22 June 2012

Fiqh Mentaati Pemimpin - Ucapan Perasmian

UCAPAN PERASMIAN

Y.A.B DATO’ SRI MOHD. NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK

PERDANA MENTERI MALAYSIA

Sempena

SEMINAR ANTARABANGSA FIQH MENTAATI PEMIMPIN


15 Jun 2012 (Jumaat) | Masa 8.00 malam

Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia

1. Alhamdulillah saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurniaNya memungkinkan kita semua bertemu di dalam seminar antarabangsa, Fiqh Mentaati Pemimpin ini.

2. Izinkan saya menyampaikan setinggi penghargaan kepada Persatuan Generasi Bistari, MyKMU.net – sebagai penganjur bersama, setinggi terima kasih kepada NAZA Group of Companies di atas penajaan kepada acara ini. Secara ikhlasnya, saya menganggap penganjuran ini sangat bersifat ‘blue ocean’. Persatuan Generasi Bistari yang aktif dalam acara keilmuan; MyKMU dengan latar ‘platform media alternatif’, dan NAZA berlatarkan industri AUTOMOTIF – memang nampak sedikit pelik; namun inilah bukti bahawa kita tidak pernah mengehadkan ilmu agama kepada mana-mana pihak. Keterbukaan inilah yang menjadi teras kehidupan kita di Malaysia ini. Tidak ada pihak yang boleh mengatakan mereka lebih ‘dominan’, lebih suci dalam membicarakan isu agama.

3. Seterusnya, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua peserta, khususnya kepada para ilmuan, para intelektual, para ulama’, yang bakal membentangkan kertas kerja, para moderator dan semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung kepada penganjuran seminar ini. ‘Ahlan wa-Sahlan’ kepada semua; terima kasih kerana hadir.

4. Saya mengalu-alukan kehadiran semua, para peserta, ahli akademik, pengamal media, bloggers ke seminar antarabangsa ini. Seminar yang tidak mempunyai aura kepentingan politik, namun untuk membicarakan isu yang sangat signifikan dan penting secara jujur dan ikhlas. Untuk kita menerima maklum balas ilmuan, para ulama’ dalam membicarakan perkara yang sangat dekat dengan kita, umat Islam secara keseluruhannya.

5. Saya menganggap seminar ini satu diskusi yang bersifat sub-set kepada fundamental-fundamental fiqh yang lebih besar seperti, Fiqh al-Siyasah; mahupun Fiqhud Dawlah yang mempunyai kemungkinan membicarakan isu yang lebih besar. Namun, ianya sama sekali menidakkan keperluan kita berdiskusi mengenai ‘ketaatan kepada pemimpin’ secara terbuka, jujur dan ikhlas.

6. Saya amat berharap, dengan kehadiran para ilmuan daripada seantero dunia, seminar ini dapat membuat rumusan yang jelas, berlandaskan kebijaksanaan hukum dan latar agama yang boleh kemudiannya kita berkongsi dengan rakyat secara umum.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

7. Minat yang luarbiasa, dunia Barat terhadap ‘politik Islam’ kebelakangan ini adalah bersandarkan senario politik yang dinamakan ‘Arab Spring’. Istilah ini nampak manis dan lembut. Namun pada hakikatnya, ianya juga merujuk kepada apa yang dipanggil sebagai ‘al-Thawrah al-Arabiyyah’ (Arabic Rebellions) ataupun Arab Revolutions. Seakan-akan ada tsunami yang melanda rantau Timur Tengah yang melibatkan Negara-Negara seperti Tunisia, Mesir, Libya dan Yaman serta di mana wujudnya apa yang dipanggil sebagai ‘civil uprisings’ di Syria dan Bahrain.

8. Istilah-istilah seperti ‘kifaya’ (enough), irhal (leave) menjadi mainan bibir anak-anak muda. Mereka tidak memikirkan mengenai apa yang berlaku selepas itu; asalkan matlamat mereka terlaksana.

