Teks
Ucapan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin Pada Majlis Perasmian
Serentak Persidangan Wanita, Pemuda Dan Puteri 2014
Bismillahirrahmanirrahim.
اللَّهُمَّ
صَلِّ
عَلىَ
سَيِّدِنَا
مُحَمَّدِ،
الْفَاتِحِ
لِمَا
أُغْلِقَ
وَالْخَاتِمِ
لِمَا
سَبَقَ،
نَاصِرِ
الْحَقِّ
بِالْحَقِّ،
وَالْهَادِي
إِلَى
صِرَاطِكَ
الْمُسْتَقِيْمِ
وَعَلىَ
آلِهِ
حَقَّ
قَدْرِهِ
وَمِقْدَارِهِ
العَظِيْمِ
.
Assalamu'alaikum
warahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.
YB Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil
Ketua Pergerakan
Wanita
YB Sdr. Khairy
Jamaluddin
Ketua Pergerakan
Pemuda
YB Sdri. Mas
Ermieyati Samsudin
Ketua Pergerakan
Puteri
YB Naib-Naib Presiden
UMNO
YB Setiausaha Agung
UMNO
Ahli-ahli Majlis
Tertinggi
Barisan Exco Wanita,
Pemuda dan Puteri
Saudara-saudari
sidang perwakilan, dif-dif jemputan dan para pemerhati sekalian
1. Alhamdulillah,
puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta selawat dan salam ke atas
junjungan Nabi Muhammad s.a.w., malam ini saya dan saudara-saudari semua yang
mewakili Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dari seluruh pelusuk negara,
dapat sekali lagi berhimpun di Dewan Merdeka ini untuk mempertegaskan matlamat
perjuangan parti kita, memperkukuhkan perpaduan dan merencana masa depan bangsa
Melayu. Saya mengucapkan terima kasih kepada wanita, pemuda dan puteri UMNO
kerana terus istiqamah berada dalam saf perjuangan parti kita.
Hebatnya Hang Tuah
sehingga kini,
Kisahnya menjadi
bualan zaman,
Jiwa pejuang takkan
terhenti,
Selagi nyawa di
kandung badan.
SEJARAH
PERJUANGAN UMNO
Saudara dan saudari
yang saya hormati sekalian,
2. Parti kita UMNO
telah mencapai usia 68 tahun. Telah banyak ranjau yang kita lalui dalam pelbagai
keadaan, pelbagai cabaran dan pelbagai zaman. Kita telah melalui pasang surut
asakan terhadap perjuangan kita. Alhamdulillah, walaupun kita diasak dan
diterjah dengan pelbagai dugaan, Allah masih memberikan kemenangan kepada UMNO.
Allah masih mentakdirkan UMNO memikul amanah kuasa pemerintahan ini. Namun,
jangan kita lupa, jangan kita alpa. Allah juga menggilirkan kemenangan antara
sesama manusia sebagai pengajaran kepada kita semua. Sebagaimana firman-Nya
dalam surah Ali-Imran Ayat 140:
إِن
يَمۡسَسۡكُمۡ
قَرۡحٌ۬
فَقَدۡ
مَسَّ
ٱلۡقَوۡمَ
قَرۡحٌ۬
مِّثۡلُهُ
ۥۚ
وَتِلۡكَ
ٱلۡأَيَّامُ
نُدَاوِلُهَا
بَيۡنَ
ٱلنَّاسِ
وَلِيَعۡلَمَ
ٱللَّهُ
ٱلَّذِينَ
ءَامَنُواْ
وَيَتَّخِذَ
مِنكُمۡ
شُہَدَآءَۗ
وَٱللَّهُ
لَا
يُحِبُّ
ٱلظَّـٰلِمِينَ
Yang bermaksud:
Jika kamu (dalam peperangan
Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang
mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam
peperangan Badar) dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan
peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan dia antara sesama
manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah
tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya
Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid dan
(ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
3. Inilah
sunnatullah. Allah s.w.t. menggilirkan kemenangan dan kekalahan sesama manusia.
