Showing posts with label Najib Tun Razak. Show all posts
Showing posts with label Najib Tun Razak. Show all posts

2 December 2012

“Kepimpinan Transformatif Menuju Wawasan Nasional” – Najib

Saudara dan Saudari sekalian,

1. Alhamdulillah dibalut rasa tawaduk dan rasa rendah diri, sekali lagi kita berhimpun untuk menunaikan tanggungjawab lazim sebagai sebuah organisasi bagi mengadakan mesyuarat agong tahunan parti tercinta yakni Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO.

2. Sesungguhnya perhimpunan sebegini bukanlah semata-mata acara ritual dalam memenuhi tuntutan taqwim organisasi. Sebaliknya, ia satu iltizam terbaik melaksanakan proses muhasabah dan islah demi memperbetulkan kelemahan, memperkejab jentera parti, membugarkan halatuju pertubuhan, seterusnya mempastikan kelangsungan jemaah.

Saudara dan saudari,

3. Seperti semua maklum, ini merupakan perhimpunan agong terakhir sebelum Pilihanraya Umum yang ke-13. Jadinya, Dewan Rakyat, menurut Perlembagaan, kalau pun tidak dibubar oleh yang di-Pertuan Agong berdasarkan nasihat Perdana Menteri, ia akan terusai juga dengan sendirinya, tanggal 28 April 2013.

4. Oleh itu, setiap seorang daripada kita, tidak kira saudara dan saudari yang berada di bawah, tuan-tuan dan puan-puan yang memenuhi ruang di atas, apatah lagi para pimpinan di sini, dan pastinya, sekian ramai ahli UMNO di mana sahaja, hatta yang tidak bernama, walau yang tidak berjawatan, waima yang tidak berkedudukan, sekalipun yang tidak pernah menjejakkan kaki ke dewan bertuah ini, saya percaya semuanya sedang berasakan betapa kencang tiupan ke medan juang.

Saudara dan saudari,

5. Jelas sekali terasa, parti kita telah semakin pulih semangatnya. Kita yakin bahawa, jentera parti pula, daripada peringkat cawangan, bahagian, perhubungan sehinggalah ke peringkat Kebangsaan telah pun bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum yang bakal diadakan.

6. Kini, semboyan sedang berkumandang, genderang makin bergema. Masanya sampai, menyusun langkah, tempohnya matang, memperkemas pasukan, detiknya tiba, mempasak kuda-kuda. Dengan mendokong peranan masing-masing, ayuhlah, kita kembali kepada rakyat, demi memperbaharu mandat.

7. Serentak itu, saudara dan saudari, marilah kita mengangkat sebanyak-banyak doa, bahawa dengan izin Allah jua, apabila kita bertemu pada tahun hadapan di Dewan Merdeka ini, InsyaAllah, kita akan berhimpun semula dengan sokongan kukuh sebagai parti pemerintah, untuk mengurus kepentingan negara, memakmur ekonomi dan mensejahtera rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang.

8. Malah, lebih jauh dari itu, moga-moga dengan izin yang Maha Berkuasa juga, kita kekal menjadi parti pemerintah yang akan menjulang darjat Malaysia, sebagai negara maju apabila menyinsingnya fajar 2020 kelak.

Saudara dan saudari,

9. Namun begitu, dalam pada kita sedang memupuk semangat juang yang marak dan membara ini, janganlah alpa pada kisah-kisah lalu. Beringatlah, Pilihanraya Umum ke 12 pada Mac 2008 merupakan pengalaman yang sungguh pahit, sungguh kelat, dalam episod politik UMNO dan Barisan Nasional.

10. Sehubungan itu pada hemah saya, ombak serta rintangan yang membadai, selama bertahun-tahun ini, sewajarnya, telah benar-benar menghimpunkan bibit-bibit kesedaran di sanubari semua.

11. Seharusnya lagi, bagi sebuah parti politik yang menunjang Kerajaan Persekutuan lebih separuh abad lalu, episod hitam itu, sepatutnya memahatkan iktibar kepada kita semua. Malah ia merupakan isyarat jelas rakyat Malaysia kepada UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional untuk berubah, sesuai dengan selera, aspirasi dan jangkaan rakyat.

12. Apa yang pasti, kita tidak boleh banyak berbicara dan bertangguh-tangguh lagi. Kita perlu memperhebatkan tindakan dan menggandakan usaha. Hanya sanya, melalui cara itu sajalah parti UMNO akan terus diperhati, sentiasa diperhitung dan selamanya dipeduli oleh rakyat.

13. Justeru, dalam tempoh kurang empat tahun semenjak saya dan rakan-rakan diamanahkan kepimpinan parti dan kerajaan, kita telah tidak jemu-jemu bekerja keras untuk memenuhi kehendak dan keperluan ramai.

14. Sekalipun dihadap dengan pelbagai kesulitan dan cabaran, kita cekal berusaha untuk memulihkan kepercayaan, memulihkan keyakinan serta memulihkan sokongan rakyat kepada parti dan Kerajaan.

15. Sesungguhnya juga, apa yang diupayakan beberapa waktu ini, mana mungkin dilakukan secara enteng atau semena-mena, sebaliknya ia telah melalui proses rundingan dan mendengar secara meluas. Bersesuaian prinsip bahawa, era Kerajaan mengetahui segalanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir.

16. Lantas, menghitung perjalanan kepimpinan ini, kita sebenarnya telah menempa keberhasilan yang sungguh membanggakan. Antaranya, kita berjaya melindungi Malaysia daripada krisis ekonomi global, meletakkannya kembali ke landasan pertumbuhan mapan serta mengeluarkan kita dari perangkap negara berpendapatan sederhana. Di samping itu, kita memetakan pula secara teliti dan terperinci perjalanan Malaysia ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

REALITI BARU LANSKAP POLITIK NEGARA

Saudara dan Saudari,

17. Sekiranya kemenangan kita impikan, seandainya kelangsungan kita dambakan, sebagai sebuah pertubuhan siasah, sebelum terus mengatur gerak, sejenak perlu menoleh ke belakang, supaya dapat mengetahui letak duduk sebenarnya keadaan parti kita. Adakah lebih baik dari semalam? Cukupkah pula persediaan untuk menghadapi hari-hari mendatang?

18. Pastinya, dalam meniti garis-garis besar perjuangan, langkah-langkah konkrit ke hadapan mestilah penuh berhemah dan berhikmah, ikhlas mendahulukan kepentingan rakyat, bukan dengan helah, menabur janji-janji kosong, tipu daya atau fatamorgana. Barulah segala ikhtiar mendapat rahmat dan keberkatan Ilahi.

Saudara dan saudari,

19. Berdiri atas kesedaran dan semangat itu, mari kita tinjau hakikat demografik Malaysia yang telah berubah secara radikal. Majoriti daripada 29 juta penduduk hari ini dilahirkan pasca Hari Malaysia dengan hampir tujuh puluh peratus tinggal di kawasan bandar. Empat puluh peratus pada lingkungan 17 hingga 23 tahun, sedang mengikuti pelbagai peringkat pendidikan pasca menengah.

20. Lapan puluh peratus pula, merupakan mereka yang berumur kurang empat puluh lima tahun manakala separuh daripada rakyat kita berusia di bawah dua puluh lima.

21. Satu faktor penting lagi, transformasi pengundi khasnya dan rakyat Malaysia amnya tidak berlaku dalam tempoh sehari dua, tetapi telah berlangsung secara berdikit semenjak lebih lima dekad. Ia digerakkan oleh kejayaan dasar-dasar serta program hasil prakarsa Kerajaan Perikatan dan kemudiannya diteruskan oleh Kerajaan Barisan Nasional.

22. Hakikatnya, peningkatan taraf hidup, proses pembandaran, akses kepada pendidikan, kemajuan teknologi maklumat, komunikasi serta pengangkutan telah merubah keutamaan, selera, sistem nilai dan profil pengundi Malaysia. Citarasa dan jangkaan mereka terutamanya golongan muda telah bertukar dengan mendadak. Tambahan pula, rata-rata pengundi kini sifatnya lebih bermaklumat serta kritikal.

23. Selain itu, fakta yang sedia ada menunjukkan sejak Mac 2008 terdapat 2.9 juta pengundi baru tidak kira golongan umur telah mendaftar sebagai pemilih.

24. Angka ini, saudara dan saudari, sangat signifikan kerana ia mewakili lebih satu perlima daripada jumlah pengundi Malaysia yakni 13.1 juta orang. Ini bermakna, setiap seorang daripada lima pengundi bagi Pilihanraya Umum Ke-13 nanti, ialah pengundi baru atau pengundi yang pertama kali.

CABARAN UMNO

Saudara dan saudari,

25. Sepanjang berdepan mehnah dan cabaran politik semasa, UMNO dan Barisan Nasional tidak lagi boleh berasa lepas lega dan mengambil mudah dengan mengharapkan sokongan rakyat berasaskan nostalgia jasa-jasa dahulu atau apa yang telah dibuat parti serta kerajaan pada hari-hari kelmarin.

26. Mendakap cabaran kini, Pilihanraya Umum ke-13 menghadapkan kita dengan satu pilihan, iaitu sama ada kita sebagai individu dan secara kolektif mahukan kemenangan untuk parti atau sebaliknya.

27. Serentak itu, bercakap tentang sistem demokrasi berparlimen seperti di Malaysia, Kerajaan dibentuk oleh parti atau gabungan parti politik yang memenangi majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat. Ertinya, kemenangan majoriti daripada 222 kerusi yang dipertandingkan adalah penentu kesinambungan kerajaan Barisan Nasional.

28. Walau bagaimanapun, kemenangan dalam pilihanraya sebenarnya bergantung kepada banyak faktor seperti pengundi setempat, kecekapan jentera di setiap bahagian serta calon yang dipertandingkan. Selain itu, realiti semasa menyaksikan bahawa sokongan rakyat kepada kepimpinan nasional dan negeri tidak semestinya diterjemahkan dalam bentuk undi kepada calon tempatan parti.

29. Kata orang, dulu lain, sekarang dah lain. Jika dahulu, siapa pun yang diketengahkan oleh parti, merupakan calon boleh menang. Hakikatnya tidak lagi begitu. Maknanya di sini, kejayaan calon dalam pilihanraya kontemporari ini bergantung kepada penerimaan mereka yang hendak diwakili.

30. Calon boleh menang yang dipilih oleh parti hendaklah mampu memberi nilai tambah, yakni, bukan sahaja sekadar diterima oleh lingkungan parti, malah, hendaklah juga disenangi oleh masyarakat setempat sebagai pengundi, lebih daripada itu, boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan sukarela serta masyarakat madani, kerana merekalah sebetulnya para pengundi.

31. Kenyataannya lagi, lebih 95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan pasca penubuhan UMNO. Oleh sebab itu, penilaian yang dibuat pengundi generasi baru hari ini bukan didasarkan kepada pengalaman masa lalu apatah lagi apa yang telah dilakukan semalam sebaliknya ia berasaskan merit hari ini berserta wawasan masa depan.

32. Kesimpulannya di sini, kemenangan dalam perjuangan pada analisa akhirnya adalah hasil usaha bersama-sama semua rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, agama dan ideologi, muda dan tua, lelaki dan wanita, warga bandar dan warga desa, pekerja kolar biru dan putih, sektor awam, swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta masyarakat seramai. Ringkasnya, setiap dari kita berperanan dan bertanggungjawab memilih yang terbaik untuk Malaysia.

33. Atas segalanya, rakyat hari ini sudah bijak untuk membezakan yang mana kaca yang mana manikam. Pengundi pula dapat menilai bahawa empati kepada rakyat oleh calon bersifat sejati dan berterusan bukanlah hanya untuk musim pilihanraya.

34. Dalam konteks ini, saya ingin menyeru, jadilah pemimpin parti yang rajin mengkhidmati rakyat, berwibawa dan bersikap rendah diri. Bak kata orang tua-tua, ular yang menyusur akar, pasti tidak akan hilang bisanya.

Saudara dan saudari sekalian,

35. Bersuluhkan jamung pejuangan mulia yang cerah menyala, kita mesti cekal bekerja keras, kita mesti terus tabah meyakinkan rakyat bahawa, kitalah pilihan kepimpinan yang utama, bahawa kitalah yang mampu membawa masa depan yang lebih baik kepada mereka dan anak-anak cucu mereka.

36. Apa yang dapat saya katakan, berikhlaslah dalam memberi khidmat kepada rakyat. Berpeganglah kepada kata-kata para ulama dan pujangga, bahawa yang baik akan akhirnya tertampak, yang buruk itu, hujungnya kelak, pasti terpandang jua.

Saudara dan saudari,

37. Pada kesempatan ini, renungkanlah sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai iktibar parti. Kita telah membaca bagaimana dalam perang Badar, tentera Islam yang serba kekurangan telah berjaya menewaskan musuh yang jauh lebih besar bilangan serta lebih lengkap peralatannya.

38. Manakala peristiwa Uhud, walaupun kekuatan tentera Islam dan musuh lebih setara, tentera Islam mengalami kekalahan. Diriwayatkan, ketewasan semasa Uhud berpunca daripada kelemahan rantaian kawalan dan pemerintahan pasukan serta kelalaian mentaati arahan oleh para pemanah berbanding ketika pertempuran Badar.

39. Di sini, pengajaran yang dapat kita ambil daripada sepotong rentetan sirah tersebut, ialah, tentang pentingnya disiplin organisasi dalam sesebuah parti. Implikasi apabila tiada kepatuhan dalam perjuangan berjemaah, kita akan menempa kegagalan, kita akan kecundang, kita akan tumpas dan tewas.

Saudara dan saudari,

40. Hal disiplin berorganisasi ini perlu dimengertikan baik-baik. Ia merupakan faktor tonggak yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah pertubuhan untuk mencapai matlamat yang diingini. Dalam bidang ketenteraan, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan di medan perang.

41. Dalam sebuah pertubuhan siasah pula, yang wujud dalam sistem demokrasi berparlimen, disiplin berorganisasi menentukan sama ada parti politik itu berpeluang menang atau kalah dalam pilihanraya. Inti patinya, disiplin berorganisasi bermaksud meletakkan kepentingan organisasi secara di atas…, di atas kepentingan individu.

42. Lalu, mengambil sempena Ayat 83, Surah An-Nisa’, kedisiplinan berjemaah menuntut kita berlapang dada dan bersedia menerima keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti, dan, jika tidak dipersetujui, hendaklah menggunakan saluran organisasi yang sewajarnya bagi menyampaikan pendapat tersebut.

43. Termustahak, jika keputusan muktamad telah dibuat, terimalah dengan hati terbuka dan laksanakanlah dengan sebaik mungkin. Benarlah seperti dimadahkan pemimpin-pemimpin besar dahulu kala, satu petua yang memang kecil, namun sangat sulit hendak diamalkan, itulah dia taat dan patuh kepada arahan.

KEBERTERUSAN TRANSFORMATIF

YBhg. Tan Sri Pengerusi Tetap, Saudara dan saudari,

44. Pada sisi lain, pendapat dan teori politik konvensional yang mengatakan bahawa perubahan dan pembaharuan akan hanya berjaya jika kita menukar kerajaan tidak boleh diterima pakai di Malaysia.

45. Semenjak lebih 50 tahun yang lalu, Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional secara tali menali, menerajui negara tercinta ini dengan membawa perubahan dan pembaharuan bukan pada kadar berdikit malah dengan lonjakan berganda dengan Keberterusan Transformatif.

46. Kita telah menyaksikan bagaimana Malaysia telah berubah dari sebuah negara yang terjajah kepada sebuah negara merdeka, daripada sebuah negara berstatus negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi.

47. Oleh itu, dengan Keberterusan Transformatif, rakyat boleh melihat sekalipun kepimpinan ini datang dari parti yang sama, namun perubahan dan pembaharuan berlaku secara dinamik, berterusan, tertib dan teratur.

48. Ertinya, parti pemerintah sentiasa memikirkan kaedah atau rekayasa terkini bagi memenuhi keperluan dan kehendak semasa. Kita terus-terusan membuat pembaikan dan perubahan idea, dasar, program yang tuntas lagi menyeluruh. Pokoknya, kita pada tiap ketika mendepani kelok zaman dengan membuat perubahan yang tepat pada masanya.

Saudara dan saudari,

49. Kita ada mendengar pendapat yang mengatakan, apa salahnya memberi peluang kepada pembangkang untuk menang bagi dinilai kemampuan dan keupayaan mereka mengurus negara dan rakyat.

50. Namun, ini adalah satu risiko yang amat tinggi kerana masa depan negara, keluarga dan anak-anak kita terlalu berharga untuk dijadikan bahan uji kaji. Tanpa penilaian yang betul, teliti dan kritikal, menukar kerajaan ibarat mengamanahkan tikus membaiki labu atau mempercayai serigala menjaga biri-biri.

Saudara dan saudari,

51. Sememangnya menjadi aspirasi setiap parti politik untuk memperoleh mandat dari rakyat bagi membolehkannya membentuk kerajaan dan pemimpinnya menjadi Perdana Menteri. Ke arah itu pelbagai janji dan komitmen ditawarkan.

52. Bagi parti yang sedang menerajui Kerajaan, penilaian dilakukan oleh rakyat berdasarkan dua kayu ukur. Pertama, adakah janji-janji lepas, telah ditunai dan dilunaskan? Manakala kayu ukur kedua, adakah janji-janji baru yang dibuat akan lebih membawa manfaat.