9. Semua ini berlaku pada waktu dan ‘timeline’ yang hampir sama. Ianya mencetuskan suatu keadaan yang tidak menentu. Malahan, pada ketika berada dalam dewan yang indah ini, sesetengah negara Islam masih lagi berdepan dengan proses ketidaktentuan politik yang semakin menjalar. Yang lebih parah, kedudukan dan suasana ketidaktentuan politik ini akan turut membawa suasana tidak menentu dalam soal-soal lain. Soal kebajikan rakyat, pendidikan, ekonomi, kemiskinan, masa hadapan generasi muka serta halatuju politik dan sosio-ekonomi rakyat dalam jangka masa yang panjang masih lagi belum terlunas.
Tuan-tuan dan Puan-puan,

10. Apakah dengan apa yang berlaku ini, berselindung di sebalik istilah ‘Arab Spring’, Arabic Rebellions dan sebagainya, kita sudah memperbetulkan pandang tanggap dunia Barat terhadap Islam? Dalam pada kita mencari penawar untuk gelombang Islamophobi, kita berhadapan dengan gugatan politik yang sebenarnya memberikan ruang kepada orang lain, membentuk perspektif yang lebih buruk terhadap Islam.

11. Ironinya, mereka yang pernah dan selalu berdegar-degar bercakap mengenai ‘political revolutions’ di dunia Arab; menganggapnya sebagai ‘renaissance’ politik baru; sebagai ‘political awakening’; sudah mula menerima kenyataan bahawa political revolutions per-se (revolusi politik) semata tidak membawa natijah yang diinginkan. Hakikatnya, political revolutions perlu juga disepakati dengan ‘social revolutions’, mindset revolutions dan perkara-perkara lain.

12. Sejak Disember 2010, sehingga hari ini, tidak banyak perubahan yang dapat disaksikan di rantau Timut Tengah. Ekonomi berdepan dengan kesukaran. Untung nasib politik masih lagi terpecah-pecah menurut kepada kepentingan masing-masing. Rakyat masih lagi berhadapan dengan kesulitan. Lebih malang lagi, ada pula kalangan penganalisa politik yang menggangap situasi tidak stabil ini sebagai sesuatu yang positif. “Instability can be constructive” – kata mereka. Apakah ini benar?

13. Apa yang ingin saya sampaikan, apakah pandang-tanggap, apakah ‘tasawwur’ Islam untuk berdepan dengan suasana yang sukar ini? Apa ‘worldview’ Islam berkenaan isu ini? Apakah kita juga menjadi tukang sorak kepada mantera demokrasi total yang menjanjikan suasana anarki? Di mana garis penentu; samada kita mahu mahu taat kepada pemimpin; atau mengambil keputusan untuk bersama dengan elemen-elemen yang merosakkan sistem negara sekaligus meletakkan pemimpin dalam kedudukan yang paling hina.

14. Di atas landasan dan jalur pandangan sama, saya kerapkali menekankan bahawa kita perlu mempunyai pendekatan ‘wasatiyyah’ dalam kita mengemukakan pandangan dan pendirian politik. Kita perlu bersederhana, mengelakkan ekstrimisme dan meletakkan kepentingan ummat melebihi percaturan dan kepentingan politik.

15. Enam bulan yang lalu, di Kuala Lumpur ini jugalah, saya menyampaikan pandangan kepada para alim ulama’, cendekiawan, para pemimpin dan pembuat dasar bahawa semangat MODERATION (kesederhanaan) wajar menjadi jalan hadapan (way forward) kepada umat manusia seluruhnya. Di International Conference on Global Movement of Moderates; saya memberikan pandangan, agar kita tidak mengambil pendekatan ekstrim dalam mengemukakan pandangan dan harapan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

16. Saya selalu beranggapan, bahawa hubungan baik pemimpin dan rakyat mestilah diasuh dengan adab ketinggian akal budi. Sementara suara rakyat berhak didengar dan disantuni. Idealisme, visi dan misi seorang pemimpin juga wajar dijadikan asas dan panduan dalam kita membuat keputusan yang tepat. Makna kata, hubungan pemimpin dan rakyat ini adalah saling memerlukan.

