projek membina ganti jambatan di Lusong Laku, Kapit – RM 2.67juta

Kor lain yang telibat dalam program Jiwa Murni termasuklah Kor Kesihatan Diraja dan Kor Pendidikan.


National Blue Ocean Strategi (NBOS)


Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang melibatkan Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KPLW) telah menghasilkan beberapa program bersama yang antaranya :

(I) Program pemulihan pemasyarakatan banduan yang melibatkan lima kem tentera yang dijadikan pusat pemulihan banduan yang dijaga warden daripada penjara dan anggota tentera.

(II) Latihan bersama antara rekrut tentera dan polis di kem tentera dengan membabitkan 984 rekrut polis dan 2,301 rekrut tentera yang dijalankan di PUSASDA Port Dickson. Seramai 500 rekrut polis telah menjalani latihan mereka di PULAREK Johor.

(III) Merekrut anggota tentera yang bersara awal untuk menjadi anggota polis. Setakat ini seramai 101 bekas tentera telah diambil dan tamat latihan pada 14 Mei 2011 dan pada bulan Mac 2011 seramai 32 calon disenarai pendek.


LAMPIRAN 7
 
(IV) Rondaan bersama tentera dan polis dengan aktiviti rondaan bersama
di empat buah bandar Ipoh, Taiping, Pord Dickson dan Seremban. Rondaan bersama ini di perluaskan lagi dengan melibatkan KLIA, PDRM dan ATM di Penang, Johor dan Selangor.

(V) Pembinaan kemudahan infrastruktur asas di luar bandar yang
melibatkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia. Setakat ini 200 rumah disiapkan dan 34 projek bekalan air dilaksanakan.

(VI) Tanah Kementerian Pertahanan yang belum dibangunkan akan dijadikan kawasan pertanian yang memberikan nilai tambah yang tinggi daripada segi ekonomi. Selain daripada itu ia memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.