53. Manakala, bagi parti yang tidak pernah membentuk Kerajaan, mereka perlu dinilai berasaskan janji yang sedang dibuat. Jika pada peringkat janji lagi sudah tidak boleh dipegang dan dipercayai, maka, lebih selamat untuk para pengundi agar menjauhi parti tersebut.

Saudara dan saudari,

54. Berhubung hal demikian, Malaysia hari ini merupakan contoh sebuah negara membangun yang amat berjaya sama ada diukur dari segi keampuhan institusi negara mahupun kemajuan sosioekonomi.

55. Kejayaan ini bukannya sebuah fantasi yang dikhayalkan kerajaan Barisan Nasional sebaliknya satu kejayaan nyata yang dapat disaksikan dan dinikmati setiap rakyat Malaysia. Bahkan ia juga merupakan kejayaan yang diiktiraf oleh institusi dan masyarakat antarabangsa.

56. Jika dinilai dari kayu ukur global, Malaysia hari ini tercatat antara negara dagangan terbesar dunia dengan nilai eksport dan import lebih RM 1 trilion. Hari ini kita diiktiraf Institute for Management Development atau IMD dan The World Economic Forum atau WEF dalam barisan 20 negara paling berdaya saing di dunia.

57. Hari ini juga kita diiktiraf Bank Dunia sebagai negara ke-12 paling mudah untuk berurusniaga, sementara Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNDP pula menilai status Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai “High Human Development Index”.

58. Kendatipun begitu, Kerajaan pimpinan UMNO tidak hanya berpeluk tubuh dan berpuas hati dengan kejayaan sedia ada. Kita mahukan setiap anak Malaysia terus mampu mengoptimakan potensi, kita mahukan setiap anak Malaysia dapat merealisasikan impian, agar hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok, sarat dengan kemungkinan.

59. Untuk itu, Dasar Transformasi Nasional telah digubal dan dilaksanakan semenjak saya dan rakan-rakan mengambilalih kepimpinan parti dan kerajaan lebih tiga tahun yang lalu. Melalui dasar ini, kita telah memeta transformasi kerajaan, ekonomi dan politik secara rapi bagi mempastikan Wawasan 2020 akan tercapai.

60. Hasil pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, dan Model Ekonomi Baru misalnya, pendapatan per kapita GNI negara meningkat 30 peratus di antara tahun 2009 hingga 2011 iaitu daripada 6 700 dolar kepada 9 700 dolar.

61. Kemuncaknya nanti saudara dan saudari, ialah bagi mencapai pendapatan per kapita sebanyak 15 000 dolar. Hakikatnya, jika kita menggunakan kayu ukur mutakhir Bank Dunia bagi mengklasifikasi sebuah negara sebagai berpendapatan tinggi, iaitu 12 476 dolar, maka ia jelas menunjukkan, walaupun tempohnya masih tinggal tujuh tahun lagi, kita, Malaysia, sudahpun berada pada landasan yang betul, untuk lebih awal mencapai taraf tersebut.

Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,

62. Kita maklum bahawa, pihak pembangkang dalam usahanya untuk menawan hati rakyat telah mengeluarkan Buku Jingga sebagai manifesto kenapa mereka perlu dipilih menjadi kerajaan menggantikan Barisan Nasional dengan tema “Ubah Sekarang” “Selamatkan Malaysia”.

63. Dalam dokumen ini terkandung sejumlah 59 janji yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat. 10 daripadanya, konon, akan ditunai dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran mereka.

64. Sebaliknya, semua itu hanya nampak muluk-muluk. Padahal, cerita yang betul tentang kesan buruk jika janji-janji tidak munasabah itu dilaksanakan, tidak pula disampaikan kepada pengetahuan rakyat.

65. Jika disenarai, mereka mendakwa kononnya mampu menjamin pendapatan purata bulanan setiap isi rumah Malaysia pada kadar RM 4000, menghapuskan tol dan hutang PTPTN, memberikan elaun khas kepada guru sebanyak RM 500 sebulan dan menaikkan royalti petroleum sehingga 20 peratus kepada negeri-negeri. Mana mungkin semua itu diperbuat kerana natijahnya akan memusnahkan ekonomi negara, antaranya :

66. Pada tahun pertama seandai dilaksanakan, defisit bajet Kerajaan pusat akan melonjak kepada hampir 30 peratus. Kedua, menjelang tahun 2015 kadar nisbah hutang negara kepada KDNK akan melambung kepada 140 peratus.

67. Dalam tahun ketiga, kita akan mencapai tahap keparahan dan hilang kedaulatan ekonomi seperti negara Greece. Waktu itu pengurusan iktisad negara tidak lagi berada dalam tangan Kerajaan yang dipilih rakyat, tetapi beralih ke tangan institusi antarabangsa. Adakah itu yang kita inginkan?
Saudara dan saudari sekalian,

68. Inilah… inilah tahap kualiti dan hal ketidak mampuan perancangan ekonomi parti lawan. Namun, ia tidak langsung mengejutkan kita, kerana, semasa krisis kewangan Asia melanda Malaysia pada tahun 1997-1998, terbukti, Menteri Kewangan, saya ulang, Menteri Kewangan ketika itulah orangnya, yang kini, menjadi Ketua Pembangkang, bukanlah pengurus ekonomi yang cekap.

69. Beliaulah yang menggunapakai dasar maya Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF bagi menangani krisis ekonomi ketika itu. Semua orang mengetahui IMF masa tersebut diketuai oleh sahabat karibnya. Tindakan beliau memotong perbelanjaan pembangunan serta menaikkan kadar faedah di saat-saat keyakinan pasaran menurun dan memerlukan suntikan oleh Kerajaan telah menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat terbanyak khususnya masyarakat perniagaan.

70. Orang ini memang selayaknya digelar sebagai sesumpah politik. Bila bercakap di Amerika Syarikat dan kepada bangsa lain, berbeza nadanya, bila bersyarah kepada orang Melayu dan orang Islam, lain pula ceritanya. Semasa bersama kita dalam UMNO, caranya sekian, sekarang jadi Ketua Umum Pembangkang, segala pendirian dan fe’elnya berubah pulak.

71. Kalau ikut pepatah dulu, orang menyebut, dia ini lidahnya bercabang. Jelasnya, tiada orang boleh meneka watak sebenar beliau yang secara terang-terang mendukung usaha menjamin keselamatan Israel, pada kala dunia sedang mengutuk Rejim Tel Aviv yang kejam itu kerana membantai dan mengganyang umat Islam di Gaza. Akan tetapi, apabila kerajaan membentang usul mengecam Israel di Parlimen…dah.. dia menyokong pulak…heran..heran…

Saudara dan saudari,

72. Dalam Buku Jingga juga pembangkang menjanjikan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 tetapi realitinya Kerajaan Barisan Nasionallah yang berani mengambil langkah, tidak setakat memansuhkan ISA tetapi juga Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri, membatalkan 3 pengisytiharan darurat serta membiarkan ordinan-ordinan yang digubal, lupus.

73. Tidak sekadar itu, kita juga telah meminda AUKU bagi membenarkan keahlian pelajar dalam parti politik, meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan bagi menghapuskan keperluan lesen tahunan, serta mengembalikan semula hak semakan kehakiman secara amnya kepada mahkamah.

74. Atas sebab-sebab yang demikian, rakyat Malaysia perlu menilai dan membuat keputusan sama ada mereka mahukan keberterusan transformatif ini oleh UMNO dan kerajaan Barisan Nasional atau akan terumbang-ambing dalam kata-kata muslihat serta mainan tanggapan tidak masuk akal oleh pembangkang.

UMNO TEGAR DALAM MEMPERJUANGKAN ISLAM

Saudara dan saudari sekalian,

75. Sesungguhnya, UMNO sentiasa memperjuang dan mempertahankan Islam sepertimana termaktub dalam Perlembagaan parti, sesuai dengan kedudukannya sebagai Agama Persekutuan.

76. Dek kerana itu, tuduhan-tuduhan oleh pihak tertentu bahawa UMNO parti nasionalis yang sekular amatlah tersasar. Baru-baru ini, sampai kepada tahap, sanggup mendoakan kecelakaan kepada UMNO. Sedangkan kita, adalah saudara seakidah.

77. Alangkah peliknya perbuatan mereka ini. Dalam detik-detik saudara kita di Gaza sedang ditimpa musibah dan begitu memerlukan solidariti umat, mereka di sini pula sibuk mahukan kejatuhan orang lain.

78. Soalnya, adakah sebuah parti yang menguruskan ehwal pentadbiran negara seperti UMNO dengan begitu cemerlang layak dituduh sebagai tidak Islamik dan dinista semahunya?

79. Walhal, UMNOlah parti yang selama ini membolehkan Islam diamal sebagai cara hidup syumul di negara ini. Apakah tidak mereka melihat bahawa, selama berpuluh-puluh tahun semenjak merdeka, syiar Islam yang murni, begitu meluas di negara ini, yang bukan terbatas di bidang ibadah sahaja, bahkan merangkumi lapangan munakahat, muamalah dan jinayah.

Saudara dan saudari,

80. Pada kedudukan ini, kita sebenarnya telah membuat sekian banyak dalam mempastikan keberlangsungan Islam. Malaysia misalnya ialah antara negara Islam yang memiliki agensi khusus bagi pelaksanaan ibadah haji secara komprehensif.

81. Penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji telah membolehkan umat Islam yang dahulunya terpaksa menggadai harta benda, kini, bukan sahaja menabung tetapi juga dapat mengerjakan Rukun Islam kelima itu secara sistematik.

82. Begitulah dalam bidang muamalah. Malaysia ialah satu-satunya negara Islam yang menawarkan khidmat perbankan dan kewangan Islam meluas. Dari sistem pajak gadai sehinggalah kepada pengeluaran sukuk. Dewasa ini, kita berasa bangga dan gembira kerana sebuah forum global telah mengiktiraf kejayaan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam terulung dunia.

83. Hakikatnya umat Islam di Malaysia bukan sahaja boleh membuka akaun simpanan di bank yang menggunakan kaedah tanpa riba tetapi juga boleh membuat pinjaman perumahan, kenderaan, pelajaran, membuat pelaburan di pasaran saham dan lain-lain transaksi kewangan dengan menggunakan kaedah patuh syariah.

84. Melangkah dari situ, selain menjadi contoh sebuah negara Islam yang aman dan maju, Malaysia juga rancak menyumbang secara besar kepada kesejahteraan di seluruh dunia. Seperti ramai maklum, kita telah menghantar anggota pengaman, pemerhati tentera termasuk pasukan perubatan ke negara Islam berkonflik seperti Bosnia, Somalia, Lubnan dan Afghanistan.

85. Malah, mutakhir ini Malaysia telah menjadi pendamai dan orang tengah meleraikan konflik yang telah berlarutan lebih empat puluh tahun di Selatan Filipina, sehingga berjaya membuka lembaran baru kepada Bangsa Moro.

86. Malaysia turut komited untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat Palestin. Kita telah dan akan sentiasa memperjuangkan hak sah mereka untuk bernegara sendiri di forum-forum serantau dan global. Kita menyeru agar masyarakat antarabangsa menghormati aspirasi ini melalui prinsip dua negara yang telah dipersetujui. InsyaAllah, Malaysia akan menjadi negara pertama untuk membuka kedutaan di ibu kota negara Palestin yang merdeka dan berdaulat kelak.

87. Malaysia juga prihatin terhadap nasib yang menimpa masyarakat Rohingya di Myanmar. Kita menyeru agar keganasan yang dilakukan terhadap mereka ini, dihentikan serta merta dan penyelesaian yang adil akan dibuat.

Saudara dan saudari,

88. Merujuk semua itu, janganlah sumbangan kepada Islam diukur hanya dengan tahap retorik dan kuatnya bunyi pekikan slogan semata-mata, sedangkan sumbangan sebenar serta isi kandungannya tidak seberapa.

89. Sebetulnya pun, pencapaian memenuhi tuntutan Islam sebagai cara hidup ini berjaya dizahirkan dalam pada Malaysia merupakan sebuah negara berbilang etnik, budaya dan agama.

90. Kenapa dan mengapa? Tidak lain tidak bukan, kerana sejak merdeka, berpaksikan prinsip wasatiyyah, UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional dengan penuh keikhlasan telah mampu mencapai tahap muafakat yang tinggi bersama-sama memajukan negara.

91. Berlandaskan semua itu, ingin ditegaskan di sini, tanpa ragu-ragu lagi, bahawa, UMNO komited bagi terus mempertinggikan Islam berteras maqasid syariah, demi memelihara agama, nyawa, harta benda, aqal, maruah dan keturunan.

92. Kita tidak rela untuk memecah belahkan perpaduan umat Islam. UMNO tidak sekali-kali akan mencaci atau menista saudara seagama seperti parti lawan. Kita tetap tegas untuk mempertahan kesucian dan kemurniaan akidah.

93. Di atas pentas perhimpunan ini juga, kita mahu menyatakan tanpa berbasa-basi lagi bahawa, kita menentang… menentang sekeras-kerasnya mereka yang mendokong fahaman pluralisma mahupun liberalisma.

Saudara dan saudari,

94. Komitmen UMNO ini, selaras dengan peruntukan Perkara 11 Fasal 1 dan Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara. Perkara 11 Fasal 1, menjamin kebebasan beragama di negara ini sekalipun di bawah Perkara 3 Fasal 1, Islam ialah agama bagi Persekutuan.

95. Perkara 11 fasal 1 menyatakan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, namun tertakluk kepada Fasal 4 yang berbunyi “Undang-Undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.

96. Jadinya, kita ingin berpesan, cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat. Suatu ketika dahulu UMNO dituduh kafir melalui amanat Tuan Guru, yang tidak perlulah saya sebut namanya kerana seluruh Malaysia pasti kenal siapa dia. UMNO dicap kafir kerana bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam, kononnya tidak menyokong penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hudud.

97. Kesan amanat pada tahun 1981 itu bukan sahaja telah memecahkan perpaduan, tetapi juga telah menanamkan benih-benih kebencian di kalangan sesama Islam. Natijahnya, muncullah tragedi Memali, peristiwa Lubok Merbau, kejadian sembahyang dua Imam, perceraian suami isteri, perseteruan keluarga serta wujudnya fahaman haram memakan sembelihan oleh orang-orang UMNO.

98. Soalnya, adakah layak pemimpin seperti ini, yang hendak diangkat oleh rakyat untuk membela untung nasib mereka? Waima, dulu pun, selepas saja satu penggal menjadi Menteri Besar, orang Terengganu terus menolak kepimpinan beliau.

99. Tambahan lagi, kita dapati, hari ini, pemimpin yang sama dan parti yang sama mengecam UMNO itu, sudah tidak lagi memperjuangankan negara Islam, sebaliknya pula mahu menubuhkan Negara Berkebajikan. Mereka juga hari ini bekerjasama dengan sebuah parti yang menentang penubuhan negara Islam serta mahukan Malaysia dijadikan sebuah negara sekular.

100. Kenapa matlamat perjuangan mereka semalam berbeza dengan matlamat perjuangan mereka hari ini? Sedang ia melibatkan perkara asas. Terbukti, pelaksanaan negara Islam ala PAS di antara parti itu dan DAP masih belum diselesaikan malah cuba untuk disembunyikan. Kalau isu pokok yang paling besar membezakan mereka masih belum diputuskan bagaimana halnya hendak membentuk kerajaan campuran.

101. Adakah nafsu untuk berkuasa mengatasi prinsip perjuangan? Adakah matlamat telah menghalalkan cara? Tidak mengapalah kalau tidak melibatkan orang lain, tetapi apa yang tragisnya, ia telah menjadi pesta fitnah, propaganda jahat dan pendustaan yang ditujukan kepada UMNO serta seluruh rakyat Malaysia.

102. Berbicara tentang negara Islam, walau apa pun tohmahan yang diasak kepada UMNO, hasil perjuangan kita dalam memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini dan seantero dunia, tetap menyinar, tetap murni dan akan tetap dipersadakan.

103. Terbaru, sekumpulan ulama antarabangsa telah memulakan usaha bebas untuk merangka dan mengukur negara-negara berdasarkan Indeks Syariah. Kita bersyukur kerana, kajian mereka di peringkat global mendapati Malaysia menduduki kedudukan lima teratas dalam pematuhan indeks berkenaan.

KITA ATAU MEREKA

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

104. Pilihan kepada tuan-tuan dan puan-puan kini antara Barisan Nasional sebagai sebuah parti dengan rancangan holistik tentang halatuju masa depan negara atau parti pembangkang yang kelam kelibut serta bercelaru dibelenggu matlamat pakatan mereka, sama ada mahu menjadikan Malaysia sebuah negara sekular, sebuah negara teokratik atau sebuah negara berkebajikan.

105. Suka tidak suka, persoalan ini sangat asasi. Sesungguhnya, rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui secara nyata sebelum membuat keputusan paling penting bersabit masa depan mereka. Pilihanraya bukan satu uji kaji.

106. Lima tahun ialah jangkamasa yang lama dalam pentadbiran sesebuah Kerajaan. Pelbagai bentuk kerosakan boleh berlaku hatta sebuah negara yang berjaya pun akan gagal dan tersungkur.

107. Kerana itu, menyisir waktu, UMNO bukanlah parti yang mengamalkan taqiyah atau tipu muslihat dalam kerjasamanya dengan parti-parti komponen Barisan Nasional. Tidak seperti gabungan DAP, PKR dan PAS, yang tiada bertunjangkan ketulusan.

