![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgx6G5lyHbosXKBRuLk63JkXx2GBaZc1NmE7ENm3PDafn-8-JUjBpzrzYo50KluEUmrw-7iNEp_Rf2NqMa8U0GXKH5CEF6DWvAO2Xp-C1LgFaNGB0D8cQmqCyNpOrw2N-Iw3KFzIEnRw1c/s320/Najib-Razak.jpg)
“Malaysia telah dan akan terus memainkan perananya sebagai warga global yang bertanggungjawab.
“Dan kita telah menunjukkan dan akan terus mempamerkan bahawa
komitmen kita bukan hanya retorik tetapi disokong dengan tindakan,” kata
Najib dalam ucaptamanya pada pembukaan Shangri-La Dialog ke-10 Institut
Antarabangsa Bagi Kajian Strategik (IISS) di sini, malam ini.
Dalam usaha menjamin keamanan dunia, Najib berkata misi pengaman
Malaysia telah berkhidmat di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), dan dari
Somalia hingga ke Balkan,pegawai keselamatan Malaysia telah membuat
pengorbanan besar dalam usaha memastikan kestabilan global.
“Tapi tugas kami bukan setakat peranan pengaman. Malaysia menyumbang
banyak, kadang kala lebih daripada luar jangkaan – sebagai contoh di
Afghanistan, di mana kami memainkan peranan dalam pemulihan semula
sebuah negara dengan menghantar pegawai perubatan wanita Islam yang amat
diperlukan,” katanya.
Dalam usaha memerangi keganasan global, Najib menjelaskan bahawa
Malaysia juga memainkan peranan aktif dan pro aktif dalam memastikan
Malaysia tidak menjadi sama ada sebagai tempat tumpuan dan begitu juga
sebagai sebuah pusat transit untuk operasi pengganas.
“Ini dibuat sama ada secara aktif atau melalui perkongsian risikan
dengan sistem keselamatan serantau. Kita telah membantu dengan
penangkapan atau menghapuskan pengganas-pengganas seperti Mas Slamat, Dr
Azhari dan Nordin Mat Top,” katanya.
Dengan memberi contoh Selatan Filipina, Najib berkata Malaysia telah
meletakkan satu pasukan pemantau antarabangsa dan bertindak sebagai
orang tengah dengan menjadi hos perundingan damai antara kerajaan
Filipina dan BarisanPembebasan Islam Moro (MILF).
“Perkara ini pada satu ketika menjadi satu isu yang sensitif bagi
kami, tapi kami komited untuk menjadi pendahulu demi kepentingan bagi
keamanan dan kestabilan yang lebih meluas.
“Dan di selatan Thailand, kami telah menyatakan kesediaan untuk
membantu pembangunan sosio ekonomi di empat wilayah yang majoritinya
penduduk adalah orang Islam,” katanya.
Secara dua hala, Najib berkata Malaysia sedang bekerjasama dengan
Amerika Syarikat bagi memerangi jenayah seperti pengedaran dadah,
keganasan dan penipuan dan dengan Australia bagi menanangani isu pemohon
suaka dan bagi menjalin kestabilan serantau.
Bagi perbincangan berbilang hala, beliau mengumumkan bahawa Malaysia
sedang berusaha untuk menguatkuasa resolusi Majlis Keselamatan PBB
berhubung pengawalan senjata pemusnah besar-besaran melalui “Akta
Perdagangan Strategik baru kita.”
“Saya berazam bahawa kami akan memainkan peranan kami sebagai anggota
antarabangsa dan komuniti serantau yang bertanggungjawab dan bahawa
dalam semangat pengisytiharan 1995, kami akan bersama-sama menjadikan
Asean sebuah zon bebas nuklear,” katanya.
Memandangkan ekonomi dunia yang begitu bersepadu dan saling
bergantung, dan proses pengeluaran disebarkan merentas sempadan, Najib
berkata ia sudah tidak lagi wajar bagi kuasa-kuasa global untuk
melancarkan perang kerana mereka sememangnya akan mengalami kerugian
besar.
Kepentingan nasional semakin menjadi kepentingan bersama dan tugas
masyarakat dunia kini adalah bagi menggambarkan usaha ini sebagai
multilateralisme yang kedua-duanya begitu realistik dan progresif.
Oleh itu, beliau berkata ia perlu dibina di atas landasan kerjasama
dan bukan di atas konfrontasi dan untuk itu setiap rantau, negara dan
para pemimpinnya di sini hari ini mesti memainkan peranan masing-masing.
“Pendapat yang sinis bahawa Asia dan Barat tidak mungkin dapat
bekerjasama secara bersepadu dan bahawa kita tidak mempunyai banyak
persamaan, bahawa kehidupan di Surabaya sememangnya begitu terpencil
daripada kehidupan di San Diego, 10 tahun kebelakangan ini telah
membuktikan bahawa mereka telah tersilap,” katanya.
Sumber : UMNO-Online