Hatta antara kaum muslimin dan musyrikin pun, Allah menggilirkan kemenangan dan
kekalahan sebagai peringatan kepada orang-orang yang beriman. Maka, dalam
konteks UMNO, kemenangan yang kita perolehi dalam mana-mana pilihanraya tidak
boleh menjadikan kita angkuh, sombong dan selesa. Cabaran terhadap perjuangan
kita masih hebat, jalan yang perlu kita lalui masih berliku, ranjau di hadapan
kita masih berduri. Maka, dalam perhimpunan kali ini, saya ingin mengajak
saudara dan saudari supaya ikhlas dan jujur dengan diri kita sendiri. Kaji
adakah parti kita berada dalam keadaan yang selamat? Adakah parti kita
disenangi oleh sebahagian besar rakyat? Adakah parti kita bakal beroleh
kemenangan dalam pilihanraya akan datang?
4. Saudara-saudari,
jika kita himbau kembali sejarah penubuhan UMNO dalam konteks dunia pada waktu
itu, UMNO berada di tengah-tengah kancah pertembungan antara fahaman
nasionalis, fahaman komunis dan fahaman sosialis. Namun, UMNO berjaya membina
identiti perjuangannya sendiri di atas semangat kebangsaan Melayu yang
berteraskan Islam. Pada ketika itu juga, nasionalisme merupakan ideologi utama
yang menggerakkan parti-parti politik di negara-negara tanah jajahan bangkit
menentang penjajah. Alhamdulillah, berkat perjuangan UMNO, negara kita berjaya
mencapai kemerdekaan.
5. Pada masa yang
sama, sebagai sebuah parti yang toleran dan sederhana, UMNO berjaya merintis
kerjasama dengan parti-parti yang mewakili kaum-kaum lain di negara kita untuk
membina sebuah negara bangsa. Sebagai kerajaan pula, parti kita UMNO menerusi
Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional telah berjaya mengekalkan kestabilan
politik dan memacu kemajuan ekonomi dengan cara kita sendiri. Sehingga beberapa
dekad yang lalu, UMNO adalah sinonim dengan sebuah ceritera kejayaan; ceritera
sebuah negara yang aman dan stabil di sebalik kepelbagaian kaum dan agama. Hasil
perjuangan UMNO, negara kita telah berganjak daripada sebuah negara miskin
sewaktu merdeka kepada negara industri yang insya-Allah akan menjadi negara
maju dalam beberapa tahun lagi di bawah gagasan besar Wawasan 2020.
CABARAN
PERUBAHAN ZAMAN
6. Namun, suasana
politik hari ini sudah banyak berubah. Di seluruh dunia, nasionalisme bukan
lagi ideologi utama. Malah, banyak parti nasionalis yang memperjuangkan
kemerdekaan negara masing-masing telah berkubur. Selepas era perang dingin,
liberalisme telah muncul sebagai ideologi yang dominan di seluruh dunia. Di
bawah lembayung ideologi baharu ini, idea-idea Barat mengenai demokrasi,
kebebasan dan kesamarataan tersebar secara meluas, termasuk di negara-negara
Asia. Sama ada kita sedar atau tidak, kebangkitan gerakan demokrasi liberal dan
masyarakat sivil yang memperjuangkan kebebasan dan kesamarataan mengikut neraca
Barat telah memberi kesan yang besar kepada perjuangan UMNO.
MEMPERTEGUH
KEDUDUKAN ISTIMEWA MELAYU DAN BUMIPUTERA
7. Hari ini, banyak
pertubuhan dan individu yang sama ada secara langsung atau tidak langsung
mempersoalkan hak keistimewaan Melayu, kedudukan istimewa agama Islam,
kedudukan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu dan lain-lain lagi yang merupakan
teras perjuangan UMNO. Apabila UMNO bersuara membela kepentingan Melayu, mereka
kata UMNO rasis. Tetapi apabila kaum-kaum lain bangkit memperjuangkan hak kaum
masing-masing, itu dikatakan hak kumpulan minoriti dalam sebuah negara
demokrasi. Sama juga, apabila UMNO bangkit mempertahankan kedudukan Islam, UMNO
dikatakan ekstrem, walhal Islam adalah Agama Persekutuan. Tetapi apabila
kepentingan kumpulan agama lain diperjuangkan, itu dikatakan hak kebebasan
beragama. Hari ini, perkara-perkara penting yang termaktub di dalam
perlembagaan yang melindungi hak semua kaum secara saksama semakin
dipersoalkan.
8. Suara kumpulan
penentang ini semakin lantang sehingga kedengaran di forum-forum antarabangsa.