108. Contohnya, di Pulau Pinang yang diterajui DAP, parti PAS tidak menyertai kerajaan, di Kedah yang diterajui PAS, parti DAP tidak menyertai pentadbiran. Kita maklum, puncanya, kerana mereka saling tidak mempercayai antara satu sama lain.

109. Selanjutnya marilah kita menyingkap tabir di sebalik dakwaan parti DAP, yang mendabik dada bahawa merekalah yang paling demokratik di negara ini. Namun begitu, sungguhkah bagai dicanang? Apakah cerita sebenar dalam DAP?

110. Semua orang mengetahui DAP ialah parti anak, bapa dan menantu. Walaupun hanya memegang jawatan pemimpin Parlimen DAP yang tidak dipilih oleh ahli parti, ternyata Lim Kit Siang ialah individu yang begitu berkuasa dalam DAP.

111. Anaknya pula merupakan Setiausaha Agung parti dan Ketua Menteri Pulau Pinang. Manakala menantunya, merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka merangkap Naib Pengerusi Seksyen Wanita DAP.

112. Begitulah juga kisahnya dengan parti PKR. Di mana ia melibatkan suami, isteri dan anak. Si suami adalah Ketua Umum yang tidak dipilih. Isteri pula Presiden Parti manakala anak sulung Naib Presiden.

113. Berbalik kepada DAP, kalau kita kaji lagi, sifir dan tafsiran demokrasi ala Parti itu amat mudah. Jika bersetuju dengan kepimpinan, semuanya ok. Akan tetapi, seandainya seseorang ahli mempunyai pandangan berbeza, misalnya Tunku Aziz, mantan Naib Pengerusi mereka, yang tidak bersetuju dengan demonstrasi jalanan Bersih 3.0, dan dan tu…. tempoh jawatannya sebagai Senator tidak disambung untuk penggal kedua.

114. Inilah sebenarnya demokrasi cara DAP. Baru saja nak menyuarakan pendapat, hukuman sudah dijatuhkan. Kita tidak dapat bayangkan sekiranya mereka memegang tampuk kerajaan, apakah yang akan berlaku terhadap rakyat Malaysia yang tidak bersetuju atau berselisih pandangan dengan pihak kepimpinan. Apatah lagi seteru politik mereka.

115. Seperkara lagi, hari ini, tinggal seorang… saja orang Melayu di kalangan 30 kepimpinan pusat DAP. Inikah yang dinamakan demokrasi? Inikah yang dinamakan tidak perkauman? Inikah dinamakan kepelbagaian seperti yang selalu dimomokkan? Cubalah rakyat Malaysia renung dalam-dalam dan fikir masak-masak.

Saudara dan saudari,

116. Pucuk pangkalnya, UMNO akan terus memperjuangkan agenda Melayu dan Bumiputera supaya kita mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di negara tercinta ini. Kaedah yang digunapakai oleh UMNO bagi mencapai matlamat ini berubah mengikut era yang ditempuhi.

117. Perjuangan UMNO semenjak merdeka demi memartabatkan bangsa Melayu bolehlah dibahagikan kepada beberapa Fasa. Pertama, melalui penubuhan agensi seperti MARA, FELDA dan FELCRA.

118. Ia juga diperkukuhkan dengan kewujudan Dewan Latihan RIDA yang berkembang kepada Institut Teknologi Mara pada akhir 60an dan kemudiannya menyaksikan institusi ini dinaik taraf menjadi Universiti Teknologi Mara.

119. Fasa kedua menyaksikan penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan pelaksanaannya melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama yang merangkumi empat Rancangan Malaysia selama dua puluh tahun. Usaha berterusan dijalankan demi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

120. Ia menyaksikan penubuhan organisasi seperti RISDA, Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia serta penyediaan kredit mikro melalui Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tekun.

121. Usaha juga ditumpukan untuk mencipta masyarakat Perdagangan serta Perindustrian Bumiputera. Lantas kerajaan pimpinan UMNO telah menubuhkan Perusahaan Awam Bukan Kewangan atau syarikat milik kerajaan bagi membolehkan bangsa Melayu berkecimpung dalam dunia perniagaan.

122. Bagi meningkatkan ekuiti Bumiputera, kita mewujudkan Permodalan Nasional Berhad yang menguruskan skim pelaburan saham amanah seperti ASN, ASB dan lain-lain. Sesungguhnya, kejayaan terbesar fasa kedua ini ialah tumbuhnya institusi pendidikan menengah seperti Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Menengah Berasrama Penuh aliran sains, dan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam melalui program matrikulasi.

123. Secara nyata, perjuangan UMNO semenjak merdeka melalui fasa pertama dan kedua ini telah memperlihatkan kejayaan yang monumental melalui penciptaan kelas menengah profesional Melayu yang besar di samping menangani permasalahan kemiskinan di kalangan bangsa kita.

124. Bertapak di atas fasa pertama dan kedua tersebut, kita kini merangka dasar serta program yang lebih terarah serta berfokus antaranya inisiatif penubuhan Model Ekonomi Baru, Teraju, Skim Jejak Jaya dan Pelaburan Hartanah Bumiputera. Alhamdulillah, hasilnya, pemilikan ekuiti Bumiputera telah meningkat daripada 21.9 peratus pada tahun 2008 kepada 23.09 peratus pada tahun 2010.

125. Sungguhpun begitu, dalam helaan nafas yang sama, memetik iktibar daripada Firman Allah S.W.T, Ayat 8, Surah Al-Maidah, kita tidak pernah leka daripada mempertahankan hak serta berlaku adil kepada semua kaum. Ia juga terpelihara oleh Perlembagaan Persekutuan yang digubal berasaskan ijmak Kebangsaan.

126. Sedang UMNO komited bagi memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan Bumiputera, kita juga penuh iltizam bagi mempastikan bantuan dan pertolongan kerajaan sampai kepada dan mampu dinikmati golongan miskin, golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah daripada semua kaum di Malaysia. Kita mahu kemakmuran Malaysia dikongsi bersama dan tidak ada rakyat Malaysia yang akan ketinggalan.
127. Bahkan, UMNO menghargai dan menyanjung tinggi sumbangan setiap warga Malaysia tidak kira apa latar belakangnya demi kejayaan nasional.

128. Pastinya, kita sering menginsafi bahawa, kemajmukan yang kita miliki inilah tiang seri yang mempaterikan kekuatan sebuah negara bangsa. Sememangnya lagi, sebagai organisasi siasah, kita mendukung tanggungjawab untuk terus mempersatukan rakyat melalui titik-titik persamaan, bukannya mendamak racun-racun perbezaan. Itulah jua teras falsafah pemandu 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Saudara dan saudari,

129. Perbezaan yang terbesar antara kita dan pembangkang ialah bagi kita, janji dibuat untuk ditepati. Bukan seperti pembangkang yang sering berkata palsu apabila memancing undi, tetapi sesudah menjadi kerajaan semuanya kosong belaka.

130. Tanyalah kepada penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, di manakah kata-kata manis yang ditabur oleh Ketua Umum PKR semasa pilihanraya 2008?

131. Beliau berjanji kononnya dalam masa dua minggu selepas memenangi pilihanraya, akan selesailah masalah penduduk di sana. Kini sudah hampir masuk empat tahun, bak kata orang Penang… “ilekkk…”. Akhirnya…Barisan Nasional… juga yang selesaikan…

132. Selain itu, macam kata orang Tanjung jugak, boleh jadi caca marba…. seandainya Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan. Tukang buat janji, Perdana Menteri mereka, tak kisahlah siapa yang akan dilantik sama ada Ketua Umum PKR atau Presiden PAS, tetapi… si Ketua Menteri Pulau Pinang dari DAP akan tetap “buat tak tau…. dan buat dek…jer…” atas janji itu. Mungkin inilah sebabnya Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang menggelar bosnya sebagai Cocky, Arrogant dan Tokong.

Saudara dan saudari,

133. Selanjutnya; “tanyalah kepada oghe Kelate, …selesa doh ko masalah air ?… Sedar tak sedar, dah lebih dua puluh tahun PAS memerintah, tak selesa-selesa jugak”.

134. Tanyalah pulak kepada orang Kedah; “pasai PAS. …depa janji apa kat hampa tahun 2008 hari tu? …Cuba habaq mai…. tak ka macam-macam depa tabuq janji… kita tau sampai laa ni… macam-macam tak selesai… habuk pun tak dak”.

135. Seterusnya, kita tanya pulak penduduk flat kos rendah dan pangsapuri yang memakai meter pukal di Selangor. Mana janji-janji indah nak bagi air percuma? Satu lagi isu, kita tanya kepada ibu-ibu tunggal juga di Selangor, apa sudah jadi dengan elaun bulanan sebanyak seratus ringgit yang nak dibagi? Tak patut.

Saudara dan saudari,

136. Berbeza dengan kita UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional. Buktinya, semenjak saya dan rakan-rakan mengambil alih kepimpinan parti dan Kerajaan, melalui pelbagai usaha dan ikhtiar, parti ini dan Kerajaan ini, bukan sekadar suka-suka membuat janji dan memberi harapan, namun kita juga pasti berusaha, merintis sejuta jalan untuk menunaikannya.

137. Misalnya, di bawah pelan jangka pendek, antaranya :

• kita ada BR1M untuk rakyat berpendapatan rendah
• kita ada baucer buku 1Malaysia untuk mahasiswa
• kita ada bantuan 100 ringgit untuk semua pelajar sekolah
• kita ada Skim tayar 1Malaysia untuk pemandu teksi

138. Untuk jangka sederhana :

• kita menyediakan Pusat Transformasi Luar Bandar
• kita menyediakan Pusat Transformasi Bandar
• kita ada KR1M, Klinik 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Kedai Buku 1Malaysia, dan

139. Bagi jangka panjang pula, kita dipayungi Dasar Transformasi Nasional melalui inisiatif Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi hinggalah kita mencapai status negara maju. InsyaAllah.

Saudara dan saudari,

140. Pada sesetengah pihak, kita ingin ingatkan, kalau tidak pandai menari, janganlah lantai dikata jongkang jongkit. Hari ini, pelbagai institusi negara diserang dan dituduh sesuka hati secara melulu, dengan tujuan jahat untuk mengeliru dan menimbulkan syak di kalangan rakyat.

141. Misalnya, Suruhanjaya Pilihanraya yakni SPR difitnah bertubi-tubi. Sehinggakan tunjuk perasaan dianjur. Kita tahu, mereka lakukan ini sebagai tindakan awal jangka. Sebab, seandainya mereka kalah dalam pilihanraya nanti, bukan faktor tidak mendapat sokongan rakyat akan dibangkitkan namun, pihak SPRlah yang akan disalahkan dan dianggap tidak adil serta tidak berwibawa.

142. Sebab itulah tanpa segan silu mereka mengadu kepada kuasa asing bagi mengantarabangsakan masalah dalaman, sedangkan mereka tahu tindakan berkenaan hanya mengaibkan negara dan menghina intelek rakyat Malaysia.

143. Sebenarnya saudara dan saudari, tak perlulah kita libatkan orang asing untuk menunjuk ajar bagaimana menguruskan negara. Janganlah menjadi Si Kitul moden sampai sanggup mengkhianat bangsa dan tanahair.

144. Dah lebih separuh abad pun kita merdeka… tahulah kita selok belok negara sendiri. Persoalannya, selepas mereka menang di lima negeri pada pilihanraya lalu tiada pula rumah siap pahat berbunyi.

145. Seperti yang saya kata, bukankah Parti PAS sudah 22 tahun menerajui Kerajaan Kelantan? Bukankah juga Parti PAS yang telah memenangi pilihanraya negeri pertama tahun 1959? Bukankah Parti PAS sedang menerajui Kerajaan Kedah? Bukankah Parti PAS pernah menerajui Kerajaan Terengganu dan Perak?

146. Tidakkah pula PKR sedang menerajui Kerajaan Selangor manakala DAP kini mengepalai Kerajaan Pulau Pinang?

147. Selain itu, barangkali ramai masih ingat, bahawa sebelum menyertai Barisan Nasional, Parti PBS dan Gerakan merupakan Parti Pembangkang, dan bukankah PBS telah memenangi pilihanraya Sabah tahun 1985 dan Parti Gerakan telah memenangi pilihanraya Pulau Pinang tahun 1969.

148. Akhirnya, seperti terakam dalam peristiwa, bukankah Barisan Nasional gagal memperoleh majoriti dua pertiga semasa Pilihanraya Umum 2008?

Saudara dan saudari,

149. Jadi, jika sungguhlah tuduhan bahawa SPR tidak berwibawa dan tidak jujur, ini semua tidak mungkin berlaku. Ternyata, demokrasi tetap berfungsi, malar dan segar di Malaysia. Ternyata, pilihanraya di negara ini ialah proses yang bersih dan rakyat sudah matang serta bijaksana untuk memilih.

Saudara dan saudari,

Pilihanraya Umum ke-13 ini bukanlah satu pilihanraya yang biasa. Ia merupakan titik penentu kepada destini rakyat dan negara.

Pilihanraya inilah yang akan mencorakkan rupawajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan pada anak-anak kita. Antara sebuah Malaysia yang maju berteraskan nilai serta matlamat dikongsi bersama, atau, Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib dipalit rasa prasangka dan prejudis.

Hakikatnya, hasil kerja keras setiap generasi, kita telah membentuk Malaysia yang dikagumi rakan dan dihormati taulan. Siapa menjangka bumi yang sarat dengan segala rencam ini, mampu melepasi, apatah lagi berjaya menangani cabaran bernegara.

Pilihannya juga amat jelas, untuk kita melihat anak-anak tanpa mengira kaum mahupun agama berhilai ketawa, membesar dan berlibur bersama-sama, atau didewasakan dengan kebencian yang membara.

Di satu sudut, jalan mulia yang telah terintis semenjak merdeka, bersiram darah, bermandi air mata dan dibasahi keringat para patriot sepanjang zaman.

Hendaklah kita selalu beringat. Betapa susah payahnya bapa-bapa pengasas kita membina apa yang dinikmati hari ini. Sesungguhnya kita terhutang budi kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein, Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah.

Sebaliknya, saudara dan saudari, di satu sudut lagi, jalan bersimpang siur, kelam dan gulita, dibina atas fitnah, kepalsuan dan janji-janji bohong. Jika rakyat terpedaya dengan siulan menuju lorong itu, percayalah, negara yang permai ini akan hancur, runtuh dan tenggelam.

Sudah barang pasti UMNO tidak akan membiarkan semua itu berlaku. Jika kita kehilangan harta, ia boleh dicari ganti. Jika kita hilang darjat kedudukan, ia dapat dipulih semula. Tetapi, jika kita kecundang dalam perjuangan ini, kita sudah tidak punya apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. Akhirnya, terbangsat dan merempat di tanah sendiri.

Bumi mana tak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian dunia manakah yang wujudnya orang, atau pimpinan, atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah tersandung atau tersalah. Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami menyusun jari nan sepuluh memohon maaf atas kekhilafan.

Justeru, saya selaku Presiden UMNO, bersama-sama Timbalan Presiden, serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama Allah dan RasulNya, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam.

Walau apapun rintangan yang melanda, biar apapun cabaran menghalang, UMNO tidak akan berpulang walau setapak, UMNO tidak mungkin berpatah jalan. UMNO takkan berdalih dalam menjulang sebuah kebaktian. UMNO dan Barisan Nasional akan mara di barisan hadapan, menghadapi musuh dari luar mahupun dalam.

Saudara dan saudari,

Kita akan menggunakan segala kudrat yang ada bagi memenangani hati dan fikiran rakyat di gelanggang demokratik. Kita akan bersaing untuk setiap undi, kita akan berusaha untuk menyakinkan setiap rakyat Malaysia, kita juga akan mengetuk setiap pintu hati dan membuka setiap gerbang harapan.

Kita percaya, rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik dan kita yakin bahawa, UMNO dan Barisan Nasionallah yang mampu untuk menawarkan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.

Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,

Di sini… di sinilah kita dilahirkan, di sini… di sinilah tangis kita mula bergema. Di sini kita membina keluarga dan di sinilah kita melakar masa depan. Di sinilah juga, dengan izin Allah yang Maha Berkuasa, kita akan bersemadi untuk selama-lamanya.

Penuhkanlah tanah bertuah ini dengan rakyat yang mencintai harumnya perdamaian. Makmurkanlah watan ini sehingga labanya melimpah ke kaki halaman.

Duhai putera puteri… duhai para pejuang bangsa, segeralah… segeralah semua menyembah bakti. Pertahankan… pertahankan satu-satunya Bahtera Merdeka ini… pertahankan…. pertahankanlah Putrajaya.

HIDUP UMNO!

HIDUP BARISAN!

HIDUP MALAYSIA!

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

22 June 2012

Fiqh Mentaati Pemimpin - Ucapan Perasmian

UCAPAN PERASMIAN

Y.A.B DATO’ SRI MOHD. NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK

PERDANA MENTERI MALAYSIA

Sempena

SEMINAR ANTARABANGSA FIQH MENTAATI PEMIMPIN


15 Jun 2012 (Jumaat) | Masa 8.00 malam

Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia

1. Alhamdulillah saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurniaNya memungkinkan kita semua bertemu di dalam seminar antarabangsa, Fiqh Mentaati Pemimpin ini.

