28 November 2011

Amat Penting BN Dipilih Semula Untuk Jayakan Transformasi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan adalah "amat penting" bagi Umno dan Barisan Nasional (BN) dipilih semula pada pilihan raya umum akan datang bagi membolehkan parti menjayakan semua agenda transformasi yang dijanjikan.

Presiden Umno itu berkata ini juga akan memastikan wawasan negara untuk muncul sebagai negara maju pada 2020 dapat diteruskan.

"Kita sudah memulakan perjalanan ini - (melaksanakan) transformasi ekonomi, politik dan sosial...Umno akan menerajui transformasi negara bersama-sama dengan rakan-rakan kita dalam BN, dan kita akan meneruskan perjalanan ini menuju Wawasan 2020.

"Tetapi kita berdepan sedikit cabaran di hadapan kita. Kita perlu melalui jambatan pilihan raya umum akan datang. Saya sentiasa menekankan bahawa ianya bukan tidak penting untuk dipilih semula, sebenarnya amat penting untuk dipilih semula. Untuk kita menjayakan transformasi sebenar, kita perlu dipilih semula," katanya.

Najib berkata demikian semasa merasmikan forum antarabangsa "Transformasi Politik, Ekonomi dan Sosial Dalam Era Krisis Global" sempena Perhimpunan Agung Umno 2011, di sini.

Najib berkata parti memerlukan sokongan daripada rakyat, dan untuk itu, ia perlu bekerja keras dan tidak hanya mencanangkan apa yang telah dilakukan oleh parti di masa lepas.

Sebaliknya, parti perlu menunjukkan keazaman dan keikhlasannya untuk memberikan yang terbaik untuk negara, pada masa sekarang dan di masa depan, katanya.

Berkongsi perjalanan Umno sebagai sebuah parti politik, Najib menyifatkan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin lepas yang telah membuat keputusan berani dan berwawasan serta kesediaan parti untuk berubah sebagai rahsia kejayaan besar parti.

"Hakikatnya ialah sebagai sebuah parti politik, kita sudah berjaya melalui liku-liku itu, kita bersedia untuk melakukan transformasi dan bersedia untuk melakukan perubahan, bagi saya itu merupakan satu daripada rahsia kejayaan kita sebagai sebuah parti politik," katanya.

Umno, kini sudah berusia 65 tahun dan sebagai parti tunggak dalam gabungan Barisan Nasional (BN), telah berkuasa lebih 54 tahun secara berterusan.

Najib berkata kesediaan Umno untuk melakukan transformsi dan mengambil langkah awal telah dapat dilihat seawal tahun 50-an apabila pemimpin di masa lalu memutuskan untuk menguji formula perkongsian kuasa supaya pelbagai kaum di negara ini dapat disatukan menerusi struktur politik.

"Pada 1955, pada masa itu, ketika tiada siapa pernah terfikir mengenai konsep, terminologi perkongsian kuasa itu, nenek moyang kita memutuskan yang kita patut berkongsi kuasa.

"Pada ketika itu Umno dan orang Melayu boleh melakukannya bersendirian. Kita boleh memutuskan yang kita mahu memerintah negara ini. Tetapi nenek moyang kita mempunyai wawasan dan keberanian untuk mengatakan yang kita perlu saling bekerjasama, kumpulan etnik di negara ini perlu bekerjasama," katanya.

Najib berkata hasil daripada langkah itu, Malaysia telah berjaya mengelakkan konflik antara etnik yang telah berlaku di banyak negara lain dan pada masa yang sama formula itu telah menyumbang kepada kestabilan dan survival jangka panjang negara.

Kesediaan Umno untuk menjadi perintis kepada konsep itu turut menjadikan parti terus diterima sebagai parti yang relevan dengan masa dan malahan mendahului masa, kata Najib.

Bagaimanapun, Najib berkata biarpun Umno boleh berbangga dengan pelbagai pencapaiannya sebelum ini, tetapi sebagai sebuah parti politik, ia perlu prihatin dengan perubahan dalam landskap politik.

"Dunia telah berubah dalam banyak cara dan hari ini kita berdepan dengan cabaran-cabaran baru, dan Umno sebagai sebuah parti politik, kita sendiri perlu melakukan perubahan secara berterusan, malahan kita perlu melakukan pembaharuan dan mentransformasi diri kita supaya kita dapat dilihat sebagai sebuah parti yang dinamik, dan itulah cabaran terbesar bagi sebuah parti yang telah berkuasa terlalu lama," katanya.