17. Sementara kualiti kepimpinan memang diutamakan oleh Islam, kualiti berkenaan tidaklah semata-mata terletak kepada pemimpin tetapi juga pengikut. Pengikut yang berkualiti akan melahirkan pemimpin yang berkualiti. Kualiti kepimpinan yang dilihat oleh Islam berhubung rapat dengan menunaikan amanah tanggungjawab kepimpinan.

18. Dalam hal ini, pemimpin mesti bersifat terbuka, sanggup menerima kritikan dan mengubah tanggapan negatif yang merosakkan kesejahteraan pengikut atau rakyat. Islam turut menggariskan hak-hak pemimpin dan yang dipimpin dan ia perlu dilaksanakan untuk mencapai kecemerlangan dalam kehidupan. Hak pemimpin yang pertama adalah Mendapat Kepatuhan dan Taat Setia. Kepatuhan dan taat setia dari para pengikut akan menentukan segala urusan berkaitan dengan kemasyarakatan berjalan lancar dan memastikan organisasi kepimpinan tidak kucar-kacir.

19. Selain memberi ketaatan, hak mendapat kerjasama juga adalah hak pemimpin. Para pengikut juga wajar memberi kerjasama dan memastikan sesuatu perancangan atau program yang digerakkan oleh pemimpin berjaya mencapai objektifnya. Pemimpin yang memimpin dalam lingkungan syariat wajar mendapat kerjasama sepenuhnya dari para pengikut.

20. Hak ketiga yang wajar dinikmati oleh pemimpin ialah mendapat nasihat dan teguran yang baik dari para pengikut. Menyedari akan hakikat bahawa pemimpin juga bukanlah perfect, Islam meminta umatnya menegur dan memberi nasihat kepada pemimpin mereka. Dalam hal ini pemimpin juga wajar bersifat terbuka, bersedia menerima teguran dan nasihat.

21. Oleh kerana itu, saya sentiasa mempertahan pandangan, kerjasama, hubungan baik antara institusi umara’ dan ulama’ ini adalah sesuatu yang sangat penting dalam kita mengurus sesebuah negara. Sayangnya, para ulama’ juga berhadapan dengan dugaan yang besar. Jika mereka terlalu akrab dengan kerajaan maka mereka dilabel sebagai ulama’ kerajaan. Inilah juga antara penyakit berat yang sedang melanda umat Islam. Para ulama’ juga kita mahu ‘labelkan’ dengan pandang tanggap partisan yang sempit.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

22. Sebagai pemimpin, wajarlah untuk kita menilai kewibawaan kepimpinan kita kepada garis asas yang digariskan oleh Maqasid al-Shariah. Maslahah daruriyat ialah maslahah yang menjadi keperluan asas kepada kehidupan manusia di dunia dan akhirat, jika sekiranya tidak dipelihara maslahah ini, kehidupan manusia akan pincang dan akan hilang nikmat yang sebenar. Maslahah asasi itu ialah, agama, jiwa, akal, keturunan (kehormatan) dan harta benda. Segala urusan agama dan keduniaan dibina di atas maslahah-maslahah ini dan hanya dengan memelihara kesejahteraannya sahaja, kehidupan individu dan masyarakat akan berjalan dengan baik.

23. Mana-mana pemimpin sekalipun mestilah memastikan lima asas maslahah ini dipenuhi dengan sebaiknya. Keperluan kita menjaga dan memelihara agama. Memastikan jiwa, akal, keturunan dan harta benda rakyat berada dalam keadaan yang sejahtera dan sebaik mungkin. Seorang pemimpin, dan sebuah kerajaan yang baik semestinya mampu menjaga kepentingan maslahah ammah ini dengan wibawa.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

24. Kewibawaan seseorang pemimpin dan kerajaan dalam menjaga kepentingan maslahah daruriyyat ini kemudiannya disempurnakan dengan usaha mengisi maslahah hajiyyat (keperluan) dan maslahah tahsinat (perkara-perkara yang menyempurnakan hidup).