2. Izinkan saya menyampaikan setinggi penghargaan kepada Persatuan Generasi Bistari, MyKMU.net – sebagai penganjur bersama, setinggi terima kasih kepada NAZA Group of Companies di atas penajaan kepada acara ini. Secara ikhlasnya, saya menganggap penganjuran ini sangat bersifat ‘blue ocean’. Persatuan Generasi Bistari yang aktif dalam acara keilmuan; MyKMU dengan latar ‘platform media alternatif’, dan NAZA berlatarkan industri AUTOMOTIF – memang nampak sedikit pelik; namun inilah bukti bahawa kita tidak pernah mengehadkan ilmu agama kepada mana-mana pihak. Keterbukaan inilah yang menjadi teras kehidupan kita di Malaysia ini. Tidak ada pihak yang boleh mengatakan mereka lebih ‘dominan’, lebih suci dalam membicarakan isu agama.

3. Seterusnya, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua peserta, khususnya kepada para ilmuan, para intelektual, para ulama’, yang bakal membentangkan kertas kerja, para moderator dan semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung kepada penganjuran seminar ini. ‘Ahlan wa-Sahlan’ kepada semua; terima kasih kerana hadir.

4. Saya mengalu-alukan kehadiran semua, para peserta, ahli akademik, pengamal media, bloggers ke seminar antarabangsa ini. Seminar yang tidak mempunyai aura kepentingan politik, namun untuk membicarakan isu yang sangat signifikan dan penting secara jujur dan ikhlas. Untuk kita menerima maklum balas ilmuan, para ulama’ dalam membicarakan perkara yang sangat dekat dengan kita, umat Islam secara keseluruhannya.

5. Saya menganggap seminar ini satu diskusi yang bersifat sub-set kepada fundamental-fundamental fiqh yang lebih besar seperti, Fiqh al-Siyasah; mahupun Fiqhud Dawlah yang mempunyai kemungkinan membicarakan isu yang lebih besar. Namun, ianya sama sekali menidakkan keperluan kita berdiskusi mengenai ‘ketaatan kepada pemimpin’ secara terbuka, jujur dan ikhlas.

6. Saya amat berharap, dengan kehadiran para ilmuan daripada seantero dunia, seminar ini dapat membuat rumusan yang jelas, berlandaskan kebijaksanaan hukum dan latar agama yang boleh kemudiannya kita berkongsi dengan rakyat secara umum.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

7. Minat yang luarbiasa, dunia Barat terhadap ‘politik Islam’ kebelakangan ini adalah bersandarkan senario politik yang dinamakan ‘Arab Spring’. Istilah ini nampak manis dan lembut. Namun pada hakikatnya, ianya juga merujuk kepada apa yang dipanggil sebagai ‘al-Thawrah al-Arabiyyah’ (Arabic Rebellions) ataupun Arab Revolutions. Seakan-akan ada tsunami yang melanda rantau Timur Tengah yang melibatkan Negara-Negara seperti Tunisia, Mesir, Libya dan Yaman serta di mana wujudnya apa yang dipanggil sebagai ‘civil uprisings’ di Syria dan Bahrain.

8. Istilah-istilah seperti ‘kifaya’ (enough), irhal (leave) menjadi mainan bibir anak-anak muda. Mereka tidak memikirkan mengenai apa yang berlaku selepas itu; asalkan matlamat mereka terlaksana.

9. Semua ini berlaku pada waktu dan ‘timeline’ yang hampir sama. Ianya mencetuskan suatu keadaan yang tidak menentu. Malahan, pada ketika berada dalam dewan yang indah ini, sesetengah negara Islam masih lagi berdepan dengan proses ketidaktentuan politik yang semakin menjalar. Yang lebih parah, kedudukan dan suasana ketidaktentuan politik ini akan turut membawa suasana tidak menentu dalam soal-soal lain. Soal kebajikan rakyat, pendidikan, ekonomi, kemiskinan, masa hadapan generasi muka serta halatuju politik dan sosio-ekonomi rakyat dalam jangka masa yang panjang masih lagi belum terlunas.
Tuan-tuan dan Puan-puan,

10. Apakah dengan apa yang berlaku ini, berselindung di sebalik istilah ‘Arab Spring’, Arabic Rebellions dan sebagainya, kita sudah memperbetulkan pandang tanggap dunia Barat terhadap Islam? Dalam pada kita mencari penawar untuk gelombang Islamophobi, kita berhadapan dengan gugatan politik yang sebenarnya memberikan ruang kepada orang lain, membentuk perspektif yang lebih buruk terhadap Islam.

11. Ironinya, mereka yang pernah dan selalu berdegar-degar bercakap mengenai ‘political revolutions’ di dunia Arab; menganggapnya sebagai ‘renaissance’ politik baru; sebagai ‘political awakening’; sudah mula menerima kenyataan bahawa political revolutions per-se (revolusi politik) semata tidak membawa natijah yang diinginkan. Hakikatnya, political revolutions perlu juga disepakati dengan ‘social revolutions’, mindset revolutions dan perkara-perkara lain.

12. Sejak Disember 2010, sehingga hari ini, tidak banyak perubahan yang dapat disaksikan di rantau Timut Tengah. Ekonomi berdepan dengan kesukaran. Untung nasib politik masih lagi terpecah-pecah menurut kepada kepentingan masing-masing. Rakyat masih lagi berhadapan dengan kesulitan. Lebih malang lagi, ada pula kalangan penganalisa politik yang menggangap situasi tidak stabil ini sebagai sesuatu yang positif. “Instability can be constructive” – kata mereka. Apakah ini benar?

13. Apa yang ingin saya sampaikan, apakah pandang-tanggap, apakah ‘tasawwur’ Islam untuk berdepan dengan suasana yang sukar ini? Apa ‘worldview’ Islam berkenaan isu ini? Apakah kita juga menjadi tukang sorak kepada mantera demokrasi total yang menjanjikan suasana anarki? Di mana garis penentu; samada kita mahu mahu taat kepada pemimpin; atau mengambil keputusan untuk bersama dengan elemen-elemen yang merosakkan sistem negara sekaligus meletakkan pemimpin dalam kedudukan yang paling hina.

14. Di atas landasan dan jalur pandangan sama, saya kerapkali menekankan bahawa kita perlu mempunyai pendekatan ‘wasatiyyah’ dalam kita mengemukakan pandangan dan pendirian politik. Kita perlu bersederhana, mengelakkan ekstrimisme dan meletakkan kepentingan ummat melebihi percaturan dan kepentingan politik.

15. Enam bulan yang lalu, di Kuala Lumpur ini jugalah, saya menyampaikan pandangan kepada para alim ulama’, cendekiawan, para pemimpin dan pembuat dasar bahawa semangat MODERATION (kesederhanaan) wajar menjadi jalan hadapan (way forward) kepada umat manusia seluruhnya. Di International Conference on Global Movement of Moderates; saya memberikan pandangan, agar kita tidak mengambil pendekatan ekstrim dalam mengemukakan pandangan dan harapan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

16. Saya selalu beranggapan, bahawa hubungan baik pemimpin dan rakyat mestilah diasuh dengan adab ketinggian akal budi. Sementara suara rakyat berhak didengar dan disantuni. Idealisme, visi dan misi seorang pemimpin juga wajar dijadikan asas dan panduan dalam kita membuat keputusan yang tepat. Makna kata, hubungan pemimpin dan rakyat ini adalah saling memerlukan.

17. Sementara kualiti kepimpinan memang diutamakan oleh Islam, kualiti berkenaan tidaklah semata-mata terletak kepada pemimpin tetapi juga pengikut. Pengikut yang berkualiti akan melahirkan pemimpin yang berkualiti. Kualiti kepimpinan yang dilihat oleh Islam berhubung rapat dengan menunaikan amanah tanggungjawab kepimpinan.

18. Dalam hal ini, pemimpin mesti bersifat terbuka, sanggup menerima kritikan dan mengubah tanggapan negatif yang merosakkan kesejahteraan pengikut atau rakyat. Islam turut menggariskan hak-hak pemimpin dan yang dipimpin dan ia perlu dilaksanakan untuk mencapai kecemerlangan dalam kehidupan. Hak pemimpin yang pertama adalah Mendapat Kepatuhan dan Taat Setia. Kepatuhan dan taat setia dari para pengikut akan menentukan segala urusan berkaitan dengan kemasyarakatan berjalan lancar dan memastikan organisasi kepimpinan tidak kucar-kacir.

19. Selain memberi ketaatan, hak mendapat kerjasama juga adalah hak pemimpin. Para pengikut juga wajar memberi kerjasama dan memastikan sesuatu perancangan atau program yang digerakkan oleh pemimpin berjaya mencapai objektifnya. Pemimpin yang memimpin dalam lingkungan syariat wajar mendapat kerjasama sepenuhnya dari para pengikut.

20. Hak ketiga yang wajar dinikmati oleh pemimpin ialah mendapat nasihat dan teguran yang baik dari para pengikut. Menyedari akan hakikat bahawa pemimpin juga bukanlah perfect, Islam meminta umatnya menegur dan memberi nasihat kepada pemimpin mereka. Dalam hal ini pemimpin juga wajar bersifat terbuka, bersedia menerima teguran dan nasihat.

21. Oleh kerana itu, saya sentiasa mempertahan pandangan, kerjasama, hubungan baik antara institusi umara’ dan ulama’ ini adalah sesuatu yang sangat penting dalam kita mengurus sesebuah negara. Sayangnya, para ulama’ juga berhadapan dengan dugaan yang besar. Jika mereka terlalu akrab dengan kerajaan maka mereka dilabel sebagai ulama’ kerajaan. Inilah juga antara penyakit berat yang sedang melanda umat Islam. Para ulama’ juga kita mahu ‘labelkan’ dengan pandang tanggap partisan yang sempit.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

22. Sebagai pemimpin, wajarlah untuk kita menilai kewibawaan kepimpinan kita kepada garis asas yang digariskan oleh Maqasid al-Shariah. Maslahah daruriyat ialah maslahah yang menjadi keperluan asas kepada kehidupan manusia di dunia dan akhirat, jika sekiranya tidak dipelihara maslahah ini, kehidupan manusia akan pincang dan akan hilang nikmat yang sebenar. Maslahah asasi itu ialah, agama, jiwa, akal, keturunan (kehormatan) dan harta benda. Segala urusan agama dan keduniaan dibina di atas maslahah-maslahah ini dan hanya dengan memelihara kesejahteraannya sahaja, kehidupan individu dan masyarakat akan berjalan dengan baik.

23. Mana-mana pemimpin sekalipun mestilah memastikan lima asas maslahah ini dipenuhi dengan sebaiknya. Keperluan kita menjaga dan memelihara agama. Memastikan jiwa, akal, keturunan dan harta benda rakyat berada dalam keadaan yang sejahtera dan sebaik mungkin. Seorang pemimpin, dan sebuah kerajaan yang baik semestinya mampu menjaga kepentingan maslahah ammah ini dengan wibawa.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

24. Kewibawaan seseorang pemimpin dan kerajaan dalam menjaga kepentingan maslahah daruriyyat ini kemudiannya disempurnakan dengan usaha mengisi maslahah hajiyyat (keperluan) dan maslahah tahsinat (perkara-perkara yang menyempurnakan hidup).

25. Jika kepimpinan, mahupun kerajaan, dapat mengisi amanah yang sedemikian asas dan penting kepada syiar Islam maka, dengan sendirinya kita perlu memberikan kerjasama dan ketaatan kepada ulil amri yang ada.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

26. Saya amat berharap, agar para ilmuan yang hadir ke seminar ini dapat menilai secara objektif, bagaimana Malaysia menyusun langkah untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat. Apakah kita tidak punya masalah langsung dan sempurna? Tidak. Sudah pasti tidak. Disebabkan itulah juga, kita membuka ruang yang secukupnya untuk mana-mana segmen masyarakat mengemukakan pandangan dan keperluan mereka kepada kerajaan.

27. Sebagai pemimpin, saya cukup sedar, bahawa majoriti rakyat mengharapkan sebuah kepimpinan yang berwibawa dan berintegriti. Kepimpinan yang mampu mengisi harapan rakyat untuk mempunyai sebuah sistem pentadbiran yang baik dan membawa semangat keadilan buat semua. Inilah juga yang menjadi impian dan harapan saya, di saat mengemukakan pernyataan polisi bahawa semuanya mesti berteraskan RAKYAT DIDAHULUKAN.

28. Kalau ada pengajaran yang kita peroleh daripada apa yang berlaku di rantau Arab, untung nasib ekonomi orang muda tidak boleh kita pinggirkan begitu sahaja. Pandangan mereka, idealisme mereka, citarasa mereka, haruslah kita santuni dengan sebaik mungkin. Tidak ada ruang untuk kita asingkan mana-mana kaum mahupun segmen masyarakat dalam kepimpinan kita.

29. Disebabkan itulah juga, kita tidak pernah cuba untuk menidakkan semangat dan keperluan mengisi harapan orang muda. Motto saya mudah sahaja, ‘hari esok mestilah lebih baik daripada hari ini’. Ia sekaligus memberikan mereka harapan dan semangat bahawa mereka punya tempat di dalam hati dan naluri kerajaan yang saya ketuai.

30. Tumpuan khusus yang diberikan oleh kerajaan terhadap usaha-usaha pembaikan ekonomi melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan transformasi politik melalui Program Transformasi Politik (PTP) kesemuanya, merupakan respons kita bagi memberikan yang terbaik kepada rakyat.

31. Dalam konteks Malaysia, kita tidak pernah gagal untuk kembali kepada ‘wisdom dan kebijaksanaan’ rakyat dalam menilai kerajaan yang mereka inginkan. Dalam tempoh yang terdekat ini, kerajaan yang saya ketuai, akan sekali lagi diadili oleh rakyat. Kita akan meletakkan ‘rekod pencapaian’ kita kepada rakyat. Mereka jualah yang akan menilai pencapaian dan track record kita nanti.

32. Seikhlasnya, saya yakin, cukup yakin dan percaya, bahawa rakyat akan memilih sebuah kerajaan yang komited dengan janji, bersungguh dalam perjuangan, itqan dengan perubahan, beriltizam dengan harapan yang nyata dan konkrit.

PENUTUP

Tuan-tuan dan Puan-puan,

33. Saya mengharapkan segala yang terbaik dapat diperhalusi oleh seminar antarabangsa ini. Percayalah, dunia Islam masih belum bebas daripada tanggapan negatif mereka yang enggan menerima bahawa Islam boleh makmur di atas landasan kesederhanaan, wasatiyyah dan moderation. Inilah jalan hadapan kita bersama, dalam menampilkan imej dan tasawwur Islam yang lebih mampu mendepani masa.

34. Saya sentiasa mengharapkan pedoman kumpulan ilmuan, para ulama’, para mujtahid, para muslih, dalam sama-sama kita membentuk sebuah pentadbiran yang sebaik mungkin. Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dan mendoakan agar kita mendapat limpahan rahmat dan inayah Ilahi dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab kita, insya’Allah.

35. Akhir kata, moga dunia Islam akan makmur dengan politik bijaksana; dijauhkan daripada kalangan ‘saudagar-saudagar mimpi’ yang sanggup menggunakan apa sahaja cara untuk mencapai matlamat dan kehendak mereka.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

10 January 2012

Keputusan Mahkamah Sangkal Tuduhan Tidak Berasas Terhadap Kerajaan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan mahkamah membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat telah dapat membersihkan sama sekali kerajaan daripada tuduhan tidak berasas berhubung campur tangan dan konspirasi kerajaan terhadap pemimpin pembangkang itu.

"Keputusan hari ini sekali lagi menunjukkan bahawa di sebalik apa yang telah didakwa, sistem kehakiman Malaysia adalah sebuah institusi bebas di mana baik politik mahupun ahli politik mempunyai sebarang pengaruh berhubung pelaksanaan keadilan," katanya.

Najib berkata ini sebaliknya mengukuhkan pemisahan kuasa yang jelas bagi setiap cabang kerajaan Malaysia, dan begitu juga cabang lain tidak campur tangan dalam urusan cabang yang lain.

"Sebagai ketua cabang eksekutif, saya hormati keputusan cabang lain dalam kerajaan, badan kehakiman, kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebaik kepulangan beliau hari ini daripada satu lawatan ke Afrika Selatan.

Mahkamah Tinggi Isnin melepaskan dan membebaskan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, pada 2008. Najib berkata kes ini dibawa oleh seorang individu persendirian dan adalah penting tuduhan beliau itu didengar di mahkamah.

"Jauh daripada menjadi satu perbicaraan bermotifkan politik, ia telah menjadi satu gangguan yang tidak dialu-alukan daripada hal yang lebih penting untuk mentadbir negara kita demi kepentingan rakyat Malaysia," katanya.

Ini merupakan tuduhan meliwat yang kedua dihadapi Anwar. Pada 8 Ogos, 2000, dia disabitkan dan dihukum penjara sembilan tahun selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi kerana meliwat pemandu Azizan Abu Bakar.

Bagaimanapun, empat tahun kemudian, dia dibebaskan selepas Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 2-1, mengubah sabitan itu dan mengetepikan hukuman penjara.

 
Sumber: BERNAMA

4 January 2012

Dr M : I Will Campaign For UMNO And BN

Tun Dr Mahathir Mohamad said he is keen to campaign for Barisan Nasional in the next general election, adding he believes Datuk Seri Najib Tun Razak is supportive of it.

The former Prime Minister said he was especially keen to meet up with Umno divisional and other grassroots leaders whom he felt among some of them, were still besieged with disunity and factionalism.

“I want to meet them and hopefully be able to advise them that they must unite and stop the backstabbing to ensure the party will do well in the elections,” Dr Mahathir told The Mole.

He was commenting on blog reports that he had agreed to assist Najib in the coming general elections.

