10 January 2012

Ezam Akan Terus Berjuang Halang Anwar

Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat tidak sedikit pun menjejaskan kepercayaan Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Nor bahawa Ketua Pembangkang itu terlibat dalam perlakuan tersebut.

Ezam yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan berkata, kepercayaannya itu bersandarkan kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2004 yang dengan jelas menyebut aktiviti liwat telah dilakukan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Bagaimanapun, beliau tetap menerima keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang melepas serta membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan atas alasan tiada keterangan yang menyokong keterangan mangsa.

"Keputusan hari ini tidak menyatakan pun aktiviti liwat tidak berlaku. Justeru saya akan terus berjuang untuk pastikan seorang peliwat dan rosak akhlak (merujuk kes video pelacur dan lain-lain) tidak diangkat sebagai pemimpin negara berdasarkan prinsip dan sumpah saya sebagai seorang Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, keputusan yang menyebelahi Anwar hari ini sebenarnya menunjukkan bahawa Ketua Pembangkang itu sebagai pembohong besar.

Katanya, selama ini Anwar bersungguh-sungguh melabelkan badan kehakiman negara sebagai berat sebelah kerana kononnya wujud konspirasi dalaman.

"Tetapi pagi ini beliau mengucapkan terima kasih tanda penghargaan kepada hakim yang selama ini beliau kutuk keputusan yang dibuat oleh hakim itu. Sekarang, semua orang boleh nampak proses undang-undang negara telah mempraktikkan sistem yang betul. Ada keadilan untuk semua pihak," katanya.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari pula melihat pembebasan Anwar seolah-olah satu hadiah bersyarat yang diberikan oleh peguamnya yang juga Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Kata beliau, pastinya Karpal mengharapkan satu pembalasan yang jauh lebih besar daripada Anwar.

"Ketika Anwar melangkah keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini, beliau sudah berada dalam genggaman DAP. Perkara ini sebenarnya bahaya untuk negara, tetapi mengenali Anwar beliau hanya tahu untuk melepaskan dirinya.

"Oleh itu, perkara (kes) ini tidak boleh berakhir setakat ini sahaja, ia perlu diteruskan dan diharap pihak pendakwa akan meneruskan proses seterusnya. Saya percaya Mohd. Saiful Bukhari akan buat rayuan," katanya.


Sumber: Utusan Online