25. Jika kepimpinan, mahupun kerajaan, dapat mengisi amanah yang sedemikian asas dan penting kepada syiar Islam maka, dengan sendirinya kita perlu memberikan kerjasama dan ketaatan kepada ulil amri yang ada.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

26. Saya amat berharap, agar para ilmuan yang hadir ke seminar ini dapat menilai secara objektif, bagaimana Malaysia menyusun langkah untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat. Apakah kita tidak punya masalah langsung dan sempurna? Tidak. Sudah pasti tidak. Disebabkan itulah juga, kita membuka ruang yang secukupnya untuk mana-mana segmen masyarakat mengemukakan pandangan dan keperluan mereka kepada kerajaan.

27. Sebagai pemimpin, saya cukup sedar, bahawa majoriti rakyat mengharapkan sebuah kepimpinan yang berwibawa dan berintegriti. Kepimpinan yang mampu mengisi harapan rakyat untuk mempunyai sebuah sistem pentadbiran yang baik dan membawa semangat keadilan buat semua. Inilah juga yang menjadi impian dan harapan saya, di saat mengemukakan pernyataan polisi bahawa semuanya mesti berteraskan RAKYAT DIDAHULUKAN.

28. Kalau ada pengajaran yang kita peroleh daripada apa yang berlaku di rantau Arab, untung nasib ekonomi orang muda tidak boleh kita pinggirkan begitu sahaja. Pandangan mereka, idealisme mereka, citarasa mereka, haruslah kita santuni dengan sebaik mungkin. Tidak ada ruang untuk kita asingkan mana-mana kaum mahupun segmen masyarakat dalam kepimpinan kita.

29. Disebabkan itulah juga, kita tidak pernah cuba untuk menidakkan semangat dan keperluan mengisi harapan orang muda. Motto saya mudah sahaja, ‘hari esok mestilah lebih baik daripada hari ini’. Ia sekaligus memberikan mereka harapan dan semangat bahawa mereka punya tempat di dalam hati dan naluri kerajaan yang saya ketuai.

30. Tumpuan khusus yang diberikan oleh kerajaan terhadap usaha-usaha pembaikan ekonomi melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan transformasi politik melalui Program Transformasi Politik (PTP) kesemuanya, merupakan respons kita bagi memberikan yang terbaik kepada rakyat.

31. Dalam konteks Malaysia, kita tidak pernah gagal untuk kembali kepada ‘wisdom dan kebijaksanaan’ rakyat dalam menilai kerajaan yang mereka inginkan. Dalam tempoh yang terdekat ini, kerajaan yang saya ketuai, akan sekali lagi diadili oleh rakyat. Kita akan meletakkan ‘rekod pencapaian’ kita kepada rakyat. Mereka jualah yang akan menilai pencapaian dan track record kita nanti.

32. Seikhlasnya, saya yakin, cukup yakin dan percaya, bahawa rakyat akan memilih sebuah kerajaan yang komited dengan janji, bersungguh dalam perjuangan, itqan dengan perubahan, beriltizam dengan harapan yang nyata dan konkrit.

PENUTUP

Tuan-tuan dan Puan-puan,

33. Saya mengharapkan segala yang terbaik dapat diperhalusi oleh seminar antarabangsa ini. Percayalah, dunia Islam masih belum bebas daripada tanggapan negatif mereka yang enggan menerima bahawa Islam boleh makmur di atas landasan kesederhanaan, wasatiyyah dan moderation. Inilah jalan hadapan kita bersama, dalam menampilkan imej dan tasawwur Islam yang lebih mampu mendepani masa.

34. Saya sentiasa mengharapkan pedoman kumpulan ilmuan, para ulama’, para mujtahid, para muslih, dalam sama-sama kita membentuk sebuah pentadbiran yang sebaik mungkin. Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dan mendoakan agar kita mendapat limpahan rahmat dan inayah Ilahi dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab kita, insya’Allah.

35. Akhir kata, moga dunia Islam akan makmur dengan politik bijaksana; dijauhkan daripada kalangan ‘saudagar-saudagar mimpi’ yang sanggup menggunakan apa sahaja cara untuk mencapai matlamat dan kehendak mereka.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.