Asked when he planned to start to campaign for Umno and Barisan, Dr Mahathir said he was prepared to start at any time and has offered himself to carry out the task to Najib and the Umno leadership.

The participation of Dr Mahathir in the next election is much anticipated by Umno grassroots, as they believed he would help the party regain grounds they lost in the 2008 general election.

Many Umno members had then turned their back on the party because they shared Dr Mahathir’s disgust with the Tun Abdullah Ahmad Badawi leadership.

With Dr Mahathir publicly showing his support for Najib, Umno members were confident the party would be able to rally around the new leadership in the general election.

However, there were some who felt that the Umno hierarchy were dragging their feet in taking up Dr Mahathir’s offer to campaign and the lack of urgency may be the party’s undoing.

Prominent blogger Datuk Ahirudin Attan a.k.a Rocky had, in a posting on Tuesday, said that Dr Mahathir would most probably throw in his support behind Najib in the next general election.

The next general election, the 13th since Independence in 1957, is widely expected to be called within the next six months although the current government's five-year term would only expire in March 2013.


Source: The Mole

30 December 2011

2011 Tahun Teroka Media Sosial Baru

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap tahun 2011, sebagai jalan meneroka penggunaan media sosial bagi merapatkan hubungannya dengan rakyat.

Penerokaan itu dimulakan pada awal tahun, apabila buat pertama kalinya, Najib menjemput orang ramai bertanya soalan melalui laman Twitter dan Facebook.

“Saya tidak menjangka menerima respons hebat, tetapi saya berjaya menjawab soalan diajukan, termasuklah yang pelik-pelik,” katanya ketika menyoroti peristiwa sepanjang 2011 pada entri terbaru bertajuk ‘Imbasan 2011’ dalam blog 1Malaysia, semalam.

Perdana Menteri berkata, pada bulan berikutnya, beliau mempelawa 600 rakan dalam talian minum bersama di Seri Perdana dalam program ‘Mari Berjumpa, Mari Berhubung’.

Sikapnya yang berani meneroka cara baru itu menyebabkan beliau menerima banyak undangan secara dalam talian untuk berhubung dengan golongan belia.

“Tidak lama selepas itu, saya dijemput melakukan Gotcha di radio oleh krew pagi Hitz.fm dan membuat penampilan pada rancangan pagi di Radio Era, Mix.fm dan Hot.fm,” katanya.

Berdasarkan pengalaman siber dikutipnya, Najib berkata, beliau memperkenalkan Meja Bulat 1Malaysia iaitu platform interaktif untuk rakyat Malaysia memberikan komen atau idea untuk memperbaiki kehidupan pada Jun.

Najib sendiri mengambil bahagian membincangkan topik berhubung belanjawan untuk pertumbuhan mampan.

Pada tahun ini juga, Najib turut memperkenalkan barangan rasmi 1Malaysia yang banyak diedarkan melalui kempen Barangan Rasmi 1Malaysia.

Kempen itu turut menjemput rakyat Malaysia menghantar foto Jalur Gemilang yang kemudian dimuatkan ke dalam Album 1Malaysia Jalur Gemilang di laman Flickr milik Perdana Menteri.

“2011 adalah tahun sungguh berwarna-warni bagi saya dan saya perlu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan anda,” katanya. 
 
 
Sumber: Sinar Harian

5 December 2011

Ucapan Penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak Sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011

UCAPAN PENGGULUNGAN
 
PRESIDEN UMNO, DATUK SERI NAJIB RAZAK
 
SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2011
DEWAN MERDEKA, PWTC

3 DISEMBER 2011
-----------------------------------------------------------------------------------------------

ALHAMDULILLAH, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT yang memberi taufik dan inayah-Nya kepada kita semua sehingga perhimpunan agung kali ke-62 ini sudah sampai ke penghujung. Bukan saja kita akan berdepan dengan detik-detik terakhir perhimpunan ini, tetapi yang paling penting persidangan pada kali ini telah dapat disempurnakan dengan begitu baik dan jaya sekali.

Bagi saya elok saya mengucapkan terima kasih terlebih dulu sebelum saya melanjutkan ucapan saya kepada semua yang telah menyumbang kepada kejayaan perhimpunan kita ini. Tentu sekali ucapan terima kasih kepada Datuk Pengerusi Tetap yang telah mempengerusikan persidangan ini dengan baik, berselang lawak yang sungguh lucu hingga perwakilan tidak kering gusi dibuatnya. 

Saya juga mengucapkan tahniah kepada Timbalan Pengerusi Tetap yang membantu dengan cekap. Saya juga ingin melahirkan penghargaan kepada ibu pejabat, kepada Setiausaha Agung kita, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kakitangan ibu pejabat, pihak media, pihak keselamatan dan semua yang telah membantu agar persidangan UMNO kita berjalan dengan licin. 

Saya memanjat rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana ucapan dasar saya sebagai Presiden UMNO telah mendapat sambutan yang begitu positif. Saya amat menghargai Yang Amat Berhormat, Timbalan Presiden yang memberi sokongan padu kepada ucapan saya.

Saya juga berasa amat terharu bahawa setelah saya mengikuti ucapan-ucapan dalam sepanjang persidangan UMNO kali ini, semua perwakilan memberi sokongan kepada ucapan dasar saya.

Malah dua mantan Presiden UMNO kita, Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong dan memberi pandangan bahawa kronologi yang saya bentangkan dalam ucapan itu berjaya membetulkan persepsi kononnya UMNO adalah parti rasis.

Saya juga hendak merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Bahagia, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menyeru orang UMNO supaya terus memberi sokongan kepada saya dan terharu beliau sanggup hadir sebagai Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas.
 
Kelmarin saya telah menyenarai beberapa tokoh tersohor yang banyak berjasa kepada parti. Sudah tentu saya tidak mungkin dapat menyebut semua nama yang telah memberi sumbangan besar kepada parti. Saya telah menghentikan sebutan nama kepada jawatan Timbalan Presiden parti.

Namun saya telah menerima beberapa SMS yang meminta saya memberi pengiktirafan kepada Tun (Datu) Mustafa (Datu Harun) kerana beliau telah membubarkan USNO dan menjadi pengasas kepada UMNO di Sabah.

Saya telah berfikir apakah agaknya harapan saya kepada persidangan agung UMNO kali ke-62 ini. Tentu kalau kita buat sesuatu kerja, sama ada kerja amal, kerja ilmu, kerja politik, kita mesti meletakkan beberapa sasaran sama ada sasaran itu tersurat atau tersirat.

Saya hendak berkongsi pada sidang perwakilan bahawa saya telah menetapkan empat sasaran yang kalau tercapai maka persidangan ini boleh dianggap sebagai amat berjaya.

Sasaran pertama saya agar persidangan ini menggambarkan UMNO adalah parti bersatu dan ampuh barisannya, supaya bukan saja orang di dalam dewan ini mempunyai gambaran itu tetapi juga berjuta-juta di luar yang melihat melalui peti televisyen dan yang ada di dalam ruang luar PWTC.

Pemerhati-pemerhati mestilah melihat bahawa UMNO sebagai satu keluarga. UMNO sebagai satu organisasi politik, sebagai teras kepada politik tanah air kita ini berada dalam keadaan kukuh dan padu.

Yang kedua, saya hendak melalui persidangan ini sebab ramai menyebut kemungkinan persidangan ini terakhir sebelum pilihan raya. Orang yang menyebutnya - menggambarkan bahawa kita berada dalam keadaan kesiapsiagaan yang amat baik, bersedia untuk turun ke medan bakti berjuang habis-habisan agar UMNO kembali sebagai parti bermaruah dan bermartabat.

Yang ketiga saya ingin supaya melalui persidangan ini kerajaan mendapat sokongan untuk membawa perubahan yang besar kepada negara yang kita telah menggagaskan sebagai pelan transformasi nasional, mendapat mandat yang sepenuhnya daripada sidang perwakilan pada kali ini.

Dan yang keempat saya inginkan segala-gala yang menjadi perisian pada persidangan ini memberi isyarat dan mesej yang amat jelas bahawa rakyat Malaysia seramai 12.4 juta pengundi dan 28 juta rakyat keseluruhannya meletakkan keyakinan bahawa UMNO akan membawa negara kita dan rakyat Malaysia ke arah masa depan yang lebih cemerlang. Mereka tidak akan kecewa kalau diletakkan pengharapan di atas bahu dan jemala UMNO.

Bila rakan-rakan saya telah berucap tadi saya cuba membuat penilaian, zaman sekarang ini zaman KPI (Indeks Prestasi Utama). Wakil Sabah telah memberi KPI kepada saya tetapi saya nak sebut KPI dalam konteks keempat-empat ini. Mungkin orang kata saya bias, saya presiden kepada parti, tentulah saya akan memberi markah yang tinggi. Tetapi saya percaya sidang perwakilan akan bersetuju dengan saya bahawa keempat-empat objektif itu telah dicapai melalui persidangan kita pada kali ini.

Persidangan ini juga adalah persidangan yang amat-amat bersejarah kerana kita tak terfikir lebih awal lagi supaya di saat akhir persidangan ini ada satu ikrar atau pun baiah (sesuatu yang) lebih kuat daripada ikrar dari perwakilan.

Timbalan Presiden telah mengetuai ikrar dan baiah tadi. Terima kasih saya ucapkan kepada Timbalan Presiden dan pada saudara sekalian, ikrar itu mencatat satu sejarah baru dalam perjuangan parti kita.

Mari kita tinggalkan soal politik sebentar. Saya bertanya kepada diri saya sebagai ketua kerajaan bersama-sama dengan rakan-rakan saya, apakah agaknya objektif utama kalau orang bertanya ke arah mana kita nak membawa negara kita.

Kalau orang bertanya dalam tahun-tahun mendatang apakah di bawah kepemimpinan yang sedia ada ini apakah yang boleh mereka harapkan. Sebab jangan lupa yang di luar itu sentiasa menilai kita. Secara senyap mahupun secara terbuka tetap kita akan dinilai.

Saya tetapkan bahawa kita ini ada dua objektif dan ini ada sangkut paut dengan UMNO, dengan keinginan UMNO dengan perjuangan roh yang kita bawa ini. Yang pertama ialah kita mesti membuat perancangan yang cukup rapi, cukup teliti cukup kemas supaya dalam masa 10 tahun lagi, insya-Allah, Malaysia akan muncul sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi di bawah kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional.

Itu pertama. Yang kedua dalam konteks negara maju itu kita mesti pastikan agenda Melayu terlaksana dan orang Melayu juga berjaya dan dianggap sebagai bangsa yang mencecah taraf bangsa yang maju.

Jadi siapa kata kita tak ada agenda Melayu? Atau pun agenda Bumiputera memang kita ada. Apabila saya melaksanakan Gagasan 1Malaysia, saya tak menyatakan ketepikan agenda Melayu Bumiputera. Apabila saya turun ke bawah, ke ladang estet ke Kampung Baru Cina, bukan bererti bahawa saya kurang komitmen untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera. Saya melakukan perkara ini sebab kita mesti menentukan bahawa negara Malaysia kita ini mendapat sokongan daripada semua kumpulan etnik kerana masa depan UMNO juga bergantung kepada sokongan orang lain. Sebab itulah saudara sekalian kita melaksanakan bermacam-macam perkara untuk mencapai status negara maju. Kita ada pelan transformasi ekonomi. Kita mengunjurkan kira-kira RM1.3 trilion pelaburan dalam masa 10 tahun dan kita akan memastikan pertumbuhan ekonomi 5-6 peratus setahun.

Kita sudah tentukan projek-projek, apa jenis projek untuk mencapai taraf negara maju dan Alhamdulillah dengan adanya pelancaran dan pelaksanaan sedemikian apabila ekonomi Eropah merudum, apabila Amerika Syarikat berada dalam keadaan tidak menentu, kita di Malaysia ini, Alhamdulillah ekonomi kita ini mapan dan
stabil dan menunjuk pertumbuhan yang baik.

Di Amerika Syarikat, apabila saya berjumpa dengan Presiden Barack Obama, dalam pemikiran beliau paras pengangguran di negaranya sudah melebihi 9 peratus. Saya boleh memaklumkan kepada beliau, kita ada full employment di Malaysia Mr President. Kalau Amerika pertumbuhannya 1-2 peratus, saya boleh cakap, Mr President kita ada pertumbuhan 5.8 percent last quarter.

Saya bangga sebab ini kejayaan siapa? Kejayaan kepimpinan UMNO dalam negara ini. Ini bukan kejayaan saya secara peribadi tetapi UMNO. Sekali lagi ia membuktikan bahawa ke atas UMNO dalam apa juga keadaan rakyat boleh meletakkan harapan mereka. Saya setuju dengan apa yang dikatakan Datuk Shafie, rakyat boleh trust in us to lead this nation sebab kita tidak pernah mengecewakan rakyat, tidak pernah membohongi rakyat.

Apa yang menjadi masalah ialah puak di sana (pembangkang). Mereka ini bukan kuat sangat, tetapi pandai berkokok, dia berkokok kuat macam ayam, tetapi telurnya satu saja, kadang-kadang tak bertelur pun.

Berkokok sana, berkokok sini, bohong sana, bohong sini, tipu sini, tipu sana, fitnah sini, fitnah sana, bohong tak berhenti bohong.

Lepas itu dia kata kamilah juara sedangkan parti mereka sendiri kucar-kacir. Pembohongan yang terbesar dalam sejarah Malaysia iaitu apa dia perwakilan sebut, kuat sikit 16 September, dia nak berarak ke Putrajaya.

Dia boleh kata Yang di-Pertuan Agong menunggu mengangkat sumpah dia sebagai Perdana Menteri. Saya bersama Pak Lah (Tun Abdullah) masa itu, kita pun geleng kepala daripada mana dia bercakap ini.

Saya tanya Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertuan Agong pun geleng kepala, lepas itu dia kata 30 orang kita bersedia menyeberang sebelah sana, kita pun seperti kata orang nak play safe. Kepung dia (wakil rakyat), jaga dia. Tawaran ada tetapi tiada seorang pun Ahli Parlimen kita yang menyeberang belah sana.

Dia janji bermacam-macam jawatan, tetapi dia pandai, dia gunakan orang ketiga, orang kata third party untuk menyampaikan berita, satu proses yang tidak demokratik, lepas itu dia berkata tentera Malaysia berada di belakang dia.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ketika itu), (Jeneral) Tan Sri Aziz Zainal menyokong dia, saya kawan baik dia. Saya tahu dia setia dan taat kepada kerajaan. Ini pembohongan terbesar dalam sejarah. Lagi apa, banyak lagi, dia serang saya, fitnah saya tiga tahun tak habis-habis. Tak cukup saya, isteri saya pun dia serang, isteri saya yang duduk diam-diam itu pun kena serang juga.

Saya sudah bersumpah di atas nama Allah di masjid. Sebanyak empat kali saya bersumpah. Saya nak tanya dia, berapa kali dia bersumpah? Ada dia bersumpah dalam masjid, ada dia bersumpah di luar masjid, ada dia junjung al-Quran, di mahkamah pun dia tak berani bersumpah, masuk dalam kandang orang bersalah tak berani bersumpah, buat kenyataan politik tapi ini bukan soal politik.

Ini bukan kes kita lawan dia, ini kes (Ahmad) Saiful (Bukhari Azlan) lawan dia, itu saja. Tidak ada kena-mengena dengan UMNO. Siapa pilih Saiful? Lain itu dot..., dot..., dot..., banyak lagi cerita sebenarnya, Datuk Pengerusi banyak lagi.

Ini saya kata, macam ini ke orang nak jadi Perdana Menteri, banyak lagi bab lain boleh cerita. Kita tengok parti itu, dahlah parti anak-beranak yang sudah saya sentuh perkara itu.

Lepas itu, parti ini dia mencatat sejarah dunia saya rasa, sebab parti yang ramai sekali keluar daripada parti. Saya sudah buat semakan enam Ahli Parlimen, lima ADUN, timbalan presiden, naib presiden, setiausaha agung, ahli majlis tertinggi, tak cukup dengan itu peguam peribadi pun sudah keluar jadi Bebas.

Pengerusi DAP jadi peguam dia sekarang, segala rahsia dia pada DAP sekarang ini, betul tak? Peguam tentu tahu segala-galanya. Rahsia dia dengan DAP, DAP ada segala-galanya, sebab itu dia yang berkepak, sebab semua dalam tangan dia.

Dia sebut demokrasi. Ada demokrasi ke dalam parti dia? Saya tahu baling kerusi ada, kalau ada demokrasi takkan Datuk Zaid Ibrahim nak bertanding kata tak boleh. Dia tidak tak tahan lagi sebab apabila bilang undi, undi itu lebih daripada perwakilan.

Selepas itu tak tebal muka ini, dia apa nama, pilihan raya kita pun dia kata tak betul. Bila masa mengundi itu, pembangkang ada dalam tempat mengundi. Dia ada kita pun ada. Kalau kita boleh manipulasi peti undi (sudah tentu keputusannya) seperti zaman Hosni Mubarak di Mesir yang boleh mendapat 95 peratus.

Kalau kita boleh manipulasi peti undi ini, tuan-tuan dan puan-puan, adakah kita nak melepaskan Selangor di tangan mereka? Ingat kita nak biarkan negeri-negeri lain lepas ke tangan mereka, ingat kita nak biarkan Kelantan 21 tahun di bawah PAS? Tentu tidak.

Kita bukan penipu, kita buat cara yang jujur tetapi mereka menganjurkan BERSIH 2, berarak. Kita bagi stadium, tak nak stadium sebab apa, sebab skrip dah ada dah. Skrip sudah ada, skrip Mat Sabu (Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu) sudah ada, skrip dia masuk apa nama hospital sudah ada.

