UMNO menegaskan bahawa ia tetap sebuah parti
yang membela nasib orang Melayu dan oleh itu penting kuasa politik
Melayu dipertahankan, terutama daripada serangan pembangkang yang cuba
mewujudkan persepsi UMNO tidak lagi mampu berbuat demikian.
Dengan nada tegas dan serius, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri
Muhyiddin Yassin berkata UMNO tidak pernah menyerah kalah kepada tujahan
kuasa politik pembangkang yang ingin “merobek segenap sudut perjuangan
UMNO dalam membela orang Melayu”.
Katanya orang Melayu kian resah akibat banyaknya fitnah terhadap UMNO
yang cuba menafikan jasa dan bakti parti itu terhadap orang Melayu
selama ini.
“Malah dalam zaman fitnah yang menggila ini, pemimpin nombor satu
(Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) kita tidak terkecuali
daripada menerima percikan api fitnah. Hinggakan keheningan mengerjakan
ibadah haji pun diganggu oleh kilang-kilang fitnah yang bekerja lebih
masa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan serentak perhimpunan agung
pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2011 di Dewan Merdeka, Pusat
Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.
Sambil menegaskan UMNO adalah parti yang “tiada galang-ganti”,
Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata anggota dan
pemimpin UMNO memikul amanah besar untuk terus membela agama, bangsa dan
negara.
Beliau berkata UMNO telah bangkit daripada rempuhan tsunami politik
pada 2008 yang menjadi keresahan orang Melayu mengenai masa depan
mereka, dengan mengambil pendekatan seimbang dan bijaksana supaya umat
Melayu diperkasa dan Islam dimartabat.
Ketika umat Melayu resah memikirkan apakah ada pembelaan terhadap
mereka dalam sektor ekonomi, Muhyiddin berkata kerajaan Barisan Nasional
yang diterajui Umno tanpa rasa apologetik telah mewujudkan Majlis
Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB), Unit Peneraju Agenda Bumiputera
(TERAJU), Program Transformasi Ekonomi Bumiputera, dan Program
Tranformasi Luar Bandar.
“Semua ini adalah kesinambungan daripada usaha-usaha yang telah
dilakukan UMNO selama ini dalam perjuangan mengangkat martabat ekonomi
Bumiputera,” katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pemimpin UMNO juga
tegas mempertahankan hak pelajar Melayu dan Bumiputera yang berkelayakan
untuk mendapatkan biasiswa dan lain-lain bantuan pendidikan daripada
kerajaan.
“Terbaru, kita telah menubuhkan Yayasan Peneraju Pendidikan
Bumiputera untuk membantu anak-anak Bumiputera mendapatkan pembiayaan
pendidikan. Dengan dana sebanyak 500 juta ringgit, kita mensasarkan
12,000 pelajar Melayu dan Bumiputera akan menerima manfaat dalam tempoh
lima tahun akan datang,” katanya.
Beliau juga berkata UMNO akan terus mempertahankan
institusi-institusi agama daripada terus dipersenda dan diperlecehkan,
kedudukan Raja sebagai ketua agama akan dijunjung, kewibawaan institusi
mahkamah syariah, agensi penguatkuasaan agama dan undang-undang Islam
pula akan terus dibela.
UMNO mengambil pendekatan Wasatiyyah iaitu sederhana dan seimbang
dalam melakukan lonjakan terhadap Islam dan hubungannya dengan
pembangunan dan ketamadunan, katanya.
Muhyiddin seterusnya membidas parti-parti lawan dengan menyifatkan
DAP sebagai parti paling rasis, Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai
parti ultraliberal yang tiada asas moral manakala PAS sanggup
menggugurkan perjuangan negara Islam semata-mata kerana tidak mahu
dikecam oleh DAP.
“Hari ini, kita dengar DAP sedang giat memancing orang Melayu untuk
menyertai parti itu. Mereka ditawarkan jawatan dalam parti dan
dijanjikan menjadi calon dalam pilihan raya. Jika menang, mereka
berpeluang dilantik sebagai ahli Exco atau Menteri Besar di
negeri-negeri tertentu. Ganjarannya tampak sungguh lumayan.
“DAP hanya mahukan si Melayu yang malang ini menjadi kuda tunggangan
yang kerjanya sekadar menjaga kepentingan cauvinis DAP. Orang Melayu
yang bersekongkol dengan DAP adalah pengkhianat bangsa. Janganlah jadi
pembelot seperti Si Kitol,” katanya.
Beliau berkata DAP tidak pernah melihat apa-apa kebaikan yang ada
pada orang Melayu dan Islam kerana walaupun ia mendakwa ia parti
demokratik pelbagai kaum, ironinya dari dahulu hingga sekarang DAP hanya
dipimpin oleh keluarga tertentu dalam kelompok tertentu daripada satu
kaum sahaja.
Menyifatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) parti yang amat tenat kerana
hampir semua pengasas parti itu telah meninggalkan parti dan menyokong
UMNO, Muhyiddin berkata PKR ketandusan agenda untuk orang Melayu dan
Islam serta sebuah parti ultraliberal yang tiada asas moral dalam
perjuangannya.
“Jika tidak, masakan orang yang sedang dibelenggu krisis kredibiliti
yang serius terus diangkat memimpin parti itu secara tidak demokratik.
Mana mungkin kedudukan agama, bangsa dan negara boleh dijaga oleh PKR
jika yang diangkat menjadi pemimpin pun bergelumang dengan masalah
kredibiliti.
“Sudahlah tiada matlamat perjuangan yang jelas, retak dalam parti itu
juga sedang menunggu belah. Masing-masing sedang menilik nasib Ketua
Umum mereka. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Yang mahu terus
timbul, mereka menggunakan pelbagai cara untuk menyucikan Ketua Umum
mereka,” kata Muhyiddin.
Beliau berkata PKR dulu, kini dan selamanya tidak pernah berganjak
daripada tujuan penubuhannya iaitu mempertahankan seorang individu.
Mengenai parti PAS, Muhyiddin berkata parti itu yang suatu ketika
dahulu begitu komited dengan agenda mendirikan negara Islam, kini negara
Islam sudah tidak ada lagi dalam kamus politik PAS.
“Tatkala sekali-sekala terpacul perkataan negara Islam dari mulut
pemimpin PAS, berpakat-pakat pemimpin PKR dan DAP mengecam PAS. Bagi
mereka, negara Islam bukanlah matlamat pakatan politik yang mereka
bentuk,” katanya.
Beliau berkata bagi PAS dalam menghadapi landskap politik baharu ini,
sokongan DAP dan PKR lebih penting berbanding mempertahankan prinsip
perjuangannya sendiri.
Sumber: UMNO Online