Najib berkata selepas melalui banyak era, daripada perjuangan bagi mencapai kemerdekaan, menentang pemberontakan komunis, membawa pembangunan dan perindustrian, Umno kini menuju ke fasa lebih menarik kerana ini akan menjadi fasa terakhir terhadap apa yang disifatkan sebagai benar-benar menarik dan menyatukan semua rakyat Malaysia.

"Semasa perdana menteri sebelum saya Tun Dr Mahathir (Mohamad) mengumumkan wawasan bagi negara pada 1993, Wawasan 2020, ia menggembirakan negara. Sama seperti ketika Presiden Kennedy kata, mari kita hantar orang ke bulan. Ia telah menggegarkan seluruh negara Amerika Syarikat.

"Saya beritahu Dr Mahathir, anda buat bahagian yang mudah, anda lakukan bahagian "apa", tetapi saya perlu lakukan bahagian "bagaimana"," katanya secara berseloroh.

Najib bagaimanapun menyatakan kerajaan telah mengetahui "bahagian bagaimana" untuk menjadi sebuah negara maju, iaitu dengan memastikan pertumbuhan ekonomi negara pada kadar 6 peratus setahun, melabur RM1.4 trilion dalam tempoh 10 tahun akan datang, mewujudkan 1.2 juta peluang kerja dan menaikkan pendapatan perkapita daripada kira-kira US$7,000 kepada US$15,000.

"Itulah intipati apa yang kami perlu lakukan, "bahagian bagaimana", untuk kami meningkatkan pelaburan, pelaburan langsung asing, melakukan inovasi, perubahan dalam kerajaan, menjadikan diri kami lebih kompetitif, ubah peraturan dan kita perlu pecahkan monopoli lama," katanya.

Optimistik untuk mencapai wawasan itu, Perdana Menteri berkata :"Kami mempunyai perancangan "bagaimana" itu kerana negara mempunyai hala tuju yang amat jelas untuk mencapai Wawasan 2020, bagi menjayakan matlamat menjadi negara maju berpendapatan tinggi".

Mengenai dakwaan pihak tertentu bahawa pilihan raya di negara ini dilaksanakan secara tidak adil, Najib mencabar mereka membuktikannya.

"Maksud anda jika kami tidak lakukan manipulasi, kami tidak akan menang semua negeri? Adakah anda fikir yang kami akan lepaskan beberapa negeri penting jika kami boleh lakukan manipulasi? Tunjukkan saya buktinya, jika anda rasa pilihan raya tidak adil di Malaysia, tunjukkan bukti kepada saya," tegasnya.

Najib berkata kerajaan tidak takut dan bersedia untuk melakukan pembaharuan dan penubuhan Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, merupakan satu daripada komitmen kerajaan untuk menambah baik proses pilihan raya.

Sambil berikrar yang pembaharuan politik akan dilakukan secara berterusan, Najib turut membidas tindakan pihak tertentu yang mendakwa Malaysia mengamalkan undang-undang "draconian" atau zalim.

"Mereka mahu menunjukkan sikap membela, kami akan tentukan kawasan-kawasan tertentu untuk anda tunjukkan pembelaan. Namun mereka memutarbelitkan fakta dengan menyatakan Malaysia lebih zalim daripada Myanmar.

"Tetapi apa yang kami dapat katakan ialah apabila adanya kawasan-kawasan ditentukan untuk anda mengadakan perhimpunan pada bila-bila masa...kami minta sepuluh hari (untuk beri kebenaran adakan perhimpunan) supaya kami dapat memastikan keamanan (perhimpunan)," katanya.

Najib berkata sebagaimana kerajaan menghormati hak individu, ia juga perlu memastikan hak masyarakat tidak dicabuli.

Kerajaan baru-baru ini membentangkan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 di Dewan Rakyat, bertujuan memastikan semua warganegara mempunyai hak untuk menganjurkan atau menyertai perhimpunan secara aman dan tanpa senjata, dengan dikenakan larangan tertentu yang difikirkan perlu demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam sepertimana ditetapkan dalam Fasal 2, Perkara 10.

 
Sumber: BERNAMA - Kuala Lumpur, 28 Nov 2011