Ada orang kata ini boleh menang Oscar Hollywood, sudah siap skrip itu, siap diatur masuk ke dalam hospital terlentang dengan memakai baju kuning. Kalau masuk hospital gantilah baju tetapi tidak. Ini semua penipuan. Sebenarnya dia tidak kena apa-apa pun.

Saya memberitahu Datuk Seri Hishamuddin Hussein (Menteri Dalam Negeri) jangan usik dia. Polis tak usik dia pun, tapi dia buat macam sudah kena belasah. Tak kena pun, orang tak jentik dia pun, tapi skripnya sudah siap. Dimasukkan dalam Youtube nak tayang kepada seluruh dunia kononnya kita mempunyai polis state (pemerintahan polis) di Malaysia.

Selepas itu Mat Sabu berlakon lagi, terlanggar curb (pembendung jalan), kata polis langgar. Saya bersetuju dengan apa yang dikatakan perwakilan iaitu lagi banyak Mat Sabu bercakap. lagi untung kita.

Ini parti PAS ini. Saya nak berkata parti PAS ini apa perkataannya, tahun sudah saya kata bangang. Saya nak kata perkataan kedolai. Kedolai ini bahasa orang Pekan dia tahulah, sebab dia tahu dia diperkudakan oleh DAP. Betul tak? Diperalatkan oleh DAP.

Kalau perjuangannya atas nama Islam, tinggalkan daripada menjadi rakan kepada parti DAP. Tetapi kerana nak kerusi (dia sanggup) berpakat. Ini sebabnya saudara sekalian, 12 juta lebih pengundi yakinlah kalau ada pakatan yang rapuh seperti ini yang tidak ikhlas sebenarnya, yang ada pendirian bertentangan antara satu sama lain, kita tidak boleh menyerahkan negara yang tercinta kepada mereka.

Saya nak menyentuh mengenai parti yang kita kasih ini. Transformasi yang paling besar adalah transformasi pada diri kita. Peristiwa Hijrah sudah berakhir, tetapi perubahan besar yang perlu kita lakukan sekarang adalah pada diri kita sendiri.

Ujian terbesarnya adalah sejauh mana apa yang kita perkatakan (pada perhimpunan ini), kita bawa ke kawasan. Kita sudah berikrar. Kita balik ke kawasan, janganlah pula kita bersengketa. Kita lihat muka ketua bahagian itu, janganlah ada rasa menyampah terhadapnya. Kalau kita tengok ketua, tengok pada timbalan, jangan pula kata dia ini nak jawatan saya.

Berilah kerjasama, berilah kasih sayang yang sejati kepada parti. Kita mesti mempunyai semangat seperti Timbalan Presiden sebutkan tadi. Semangat sepasukan! Sebab apabila kita buat seperti yang dulu, kita kalah kerana ada orang UMNO yang mengkhianati perjuangan parti.

Kalau semuanya taat dan setia insya-Allah kita boleh menang pada bila-bila masa.
 
Jadi selepas ini, apabila kita pulang, kita pastikan barisan kita ini kukuh kerana tuan-tuan dan puan-puan sekalian, kita berdepan dengan ujian yang paling getir.

Beringatlah bahawa pilihan akan datang raya ini adalah paling getir dalam sejarah tanah air.

Pilihan yang dihadapkan pada rakyat adalah pilihan titik penentuan sama ada kita mahu melihat masa depan yang cerah, benderang. Menyaksikan sebuah Malaysia yang maju dengan memilih UMNO dan Barisan Nasional ataupun menempa jalan tragik, penuh kehancuran dengan memilih pakatan pembangkang.

Beringatlah juga, pilihan bakal dibuat kali ini bukan saja tentang UMNO dan Barisan Nasional tetapi kemuncak pada semua itu adalah untung nasib umat Melayu serta rakyat Malaysia keseluruhannya.

Sama ada kita melukut di tepi gantang atau kita terus mencipta kejayaan lagi. Kesimpulannya UMNO kini telah kembali berada landasan yang betul.

Buktinya, kebangkitan kita telah bermula dengan kemenangan di Bagan Pinang, diikuti Hulu Selangor, Batu Sapi, Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau. Inilah petanda bahawa transformasi parti secara besar-besaran telah pun bermula.

Lalu, pada detik, saat dan ketika yang bersejarah ini, di dalam Dewan Merdeka penuh berkeramat ini, kita mengambil seruan dan pengajaran dari firman Allah SWT bahawa hendaklah kita bersiap dan bersedia dengan segala kekuatan yang ada.

Perlengkapkanlah diri masing-masing. Kita akan turun dan berangkat ke medan juang sebagai satu saf yang padu. Sebagai satu pasukan kukuh. Sebagai satu barisan kuat dan semangat yang ampuh.

Sejak berdekad-dekad lamanya, berpuluh-puluh tahun tempohnya, kitalah parti yang membina nasib dan maruah umat Melayu, mendorong denai kebangkitannya, menjadi tiang seri kekuatan bangsa sebagai juragan intai penyelamat dunia.

Setelah mendaki, setelah baiah dipertautkan, setelah ikrar dilafazkan, marilah bersama saya, marilah bersama saya.

Pada saat dan detik ini, insaflah saudara saudari. Kalau kita leka, kalau kita alpa, kalau kita lalai, kalau kita masih bersengketa, kehinaan bakal tiba di muka pintu, tunggulah kehancuran. Maka terpampanglah Melayu merempat di tanah sendiri.

Sejarah menyebut bahawa fitnah dan nista telah berupaya melumpuhkan bangsa-bangsa.

Sekiranya perjalanan kita menempuh rintangan, kita akan pasti mencari jalan. Sekiranya perjuangan ini digempur sejuta halangan, kita pasti merempuh dengan penuh kecekalan.

Wahai orang UMNO, dengan Allah kita berlindung, kepada Allah kita memohon, semoga bala dan musibah ini tidak menimpa, semoga kita terus terpelihara, selagi UMNO terus di persada, selagi semangat terus marak dan menyala.

Wahai orang UMNO, benteng parti ini tetap perkukuh perjuangan ini, walau apa aral yang melintang, sekali-kali kamu tinggalkan Bukit Uhud-Uhud ini, panji-panji mari kita kibarkan.

Alah undur berpantang ajal, pertahankanlah ia, kendonglah ia, hingga kudrat yang terakhir.

Ayuh! Ayuh! Ayuh!.. semua ke medan tarung. Insya-Allah kemenangan pasti milik kita. Demi Islam! Demi Melayu! Demi Malaysia! Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO! 

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

1 December 2011

Teks Ucapan Dasar Presiden UMNO Sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011

TEKS UCAPAN DASAR

DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
PRESIDEN UMNO

SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2011
DEWAN MERDEKA, PWTC

1 DISEMBER 2011, JAM 9:30 PAGI

-----------------------------------------------------------------------------------------------


“UMNO MENJUARAI TRANSFORMASI”


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Yang Berbahagia Pengerusi Tetap,
Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap,
Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden & Puan Sri Norainee Abdul Rahman,
Yang Berhormat Naib Presiden-Naib Presiden,
Ketua-Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri,
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,

Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad & Tun Dr. Siti Hasmah,
Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi,

Ketua-Ketua Parti Komponen Barisan Nasional,
Dif-dif Kehormat,
Para Perwakilan, Pemerhati, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.


Saudara dan Saudari sekalian,

MUKADDIMAH

001. Alhamdulillah, dizahirkan sejuta kalimah syukur ke hadrat Allah SWT, Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani yang telah memberi izin dan inayah-Nya supaya kita dapat sekali lagi berkumpul dalam dewan penuh bermakna ini. Ucapan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW yang senantiasa dipersadakan kepimpinannya.

002. Berbekal rasa tawadhu’ dan kerendahan hati, Perhimpunan Agung UMNO kali ini ditandai masuknya Tahun Baru Hijrah 1433. Ini bererti, hampir 1380 tahun wafatnya Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW pada 11 Hijrah bersamaan tahun 632 Masihi. Baginda telah kembali ke pangkuan Ilahi. Pergi selamanya meninggalkan kita dengan dua pegangan utama yakni Al-Quran dan Sunnah sebagai suluh sepanjang zaman agar tidak tersasar dalam perjalanan hidup di dunia ini.

003. Menyisir sirah Nabawi, dengan beriktibar daripada rentetannya, Rasul yang agung itu, telah mewariskan kepada tamadun kemanusiaan suatu riwayat kepimpinan penuh berteladan. Baginda telah didokong dan didamping, penuh kemuliaan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Khalifah Pertama selaku teman setia yang arif berpengalaman, Saidina Umar Al-Khattab, Khalifah Kedua, Al-Faruq yang menjadi perlambangan ketegasan prinsip beragama.

004. Seterusnya, Saidina Uthman Al-Affan, Khalifah Ketiga, hartawan amanah dengan kewarakan dan keperibadian tiada tolok bandingnya, manakala Saidina Ali, Khalifah Keempat, simbol ketokohan golongan muda yang sanggup berkorban apa saja. Dimuliakan wajahnya serta turut digelar sebagai Singa Allah sepertimana Saidina Hamzah.

005. Sayugialah, para cendekiawan dan para pengkaji menyifatkan tali temali perjuangan suci Baginda dalam menegakkan syiar Islam, sebagai penuh berstrategi. Semuanya dipintal dan diikat oleh sifat-sifat mahmudah yang terpuji seperti cinta dan kasih kepada perjuangan, ketaatan, kesetiaan, pengorbanan, keikhlasan, kejujuran, amanah, kuat kerja, tidak putus asa, tabah dan pastinya bertawakal kepada Allah.


Saudara dan Saudari,

006. Menjejaki laluan tersebut, kita mahu terus mencontohi dan mengambil pengajarannya, bagi memperelok dan memperbaiki perjuangan UMNO, yang selama ini turut dipersaksikan oleh perjalanan suka duka, pahit dan manis, selaku sebuah parti penuh berjasa.

007. Tahun ini, UMNO menyambut kelahirannya yang ke-65. Hampir tujuh dekad berjuang sebagai organisasi politik yang menyejarah, mendaging dan mendarah dalam ikhtiar memartabatkan maruah serta mengangkat tinggi kedudukan orang-orang Melayu.

008. Sungguh jauh kita berjalan. Sungguh banyak hitungan masa. Walau dihadap segenap cabaran, walau dilempar segala fitnah, walau diterjah sedemikian banyak taktik jahat lagi kotor, digodam dan dihentam oleh pihak lawan, terbukti kita tidak pernah pudar semangat, tidak akan mengalah, dan, tidak akan mungkin padam cita-cita.

009. Bahkan, derap demi derap, terus menyusun strategi, mengatur langkah demi langkah, mara ke hadapan, menjulang panji-panji bangsa, agama dan Negara.


Saudara dan Saudari,

010. Bersesekali dengan itu jua, saya pohon, marilah kita sama-sama bangun dan berdiri……, bangkit, untuk beri satu penghormatan kepada para pendahulu, kesatria-kesatria UMNO, warga parti yang tidak didendang serta barisan negarawan unggul lagi terbilang yang dilahirkan oleh perjuangan mulia ini. Marilah….., marilah, kita angkat tinggi penghargaan kepada semuanya.

011. Bermula dengan gemulah tokoh-tokoh tersanjung yang telah pulang menyahut panggilan Ilahi seperti Allahyarham Dato’ Onn, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Razak, Allahyarham Tun Hussein, Allahyarham Tun Dr. Ismail dan Allahyarham Tun Ghaffar Baba. Begitulah juga tokoh-tokoh yang masih teguh berbakti hingga ke detik ini, seperti Tun Dr. Mahathir, Tun Abdullah Badawi dan Tun Musa Hitam.


Saudara dan Saudari,

012. Khususnya, kalungkanlah penghormatan kita kepada parti bertuah ini, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yakni UMNO yang telah memungkinkan sebuah negara merdeka terbina gagah, ilmu pengetahuan digembur dan disebar luas pada anak-anak, belantara dipugar, sawah ladang diusahakan, hingga laba yang lumayan melimpah-limpah ke kaki halaman.


Saudara dan Saudari,

013. Sememangnya termaktub, ceritera kejayaan Malaysia adalah cerita kejayaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, yakni UMNO, bersama dengan rakan-rakannya. Parti Perikatan, yang kemudiannya bergelar Barisan Nasional, adalah satu jelmaan dan terjemahan hasil pakatan ikhlas kaum Melayu/Bumiputera beserta kaum-kaum lain di Malaysia.

014. Berkat pengurusan negara yang begitu cekap, terutamanya di lapangan ekonomi, wajah Malaysia telah berubah daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah, diawali dengan lebih separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan, kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, di mana, kurang daripada empat peratus penduduknya berada bawah paras kemiskinan relatif manakala kemiskinan tegar pula hampir berjaya dibasmi.

015. Jika dihalusi, susur galur kejayaan ini, mempunyai bibit-bibitnya dalam prakarsa, perancangan rapi, penggubalan dasar dan pelaksanaan oleh kerajaan yang diterajui UMNO. Dalam kata lain, ia tidak terjadi secara sendiri mahupun dalam vakum atau kelompongan.

016. Lantas, usahlah kita berasa bimbang dan ragu. Malaysia, nyatanya, bukanlah sebuah kisah ditulis parti pemerintah yang gagal. Ia dinukil oleh sebuah parti yang berhak untuk berbesar hati, bahawa, mandat dan kepercayaan diberikan oleh rakyat Malaysia, telah digunakan sebaik-baiknya, demi kebajikan dan kegemilangan pertiwi.


Saudara dan Saudari sekalian,

017. Menghayati ehwal demikian, secara sedar atau tidak, bukan semua parti politik jika membentuk kerajaan akan menghasilkan kejayaan yang sama seperti kita. Lihat saja kepada sejumlah besar negara di dunia, waima, mempunyai pelbagai potensi termasuk sumber asli yang kaya, namun dek sebab kerajaan tidak berkebolehan, sia-sialah segala faktor dimiliki, malah akhirnya mereka menjadi negara yang gagal.


Saudara dan Saudari,

Pada perhimpunan tahun lepas, saya telah bercakap dan membicarakan dari sudut falsafah dan asal usulnya, siapakah itu Melayu. Kita dah dengar bahawa antara terhitung dalam kelompok Melayu adalah Bugis, Minang, Arab, Muallaf, serta berpuluh suku kaum di Sabah dan Sarawak. Hatta Mamak dan Malbari pun dah serap jadi Melayu. Celah-celah itu, ketiga-tiga Naib Presiden kita tampaknya terdiri daripada Jawa, Turki dan Bajau Laut atau lanun. Saya kata takpalah, yang penting semua kira Melayu…

018. Jadinya, pada perhimpunan kali ini, setelah saya belek-belek dan saya kaji-kaji pengalaman secara aktif selama 35 tahun dalam parti, bersempena pula UMNO sudah menjangkau satu umur yang sangat dewasa, berpengalaman dan matang yakni 65 tahun, elok rasanya kalau dikupas pula siapakah dan apakah ertinya menjadi orang UMNO.

019. Maksud saya, bilamana memperkatakan tentang parti, kita semua, sebenarnya, tidak cukup sekadar didefinisikan sebagai ahli UMNO. Sebaliknya, kita perlu menjadi orang UMNO. Makna kata, orang UMNO yang tergambar dan terpamer perwatakannya melalui tindak tanduk serta sistem nilai yang dipegang.


Saudara dan Saudari,

TAAT DAN SETIA

Pertama sekali, orang UMNO itu adalah, orang yang taat dan setia kepada parti. Orang UMNO tidak akan sekali-sekali mengkhianati parti.

Kita faham, adalah lumrah dalam sesebuah parti, mesti timbul perbezaan pendapat. Apa yang penting, kelainan pandangan itu, seharusnya membawa rahmat dan bukannya mengundang mudarat.

Dalam berijtihad pula, orang UMNO harus mencipta kebaikan untuk parti. Mengambil mufaham pengertian setia dan taat melalui syura dan musyawarah seperti difirmankan dengan indahnya pada helaian Surah An-Nisa’, apabila sesuatu keputusan telah dibuat, jika tidak menyalahi syariat, maka wajiblah ditaati.

Contohnya, kita mahu pengikut seperti Khalid al-Walid yang taat mengundur diri sebagai Panglima perang apabila diarahkan oleh Khalifah dan hanya ikut serta sebagai soldadu biasa. Sekalipun sedang berada dikemuncak karier, menurut sejarahnya tidak pernah kalah perang.

Seterusnya, Usamah bin Zaid, seorang anak muda belasan tahun yang setia menurut arahan mengepalai pasukan tentera Islam walaupun bukanlah seorang panglima yang berpengalaman di medan perang.

Inilah dia, watak, dan keperibadian pejuang sejati yang kita inginkan dalam susuk diri orang-orang UMNO.

Bercakap tentang taat setia juga, kita tak mau, bila depan kita disuruh angguk, dia angguk, disuruh geleng, dia geleng. Tapi di belakang lain pulak halnya.

Jangan tikam dari belakang dan jangan pulak main belakang. Bak kata pepatah, janganlah telunjuk saja lurus tetapi kelingking berkait.


Saudara dan Saudari,

CINTA DAN KASIH

Adapun nilai kedua orang UMNO itu adalah, orang yang cinta dan kasih kepada perjuangan parti. Seperti dimadah oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, dalam lagunya… itulah kasih mesra, sejati dan mulia.

