Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu
Pada 6 Ogos 2009, Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah telah mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.
Pada 6 Ogos 2009, Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah telah mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.
Wasiat tersebut disampaikan semasa Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.
Tujuh wasiat Raja-Raja Melayu dapat menjamin keharmonian rakyat telah terbukti sejak 52 tahun merdeka, Malaysia masih lagi mampu mengekalkan keamanan, kestabilan politik dan mengukuhkan perpaduan.
Selain itu, tujuh wasiat Raja Melayu ini adalah mengenai hak-hak istimewa orang Melayu dan hak-hak kaum lain di tanah Malayu perlu dipelihara demi kesejahteraan bersama.
Perlembagaan Negara meletakkan Raja-Raja Melayu sebagai lambang perpaduan dan menjamin hak semua kaum yang menjadi rakyat Malaysia.
Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab semua memahami segala maksud tersirat dan tersurat yang terkandung di dalamnya dan seterusnya mengamalkannya demi kesejahteraan semua. Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu tersebut adalah:
01. Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
02. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
03. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.
04. Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini.
05. Kami isytiharkan ISLAM adalah Agama Persekutuan.
06. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU.
07. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).