6 December 2011

Antara Orang UMNO, Ahli UMNO Dan ‘Orang-Orang’

01. SEMENJAK YAB Dato’ Seri Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak menyebutkan tentang perlunya menjadi orang UMNO dan bukan sekadar menjadi ahli UMNO dalam ucapan dasarnya sewaktu Perhimpunan Agung UMNO yang baru berlalu, ramai yang ingin mengetahui dengan lebih jelas lagi perbezaan antara kedua-duanya.

02. Mereka seolah-olah baru disedarkan bahawa apa yang mereka lakukan selama ini masih belum mencukupi bagi melonjakkan semula UMNO sebagai sebuah parti yang berwibawa dalam komponen parti Barisan Nasional (BN) setelah kehilangan banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum yang lalu.

03. Malahan dalam diam-diam sudah ada yang bermuhasabah diri sambil bertanya kepada diri sendiri sama ada dia selama ini sekadar menjadi ahli UMNO atau sudah menjadi orang UMNO. Sebelum ini tak kedengaran suara yang mahu bertanya kepada diri sendiri atau orang lain sama ada mereka itu hanya ahli UMNO atau sudah menjadi orang UMNO.

04. Nampaknya Presiden UMNO sekali lagi telah berjaya menemui switch berpusat yang apabila di on sahaja mampu menggerakkan kesedaran seluruh ahli UMNO lalu bertanya kepada diri sendiri siapa diri mereka selama ini sebagai ahli UMNO dan apakah kesan keahlian mereka dalam UMNO kepada parti, bangsa Melayu, tempat dan masyarakat di mana mereka tinggal, seterusnya kepada agama, bangsa dan negara.

05. Dengan menggunakan mekanisme mencabar semua ahli UMNO sama ada mereka sekadar ahli UMNO atau orang UMNO, nampaknya Dato' Seri Najib dilihat bukan sekadar menjadi seorang pemimpin kepada sebuah parti tetapi juga turut menjadi penggerak, pendorong atau motivator kepada orang di bawahnya.

06. Saya percaya melalui penggunaan mekanisme cabaran ini, Dato’ Seri Mohd Najib berupaya menggerakkan orang UMNO agar tidak diam sesaat pun, tetapi terus berfikir, bermuhasabah dan bekerja untuk parti pada kadar yang lebih pantas atau melakukan lompatan saujana jika mahukan parti UMNO dan BN menang besar (selesa) dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.

07. Namun masih ada antara mereka yang belum faham akan perbezaan antara orang UMNO dengan ahli UMNO. Ketidakfahaman mereka tentang perbezaan antara kedua-duanya mungkin disebabkan keadaan yang begitu selesa dan selamat pada diri mereka sebagai ahli UMNO serta rasa puas hati mereka dengan kerja buat mereka sebagai ahli UMNO selama ini.

08. Sebagai guru apabila ditanyakan soalan yang berkaitan, saya tentu tidak akan mengulangi apa yang Dato' Seri Mohd Najib sudah perjelaskan mengenai maksud orang UMNO dalam ucapan dasarnya. Bagi saya disebabkan mereka kurang jelas dengan pengertian yang digariskan itulah yang menyebabkan mereka bertanya pula kepada saya. Maka menjadi tanggungjawab saya untuk mencari jalan terbaik bagi menjelaskan secerah mungkin tentang perbezaan antara ahli UMNO dengan orang UMNO.

09. Inilah tanggungjawab saya sebagai guru atau sebagai penjawat awam apabila orang ramai memerlukan penjelasan tentang sesuatu dasar atau isu yang berlaku di negara ini. Inilah masanya yang paling sesuai bagi saya untuk membuktikan bahawa saya mampu menjadi agen kerajaan yang berkesan dalam memperjelaskan sesuatu perkara atau isu kepada orang ramai dan seterusnya memperkukuhkan kerajaan dan parti yang mendokong pemerintahan sekarang.

10. Bagi saya tugas memberikan jawapan yang tepat terhadap soalan itu bukan sekadar dilaksanakan kerana saya sebagai ahli kepada sebuah parti, tetapi saya sebagai penjawat awam atau kakitangan kerajaan jua. Saya bertanggungjawab memberikan hanya jawapan yang benar dan tepat agar kerajaan yang saya dokong dan parti yang saya menjadi anggotanya tidak diberi gambaran yang salah atau tidak tepat.

11. Soalan itu dilihat mudah, dan saya hanya perlu memberikan apa sahaja jawapan yang saya fikirkan sesuai. Namun saya tidak cuba mengambil jalan mudah. Sebabnya soalan itu masih diajukan walhal YAB Dato’ Seri Presiden telah pun menjelaskan dalam ucapan beliau.

12. Mujurlah saya telah mendengar beberapa jawapan mengenai persoalan ini sebelum ini yang semuanya akan memudahkan saya dalam memecahkan kebuntuan mereka yang bertanya. Saya mengambil keputusan untuk tidak memberikan jawapan saya sendiri, sebaliknya menggunakan jawapan orang lain.

13. Saya pun menyuruh mereka membezakan sendiri antara jawapan individu UMNO yang pernah ditanya soalan berkaitan oleh pihak wartawan dan disiarkan melalui kaca televisyen. Saya hendak mereka sendiri yang memilih siapakah antara mereka itu Ahli UMNO, Orang UMNO dan saya tambah satu lagi “Orang-Orang” UMNO berdasarkan jawapan individu tersebut semasa ditemu ramah.

14. Berdasarkan kaedah itu saya terlepas daripada memberikan sendiri jawapannya, tetapi saya telah memberikan mereka ruang untuk berfikir sendiri untuk mencari jawapan yang lebih hampir kepada tepat di samping dapat memberikan mereka pendidikan dalam mengenal pasti siapa antara kita Ahli UMNO, Orang UMNO atau “Orang-Orang” UMNO.

15. TV3 telah menemu ramah beberapa orang perwakilan atau pemerhati dan bertanya tentang soalan di atas. Begitu juga jawapan ke atas soalan berkaitan turut boleh dibaca melalui ruangan posting dan komen dalam laman sosial seperti FB, Twitter dan laman sesawang pro-UMNO yang begitu banyak sekarang ini yang diumpamakan “bagai cendawan tumbuh di musim hujan”.

16. Seorang pemimpin Puteri UMNO dari Kemaman yang berasal dari Pulau Pinang dan kini menetap di Terengganu sudah 17 tahun menjelaskan dalam jawapannya kepada soalan wartawan bahawa “orang UMNO itulah ahli UMNO” dan “selepas selesai perhimpunan ini, saya akan pulang ke bahagian saya untuk mendaftarkan seramai mungkin ahli UMNO kerana mereka itulah orang UMNO”. (Situasi A)

17. Selepas itu seorang pemimpin wanita UMNO dalam jawapannya terhadap soalan yang sama menjelaskan dengan penuh patriotis bahawa ”orang UMNO tu kalaulah ditores dagingnya akan mengalir darah UMNO daripada tubuhnya”.(Situasi B)

18. Dan seorang AJK UMNO di cawangan saya dengan lirikan mata yang sinis ke arah saya berkata, ”ikut jer le, mana-mana pun betui. Tengok pak cik ni dah lama duduk dalam UMNO, tapi pak cik dok macam tu ler”. (Situasi C)

19. Soalan saya antara jawapan dalam Situasi A, Situasi B dan Situasi C yang mana satu Orang UMNO, Ahli UMNO dan “Orang-Orang” UMNO. He he he.


Hakcipta: Abd Bashid Harun