Dalam hal ini, apabila ada rasa cinta dan kasih kepada parti, orang UMNO itu juga adalah, orang yang tidak takut dan tidak gentar menyuarakan pendapat serta mendengar pula pendapat orang lain demi kebaikan parti.

Ajaran agama dan pujangga melorongkan pedoman, perkatakanlah yang benar kerana kebenaran itu isi dan makanannya sejarah, tidak akan patah dipukul zaman.

Bersesuaian dengan nilai kesetiaan, bila kuat hawa kasihnya kepada parti, orang UMNO wajib membela dan mempertahankan parti, selagi hayat dikandung badan.

Seperkara utama lagi adalah, cerdik pandai berfatwa, tak kenal maka tak cinta. Lantaran, untuk mencintai parti, orang UMNO wajar kenal sejarah parti, samada yang tersurat, mahupun yang tersirat. Begitulah, seharusnya menjiwai prinsip serta falsafah perjuangannya.

Pendek kata, orang UMNO harus melihat parti sebagai satu-satunya wadah yang mampu membela untung nasib orang Melayu. Dalam berusaha pula, sebagai tanda kasih, orang UMNO sewajibnya bersemangat dan tidak sesekali mengecewakan parti yang dicintai.

Meluncur topik cinta dalam berorganisasi, orang UMNO wajib ada cinta yang satu sahaja kepada parti, tidak boleh cinta poligami, tidak boleh cinta berbelah bagi atau kata orang Indonesia berbagi cinta…tak mungkin Pak…engga’ bisa Pak…


Saudara dan Saudari,

BERKHIDMAT TANPA JEMU DAN BERKORBAN

Orang UMNO itu adalah orang yang sanggup berkhidmat tanpa jemu dan sanggup berkorban. Pengorbanan adalah satu sifat yang harus bersebati dalam diri orang UMNO.

Bersandarkan prinsip persalingan, orang UMNO harus menunjukkan keikhlasan berkhidmat kepada rakyat.

Beringatlah bahawa, rakyat sedang memerhati kita. Kata orang, rakyat itu sentiasa merasa, mendengar dan mengadili, biar betapapun senyap suara mereka, biar betapapun jua diam gerak geri mereka.

Disudut lain, sambil menghadam peradaban Melayu, orang UMNO perlu bermuhasabah ke dalam diri masing-masing. Masih wujudkah semangat Tun Tuah di sanubari? Masih bergemakah kekentalan jiwa Tun Fatimah?

Mahu tidak mahu, orang UMNO harus berusaha tanpa jemu. Biar berdepan apa pun cabaran, pastikan UMNO menang, biar dilintang apapun dugaan, orang UMNO mesti terus berdamping dengan rakyat. Sedarlah kita bahawa, dalam sistem demokrasi, tidak ada tempat kedua. Kita wajib jadi juara.

Kesimpulannya, kemuncak pengorbanan adalah menjunjung kepentingan dan maruah parti, bukannya kepentingan dan maruah peribadi.


Saudara dan Saudari,

(I) 1946

020. Terpanggu atas segalanya, kejayaan terbesar UMNO adalah menyatupadukan orang-orang Melayu melalui penubuhannya pada 11 Mei 1946. Lantaran itu, perlu ditegaskan bahawa, kejayaan ini bukannya kecil, jauh sekali daripada bersifat enteng kerana bangsa Melayu sebelum Perang Dunia Kedua, masih belum endah politik, disamping terbelenggu semangat kenegerian.

021. Jangan dilupa juga, termusta’id dalam lembaran sejarah bahawa, UMNOlah yang telah berjaya menguburkan penubuhan Malayan Union dan menggantikannya dengan sistem Persekutuan Tanah Melayu. Sekaligus, ditanda dengan episod itu, UMNO telah berbakti menyelamatkan kedudukan Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu dan kesucian agama Islam.


Saudara dan Saudari

(II) 1951

022. Kemudiannya, satu episod getir telah dilalui oleh UMNO apabila Dato’ Onn Jaafar seorang tokoh bangsa, selaku Presiden Pengasas, meletakkan jawatan, sebagai Yang DiPertu,a dan keluar dari parti.

023. Pada masa tersebut, banyak pihak telah menitipkan belasungkawa dan membacakan talqin terhadap UMNO kerana hilangnya kepimpinan. Sekalipun begitu, pemilihan parti telah menyaksikan Tunku Abdul Rahman mengambil tempat sebagai Yang DiPertua dengan Tun Razak sebagai Timbalannya yang setia.

024. Ternyata, telahan kelam oleh pelbagai pihak bahawa, UMNO akan karam, amat meleset, malah, penggantian kepimpinan ini telah merancakkan lagi usaha bagi mendapat kemerdekaan negara. Serentak dengan itu, slogan “Hidup Melayu” telah diubah kepada “Merdeka”.

025. Kendatipun para ahli tidak menerima cadangan Dato’ Onn untuk membuka pintu UMNO kepada orang-orang bukan Melayu, kepimpinan parti waktu itu, memahami realiti yang ada dan berfikir panjang, malah berilham jauh ke hadapan dengan mencipta prinsip atau konsep perkongsian kuasa unik, melalui Parti Perikatan dengan menggabungkan UMNO, MCA dan MIC. Yang termustahak adalah, taat setia semua kaum kepada Persekutuan Tanah Melayu.


Saudara dan Saudari,

(III) 1955

026. Menyentuh usaha tersebut, iltizam UMNO bagi menjayakan prinsip yang dipelopori jelas terpamer sejak dari awal lagi. Sebagai contoh, dalam pilihanraya tahun 1955, untuk memilih 51 daripada 52 ahli Majlis Perundangan Persekutuan, prinsip perkongsian kuasa telah dipraktikkan UMNO apabila kita meletakkan calon di hanya 35 kawasan, berbanding MCA, 15, dan MIC, 2. Walhal, daripada 52 kerusi yang dipertandingkan, 50 adalah kawasan majoriti Melayu, dan hanya 2, kawasan majoriti Cina.

027. Perlu diketahui juga, pecahan pengundi semasa pilihan raya tersebut, mencatatkan majoriti kira-kira 84 peratus atau lebih 1 juta pengundi Melayu. 11 peratus atau seramai 143 ribu pula, adalah pengundi Cina, manakala 50 ribu, atau, hampir 4 peratus sahaja, di kalangan pengundi India.

028. Hakikat tersebut nyatanya, tidak menghalang semua calon parti MCA dan parti MIC untuk menang. Bagi pemimpin dan orang-orang UMNO, demi mencapai perpaduan antara parti-parti komponen Perikatan, mereka harus menunjukkan keikhlasan berkongsi kuasa. Keikhlasan ini dimanifestasikan dalam bentuk kerelaan memberi kerusi majoriti Melayu kepada parti-parti komponen untuk ditandingi.

029. Tidak terhenti setakat itu sahaja, ia diikuti pula dengan kesanggupan orang-orang UMNO untuk mengundi calon bukan daripada bangsa mereka sendiri, demi matlamat lebih besar, yakni memenangi pilihanraya, kemudiannya, membentuk kerajaan, seterusnya mencapai kemerdekaan.

030. Terbukti, sejak dari dulu lagi, UMNO bukanlah sebuah pertubuhan rasis. UMNO sebenar dan sebetulnya adalah pencetus serta perintis kepada semangat tolak ansur antara kaum, yang akhirnya, telah mencipta kestabilan sosial, membawa kepada kemakmuran nasional.


Saudara dan Saudari sekalian,

(IV) 1957

031. UMNO juga melalui Parti Perikatan telah mengemudi pelayaran bahtera merdeka, tanpa pertumpahan darah, mahupun revolusi. Ia dimeterai atas meja rundingan. Syukur, tiada kemusnahan, sekalipun terhadap sumber kekayaan negara, samada dalam bentuk ladang mahupun lombong. Ini, membolehkan kerajaan yang baru merdeka, membina sebuah watan aman berjaya, di atas asas-asas pemerintahan sedia ada.

032. Setepatnya, kisah kejayaan kita bermula sebelum negara mencapai kemerdekaan, 54 tahun yang lalu. Ia bertitik tolak apabila Kerajaan Perikatan dengan kuasa terhad, di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman dibentuk pada tahun 1955. Sebaik sahaja mencapai taraf berkerajaan sendiri, Perikatan mula mengorak langkah, bagi membaiki nasib rakyat, dengan penggubalan Rancangan Malaya Pertama, antara tahun 1956 hingga 1960. Dalam ketika itu, pada 1956, FELDA ditubuhkan, disusuli pula langkah-langkah lebih konkrit pasca merdeka.

033. Penubuhan FELDA menjadi satu langkah yang amat mendahului waktunya. Ia telah memberi peluang kepada mereka yang tidak bertanah, ia telah membawa sinar kepada mereka yang tidak mempunyai harapan, dan ia telah menawarkan permulaan baru untuk warga Malaysia keluar daripada kemelut kemiskinan. Segala tahmid ke hadrat Yang Esa, hari ini terdapat lebih 100 ribu peneroka di seluruh negara yang telah menikmati hasil rancangan penuh berwawasan ini, bersama-sama ratusan ribu generasi kedua.


Saudara dan Saudari,

034. Berbalik kepada salasilah, apabila negara memperoleh kemerdekaan, maka cabaran pertama dihadapi UMNO dan Parti Perikatan ialah, bagaimana hendak menangani pengaruh dan ancaman Parti Komunis Malaya serta menamatkan darurat yang telah diisytiharkan pada tahun 1948. Alhamdulillah, matlamat ini telah berjaya dicapai, kurang daripada tempoh tiga tahun selepas 1957.

035. Kejayaan yang dicapai bukanlah sedikit, sebaliknya ia begitu signifikan dan tersergam kepada negara. Kita harus melihat kejayaan ini dari perspektif apa yang berlaku dirantau ini. Kalau diamati, walau ada penglibatan kuasa besar dunia dengan kekuatan militer tanpa tolok banding, masih tidak mampu menghalang pengaruh komunisme. Sebaliknya, sebuah kerajaan baru merdeka, dengan sokongan padu rakyat, berjaya menyanggah teori domino.

036. Oleh yang demikian, UMNO mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu yang cuba menulis dan meriwayat semula sejarah, dengan memperlekehkan sumbangan para pahlawan negara. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mengenang budi, kerajaan Barisan Nasional tidak akan sekali-kali membiarkan wirawan serta wirawati kita, tanpa pembelaan sewajarnya. Sesungguhnya, jasa dan bakti mereka akan terus malar serta segar dalam sanubari dan ingatan setiap rakyat Malaysia.

037. Selepas memenangi keamanan, telah diisytiharkan pula perang terhadap kemiskinan dan kemunduran. Seperti disebut tadi, ini wajar dilakukan kerana, seawal merdeka, lebih 89 peratus rakyat Malaya hidup di kawasan luar bandar dan pedalaman, dengan kadar buta huruf yang tinggi, akses kepada pendidikan yang rendah, ditambah pula kemudahan asas yang terkebelakang.

038. Lucunya, kita kini mendengar pihak-pihak tertentu tanpa segan silu menguar-uarkan konsep negara berkebajikan. Kita ucapkan syabas dan tahniah kepada mereka, kerana, baru sedar terhadap konsep negara kebajikan ini. Sesungguhnya, mereka sudah 60 tahun terlewat.

039. Soalnya, kenapakah kini, baru prihatin terhadap kebajikan rakyat? Kita ingin bertanya, sebelum ini apa matlamat perjuangan mereka? Adakah matlamatnya semata-mata untuk memecahbelahkan ukhuwah umat? Hakikatnya, dengan segala inisiatif dan perlaksanaan demi rakyat, kerajaan Barisan Nasional sudah sejak melebihi enam dekad, mengamalkan konsep negara berkebajikan.


Saudara dan Saudari,

(V) 1969

040. Apabila tragedi hitam rusuhan kaum 1969 terjadi, prognosis pemerhati antarabangsa terhadap Malaysia amat buruk. Mereka meramalkan kita akan gagal manakala rakyat seolah-olah telah hilang harapan. Sementelahan pun begitu, UMNO dan rakan-rakannya jauh dari menyerah kalah atau hilang pedoman. Sehubungan peristiwa ini juga, jangan sekali-kali kita alpa bahawa, terdapat di kalangan pemimpin pembangkang, turut terlibat mengapi-apikan slogan untuk menghina orang Melayu sehingga berlakunya tragedi 13 Mei.


Saudara dan Saudari sekalian,

(VI) 1970

041. Tarikh 22 September 1970 menyaksikan Tunku Abdul Rahman melepaskan kepimpinan negara diikuti kepimpinan parti. Tun Razak telah mengambil alih kedua-dua jawatan tersebut, maka bermulalah era pelaksanaan DEB. Fokus masih lagi kepada kawasan luar bandar dan pedalaman.

042. Ini dicerminkan menerusi penubuhan agensi, antara lainnya, RISDA, untuk pekebun kecil getah, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Kemajuan Ternakan Negara, masing-masing untuk petani, peladang dan penternak. Bagi merancakkan pembangunan wilayah pula, kerajaan telah menubuhkan KEJORA, KETENGAH, PERDA, KEDA, KESEDAR, DARA dan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka.

043. Bagi mencipta masyarakat perdagangan dan perindustrian serta kemasukan kaum Melayu/Bumiputera ke dalam sektor moden pula, kerajaan telah menubuhkan agensi seperti Bank Bumiputra, UDA, Pernas dan Perusahaan Awam Bukan Kewangan atau PABK.

044. Kesan utama pelaksanaan dasar ini, dan pewujudan Barisan Nasional adalah terciptanya kestabilan sosial yang membolehkan pertumbuhan ekonomi mapan dengan kadar pukul rata hampir 7 peratus untuk dua dekad berturut-turut. Ini secara langsung telah meningkatkan kemakmuran serta taraf hidup semua rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum.


Saudara dan Saudari,

(VII) 1988

045. UMNO menghadapi saat paling dahsyat apabila parti keramat ini diharamkan pada tahun 1988. Ini kerana keputusan pemilihan parti 1987 tidak dapat diterima dan kes telah dibawa ke mahkamah. Walaupun UMNO berpecah dua, seraya menyaksikan satu percubaan untuk meniru konsep Barisan Nasional melalui Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah, hal ini tidak berjaya, kerana tidak ada keikhlasan.

046. Sungguh apapun, segala cabaran telah berjaya diharungi. Bangkit dari runtuhan UMNO lama, UMNO baru telah wujud bagi terus membela umat Melayu dalam satu proses pemulihan parti dengan tidak mengambil masa yang lama.


Saudara dan Saudari,

(VIII) 1990

047. Berlawanan dengan tafsiran cetek oleh sesetengah pihak, DEB sejelasnya tidak pernah merugikan orang-orang bukan Melayu. Buktinya, setelah dua dekad pelaksanaan, pada tahun 1990, orang bukan Melayu masih lagi memiliki ekuiti terbesar dalam kekayaan negara manakala pendapatan pukul rata isi rumah mereka, masih yang tertinggi antara kaum di Malaysia.

048. Diperakui, walaupun matlamat pemilikan ekuiti tidak tercapai sepenuhnya, paling terkesan ialah penciptaan kelas menengah Melayu yang besar, menjelang berakhirnya dasar ini. Saiz kelas menengah ini meningkat tinggi dengan pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional antara 1991 hingga 2000. DEB, sebenarnya telah mengasaskan kestabilan sosial kebangsaan yang membolehkan penciptaan kekayaan dan kemakmuran dinikmati oleh semua pihak.

049. Salah satu kisah kejayaan lagi, ialah bertambahnya jumlah profesional Melayu/Bumiputera. Jika dikaji, ketika bermula pelaksanaannya pada awal 70an, hanya terdapat kurang 5 peratus profesional daripada kaum Melayu dan Bumiputera. Jumlah ini telah bertambah kepada 45 peratus dari keseluruhan profesional hasil DEB dan dasar-dasar seangkatan dengannya.

050. Prakarsa kerajaan melalui penubuhan sekolah berasarama penuh atau SBP dalam bentuk Sekolah Menengah Sains, Maktab Rendah Sains MARA, pusat asasi sains, matrikulasi untuk IPTA tempatan dan penghantaran pelajar ijazah pertama ke luar negara menjadi pemangkin yang telah membawa kepada kemunculan kelas pertengahan Melayu.

051. Dasar ini juga telah menunjang pergerakan menegak mobiliti sosial, maka tidak pelik melihat anak seorang buruh kasar hari ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan. Anak pesawah, penoreh getah, nelayan dan peladang pula menjadi anggota pentadbiran tertinggi, penjawat awam dan korporat, usahawan, hartawan dan cendekiawan.


Saudara dan Saudari,

052. Sebagai dimaklumi, asalnya kita adalah sebuah negara pertanian yang eksport utamanya adalah komoditi seperti getah, kelapa sawit dan bijih timah. Pada pertengahan tahun 80an, apabila pulih daripada menghadapi kemelesetan ekonomi akibat kejatuhan harga komoditi utama negara, kerajaan telah memulakan proses industrialisasi.

053. Tumpuan juga mula diberikan bagi menjadikan Malaysia pusat tarikan pelancongan global disamping pembinaan projek infrastruktur yang besar. Misalnya, Lebuhraya Utara-Selatan yang telah berjaya merangsang pertumbuhan dan proses urbanisasi.

054. Pucuk pangkalnya, semua inisiatif, dasar dan program ini telah membawa kepada perubahan struktural bukan sahaja kepada lanskap sosioekonomi rakyat Malaysia tetapi juga kepada sistem nilai, taraf hidup dan pendidikan lebih tinggi serta akses kepada maklumat yang lebih luas.


Saudara dan Saudari,

(IX) 1999

055. Direnung-renung dan ditinjau-tinjau semula, dalam Pilihanraya 1999, sungguhpun penggunaan telefon bimbit makin meningkat, disebabkan keupayaan teknologi masih terbatas ketika itu, ia belum mampu menyalurkan data. Maka, e-mel, faks dan laman sesawang yang tidak interaktif, menjadi medium popular sebagai penyampai berita alternatif. Meneropong kembali, waktu itu, belum ada Google, belum ada Facebook, belum ada Twitter hatta telefon pintar.

056. Berbanding sekarang ini, menurut data dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kita mencatat 36 juta pelanggan telefon selular, iaitu kadar penembusan 124%, atau, 124 set bagi 100 penduduk. Penembusan jalurlebar sekarang pula telah meningkat kepada 62% langganan isi rumah. Dengan kata lain, 4 juta isi rumah dari sejumlah 6.5 juta isi rumah, atau, lebih 16 juta penduduk Malaysia mempunyai kemudahan jalurlebar.

057. Selain itu, lebih 40 peratus yang melanggani TV satelit berbayar, mendedahkan mereka kepada saluran berita seperti CNN, BBC dan Al-Jazeera, bagi mengikuti perkembangan dunia secara langsung.


Saudara dan Saudari,

(X) 2011

058. Bertapak jauh selepas satu dekad, pengenalan SMS, MMS, BlackBerry Messenger, telefon pintar, media sosial, tablet eletronik pintar dan Wi-Fi percuma telah mejadikan akses kepada idea, pendapat dan berita melaluinya menjadi lebih mudah.

059. Umpamanya, ucapan perayaan Aidil Adha, yang disiarkan semasa saya dan rombongan mengerjakan Haji baru-baru ini, telah dirakam semasa di Padang Arafah, dengan menggunakan iPhone, sebelum diedarkan kepada media tempatan.


Saudara dan Saudari,

060. Berkalam tentang kecanggihan sebegini, demikian kita menyaksikan saat-saat akhir Saddam Hussein di tali gantung, serta juga nasib yang menimpa Muammar Gaddafi. Perubahan yang berlaku di Tunisia, Mesir, Libya dan Yemen serta protes di Syria seperti kita lihat, adalah juga, genesis kepada medium media sosial. Kita dapati, walaupun pemerintah negara-negara berkenaan cuba untuk membuat putaran cerita, namun dengan hanya telefon pintar, jalurlebar dan YouTube, mampu menceritakan apa yang sebenarnya berlaku, di negara-negara tersebut.

061. Berpacu dari sini, kerajaan, melalui SKMM telah mewujudkan lebih kurang 560 pusat jalurlebar masyarakat, iaitu hampir satu di setiap mukim di negara ini. Kita mantapkan lagi usaha penubuhan lebih 1300 kampung tanpa wayar di merata negara, agar, rakyat keseluruhan, berkemampuan melayari internet manakala 1700 lagi masih dalam proses.

062. Malaysia sekarang sudah terletak antara tangga teratas di kalangan negara Asean dari segi kemampuan ICTnya. Kita juga mempunyai 17.5 juta pengguna Internet, dan menurut kajian, orang Malaysialah, yang paling ramai mempunyai rakan Facebook, yakni, secara puratanya, 234 bagi setiap seorang.


Saudara dan Saudari,

063. Begitu juga bermula tahun 90an, bagi menangani perasaan tidak puas hati terhadap akses pendidikan tinggi, maka, bermula tahun 1995, kerajaan telah mengorak langkah untuk meliberalkan sektor pengajian tinggi tempatan.

064. Kesannya, dari hanya 9 buah universiti awam, hari ini telah bertambah menjadi 20. Disamping itu, 25 universiti, 22 kolej universiti dan lebih 400 kolej swasta serta 5 kampus tempatan universiti asing kini telah wujud.


Saudara dan Saudari sekalian,

065. Hasil peningkatan taraf sosioekonomi dan akses lebih meluas kepada pendidikan pasca menengah, telah mewujudkan generasi rakyat Malaysia baru lebih kritikal dan meningkat ekspektasinya terhadap kerajaan.

066. Generasi ini adalah anak-anak kepada generasi pertama DEB. Mereka dilahirkan bermula tahun 70an. Generasi ini, tidak suka dibentak-bentak, tidak suka diarah-arah apa yang perlu dilakukan, tidak gemar diberitahu apa yang benar dan salah, serta paling tidak disenangi mereka apabila kita mengungkit-ungkit jasa-jasa kita yang lalu.

067. Kita dapati bahawa, mereka ini mahu terus dirundingi, mahu kebebasan untuk menilai, berhujah dan membuat keputusan berdasarkan kepada pasaran maklumat dan idea yang ada. Jadinya, untuk terus kekal, UMNO perlu berkomunikasi mengikut langgam dan laras bahasa anak-anak muda, supaya parti kita difahami.

068. Lalu, dalam persekitaran inilah kerajaan mengumumkan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU bagi membenarkan mahasiswa dan mahasiswi universiti awam untuk menjadi ahli parti politik apabila mencapai umur baligh undang-undang atau 18 tahun.


Saudara dan Saudari,

069. UMNO sentiasa mendengar suara dan menghargai peranan serta sumbangan orang muda. Kita mengiktiraf mereka bukan sahaja apabila menghadapi pilihan raya, sebaliknya pada setiap masa dan ketika.

070. Dalam sejarahnya, UMNO adalah parti politik pertama di negara ini, yang mempunyai sayap untuk orang muda, lelaki, wanita dan diikuti dengan sayap puteri. Bagi meningkatkan peranannya, dalam pindaan Perlembagaan UMNO yang terbaru, kita telah menambah jumlah perwakilan di peringkat Bahagian dan Perhimpunan ini. Malah, jumlah mereka juga ditokok dalam proses memilih pucuk pimpinan parti.


Saudara dan Saudari,

PENUTUP

071. Kejayaan membentuk wajah Malaysia seperti yang ada, telah menghadapkan kita dengan cabaran terbesar kepada survival parti dan Barisan Nasional itu sendiri. Sama ada kita akan kekal sebagai parti yang dipercayai rakyat dan mendapat mandat bagi terus menjadi kerajaan, bergantung kepada kesedaran, kefahaman dan tindakan kita selanjutnya.

072. Sepanjang ucapan saya tadi, dirakamkan kronologi 10 detik yang telah menjadi “game changer” kepada UMNO menyusuri sejarah parti.

073. Sehubungan itu, suka saya simpulkan, 5 kekuatan teras, yang membolehkan kita menghadapi apa pun badai dan mehnah yang merempuh parti, samada bersifat dalaman, mahupun luaran. Pertamanya ialah, keupayaan menggagas semula parti bagi memanfaatkan persekitaran yang baru.

074. Kedua, pengamalan prinsip wasatiyyah dalam semua bidang, samada urus tadbir, perkongsian kuasa, iktisad yakni ekonomi, perhubungan kaum mahupun perhubungan antarabangsa.

075. Ketiganya, UMNO sentiasa mengulungi idea atau “supremacy of ideas” dalam era pertarungan minda dan persaingan sengit pasaran idea serta maklumat.

076. Keempat, UMNO perlu terus meletakkan kebajikan rakyat di atas segalanya-galanya. Segala dasar yang digubal, prakarsa yang dirancang dan program yang dilaksana mengutamakan kebajikan rakyat.

077. Kelimanya, kebolehan UMNO untuk mengotakan apa yang dikata dan menunaikan janji. Pucuk pangkalnya, kita bukan seperti sesetengah pihak yang hanya menjadi tukang karut.


Saudara dan Saudari,

078. Oleh sebab itulah, apabila saya mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan kerajaan tiga puluh bulan yang lalu, saya dan rakan-rakan sama ada dalam Majlis Tertinggi UMNO, Dewan Tertinggi Barisan Nasional mahupun Kabinet, telah mengambil keputusan untuk melaksanakan proses islah dan pembaharuan.

079. Dalam parti, mula-mula sekali kita telah membesarkan francais pemilih bagi ahli-ahli Majlis Tertinggi. Kita mahu lebih ramai orang UMNO diberi hak untuk memilih pemimpin mereka. UMNO bukan parti yang gentar terhadap demokrasi seperti tuduhan seteru politik kita, malah UMNO adalah parti yang mendakap demokrasi. Kata pepatah Inggeris “the proof of the pudding is in the eating”.

080. Kita bukan seperti pihak lawan. Contoh pertama, Parti A, jawatan Ketua Umum, sudahlah tidak dipilih secara demokratik, lebih berkuasa pulak dari Presiden parti. Contoh kedua, Parti B sebuah parti yang memakai gelar demokrasi, namun, langsung tidak demokratik. Apakah demokratik namanya kalau perwakilan cawangan memilih 20 orang ahli jawatankuasa pusat dan kemudian ahli jawatankuasa pusat tersebut pula, memilih kepimpinan tertinggi parti? Ini jelasnya, tidak sama sekali mencerminkan kehendak ahli terbanyak.

081. Manakala contoh ketiga, adalah Parti C, yang kononnya memperjuangkan negara kebajikan. Lahawlawala…., jawatan Mursyidul Am pun, tampaknya tidak diundi secara demokratik, tetapi ternyata lebih berkuasa dari Presiden. Sama jugak dengan Parti A. Tambahan lagi Parti A itu, suami, Ketua Umum, isteri, Presiden, anak perempuan sulung, Naib Presiden, Timbalan Presiden pulak…..hrmm…tak payah lah kita cerita.


Saudara dan Saudari,

082. Menelaah perkara-perkara itu, kita mesti insaf, jika UMNO masih gagal memahami dan menghayati faktor-faktor yang menjadi “game changer” atau peneraju cara gaya baru kepada lanskap politik nasional, serta tidak pula mengambil langkah merangka semula “game plan” yakni gerakan terancang, maka kita namanya menempah tragedi untuk parti.

083. Apakah yang dimaksudkan dengan game changer ini? Pertamanya ialah realiti baru. Jika UMNO tidak memahami realiti baru lanskap politik nasional, bagaimana UMNO dan BN mahu berjaya? Keduanya, media baru. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, UMNO harus menguasai media baru kerana hari ini, detik ini, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan. Ia berupaya mendatarkan “the playing field” atau ia turut boleh menjadikan satu pertarungan itu, tidak setara. Dari yang demikian, orang UMNO wajib mengetahui cara-cara untuk memanfaatkan media baru demi survival parti.

084. Memenuhi maksud dan menjiwai realiti baru juga, UMNO selaku sebuah parti siasah yang dinamik, tidak boleh hanya sekadar hebat bertempur dalam pertarungan lalu, kita semestinya juga menjadi juara dalam berperang di medan laga terkini.

085. Ketiga, UMNO juga harus menghayati pemikiran baru yang ada di kalangan semua segmen pengundi, bagi menarik sokongan mereka. UMNO tidak boleh bersikap atau sekalipun dilihat sebagai bersikap angkuh lagi sombong. Jika tidak, para pengundi dan rakyat akan benci dan menjauhi kita.


Saudara dan Saudari,

086. Selama hampir enam dekad, UMNO telah menjadi parti teras yang menonggak kejayaan. Selama ini, rekod-rekod membuktikan bahawa, kita tidak pernah mendominasi atau sekalipun berniat untuk mendominasi parti-parti komponen seperti yang difitnah oleh pembangkang.

087. Jauh sekali dari kemelut gabungan parti pembangkang yang tidak mampu berijma’ dan bersatu hati walaupun dalam soal-soal dasar. Misalnya, dalam perihal negara Islam, Parti A kata, setuju secara peribadi, Parti B kata, tidak sekali-kali, langkah mayat mereka dulu, Parti C pulak kata “kita tukar jadi negara kebajikan”. Pening dan keliru rakyat dibuatnya.

088. Berbeza dengan UMNO, sebagai parti teras, kita mengambil langkah berganding dan bekerjasama dengan parti-parti komponen. Kerjasama kita bersifat pragmatik, realistik dan ikhlas. Kita menerima seadanya rakan-rakan dalam Barisan Nasional. Kita saling percaya mempercayai, saling bergantungan dan saling bersefahaman sejak sebelum merdeka lagi. Inilah yang membuatkan kita berjaya sebagai teraju dalam memakmurkan negara ini.


Saudara dan Saudari,

089. Sebagai game changer yang kesebelas, kita mulakan dengan Program Transformasi Kerajaan bagi membaiki penyampaian sektor awam. Seterusnya, Program Transformasi Ekonomi dan Model Baru Ekonomi sebagai peta halatuju pusingan akhir ke arah wawasan negara maju berpendapatan tinggi. Kemudiannya, Program Transformasi Politik bagi menyeimbangkan antara Keselamatan Kebangsaan dan Kebebasan Individu.

090. Program Transformasi Luar Bandar dilancar, bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar dan pedalaman, serta, Program Transformasi Sosial yang berpandukan falsafah pemandu 1Malaysia. Kita lanjutkan pula dengan inisiatif-inisiatif yang dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Menu 1Malaysia dan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PRIMA.


Saudara dan Saudari,

091. Sebetulnya, apa yang ada hari ini seperti dapat disaksikan oleh semua, bukan dibina dalam masa yang singkat. Ia terbina dengan penuh tatih, pengorbanan dan jerih payah. Ia dibangunkan oleh bapa-bapa kita orang-orang Melayu, orang-orang Cina, orang-orang India, Iban, Kadazan dan lain-lain lagi termasuklah orang asli dan orang Siam. Cita-cita mereka, impian mereka, tidak lain tidak bukan demi kehidupan lebih baik untuk kita. Ia diteruskan lagi oleh generasi kini yang mendambakan masa depan lebih cerah untuk anak-anak cucu kita.

092. Ingatlah….., ingatlah bahawa, semua ini dimungkinkan oleh kita orang-orang UMNO, sebuah parti yang amat berjasa kepada kita semua, bukan sahaja anak-anak Melayu tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya. Namun, alangkah pedih dan alangkah lukanya hati kita, pabila hari ini, UMNO, parti yang sarat jasa dan baktinya, sedang dimomok, dinista dan dicerca semahunya. Malah, jasa kita seolah hendak dipadam terus dari helaian sejarah.

093. Mereka tanpa malu dan segan, gah mendakwa bahawa, UMNO langsung tiada budi atas kehidupan mereka. Kalau benarlah begitu, siapakah yang mengubur Malayan Union? Siapa yang memenangi kemerdekaan secara aman? Kalau bukan parti bertuah ini.


Saudara dan Saudari,

094. Mengatasi semua persoalan ini, kata orang, kalau mandi air dikali, jangan lupa pada siapa yang menggalinya. Kerana bukankah UMNO yang menjadi induk, mencipta kemakmuran?

095. Ini tidak, belum lagi berkuasa, sudah ibarat kaduk naik junjung. Ibarat lidah tidak bertulang, katanya mahu membuang separuh dari penjawat awam kalau sudah berkuasa. Apa maksud mereka mahu membuang lebih 200 ribu orang guru? Siapa yang mahu mengajar anak-anak kita? Bukan semua yang mampu menghantar anak ke sekolah-sekolah swasta.

096. Tidak cukup dengan itu, mahu ditamatkan khidmat separuh doktor dan jururawat sedangkan tidak semua rakyat Malaysia yang mampu mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta. Mahu diberhentikan separuh tentera dan polis? Lalu, pada siapa hendak diharap untuk membenteng keselamatan kita dan keluarga?


Saudara dan Saudari,

097. Inilah nasib yang akan melanda, jika UMNO sudah hilang kuasa. Siapa yang akan membela syiar Islam? Siapa yang mampu membela hak umat dan agenda orang Melayu? Siapa pula yang dapat terus memuliakan Raja-Raja kita? Tepuklah dada, tanyalah jawapan.


Saudara dan Saudari,

098. 500 tahun yang lalu, jatuhlah empayar Melaka. Ia jatuh bukan kerana Melayu kurang hulubalang atau kependekarannya, ia rebah bukan kerana kemiskinan atau kefakiran, ia tersungkur menyembah bumi kerana terlerainya perpaduan dan berlakunya pengkhianatan.

099. Begitu juga nasib tamadun-tamadun besar di dunia yang hancur, mereput dan runtuh. China, terhina akibat siri perang candu, Empayar Rom, dirobek perpecahan dari dalam dan Khilafah Othmanniyah, punah dek kerana kehalusan strategi pecah belah dan perintah. Bertolak dari situ, marilah kita jadikan kisah-kisah ini sebagai teladan dan sempadan. Jangan sekali-kali kita terperangkap olehnya.


Saudara dan Saudari,

100. Akhir kalam, selaku Presiden UMNO, saya bersyukur kerana mempunyai Timbalan Presiden yang setia, barisan Naib Presiden yang taat, Pergerakan Wanita yang tidak jemu-jemu mendokong perjuangan parti, ketumbukan Pemuda yang lantang dan berani, para Puteri yang cekal dan bersemangat, Majlis Tertinggi yang sentiasa bersiaga, khususnya, orang-orang UMNO sekalian, yang menunggu-nunggu panggilan bertempur.

101. Ayuh, rapatkan saf, nyalakan jamung, gigitlah kuat-kuat perjuangan ini dengan geraham kita. Palulah genderang perang, palulah ia tabuh-tabuhan dan tiupkanlah semboyan. Masanya sudah hampir, waktunya sudah tiba. Bingkaslah orang-orang UMNO, kita turun ke medan bakti.

Mudah-mudahan Allah memberkati. Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.