Mereka menuduh UMNO mengamalkan diskriminasi dan zalim terhadap rakyat. Ini
amat pelik bagi saya. UMNO yang dahulunya berjuang bermati-matian untuk
membebaskan rakyat daripada cengkaman penjajah; UMNO yang memperjuangkan
keadilan sosial; UMNO yang mempelopori politik kesederhanaan; hari ini, dalam
zaman kebebasan ini, UMNO dituduh sebagai parti yang zalim, parti yang
menindas, parti yang menjajah rakyat. Pendek kata, segala yang buruk dan keji
itu adalah UMNO. Seolah-olah tiada setitik pun jasa UMNO kepada negara.
Kebaikan yang ditabur ditutupi oleh debu-debu pembohongan, fitnah dan
propaganda jahat. Demikianlah zaman telah berubah, pola fikir masyarakat telah
berubah, cabaran kepada UMNO juga berubah.
AGENDA
EKONOMI BUMIPUTERA DAN MERAPATKAN JURANG KETIDAKSAKSAMAAN ADALAH AGENDA
NASIONAL
Saudara dan saudari
yang saya hormati sekalian,
9. Perubahan juga
berlaku dalam bidang ekonomi. Dahulu, pembangunan negara kita digembleng oleh
kerajaan. Kuasa kerajaan membolehkan kita melaksanakan program penstrukturan
semula masyarakat menerusi Dasar Ekonomi Baru. Melalui dasar ini juga kita
telah berjaya mengeluarkan masyarakat daripada belenggu kemiskinan dan
menangani penguasaan ekuiti asing dalam ekonomi negara. Kita juga menetapkan
sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus sekurang-kurangnya, dan
penyertaan Bumiputera digalakkan dalam setiap sektor ekonomi. Dasar ini
dibentuk agar ekonomi berkembang dan pengagihan berlaku secara adil dan
saksama. Atas sifat bertimbang rasa dan semangat supaya kek ekonomi dapat
dirasai oleh semua rakyat Malaysia, orang Melayu dan UMNO pada waktu itu tidak
bersifat keterlaluan untuk meminta lebih daripada 30 peratus.
10. Walaupun sasaran
pemilikan ekuiti Bumiputera tidak tercapai, namun Alhamdulillah, DEB telah
berjaya mengagihkan kekayaan negara kita secara lebih saksama serta
meningkatkan pendapatan kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera. Tuduhan bahawa
DEB kononnya satu dasar terkebelakang, menyekat pelaburan, menyebabkan brain
drain dan hanya menguntungkan segelintir pihak yang ada kabel politik adalah
tidak benar. Bagi saya, tuduhan meleset ini hanya dicipta oleh mereka yang
sarat dengan kebencian. Banyak kajian ilmiah yang menunjukkan bahawa semua kaum
mendapat manfaat daripada pelaksanaan DEB. Ini termasuk kajian mutakhir Dr
Muhammed Abdul Khalid yang diterbitkan di dalam bukunya the Color of Inequality
yang membuktikan bahawa DEB telah memberi manfaat kepada semua kaum dari segi
pembasmian kemiskinan, peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan, pemilikan
ekuiti dan lain-lain. DEB telah mencapai sebahagian matlamat pengagihan ekonomi
dan menyamaratakan peluang. Namun, masalah ketirisan memberikan kesan negatif
kepada pencapaian matlamat asal DEB yang disasarkan oleh kepimpinan UMNO
terdahulu.
11. Namun begitu, 24
tahun selepas pelaksanaan DEB berakhir, kita kembali mendengar keluh kesah dan
gundah-gulana masyarakat Melayu. Dalam era pasca DEB, data terbaharu Jabatan
Perangkaan Malaysia untuk tahun 2013 menunjukkan bahawa jurang ekonomi antara
kaum masih wujud. Misalnya, median pendapatan bulanan isi rumah Bumiputera
sebanyak RM3,282 masih rendah berbanding kaum Cina, iaitu RM4,643 dan kaum
India sebanyak RM3,676. Dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah,
75.5% adalah Bumiputera. Pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera juga
masih jauh lebih rendah berbanding kaum-kaum lain. Hanya 36.3% transaksi
bangunan hartanah kediaman melibatkan Bumiputera. Pemilikan hartanah bangunan
industri dan perdagangan Bumiputera juga rendah iaitu 2.37% bagi hartanah
industri dan 7.85% bagi hartanah perdagangan.
12. Begitu juga, satu
kebenaran yang pahit untuk kita akui ialah kaum Bumiputera masih menerima
layanan yang tidak saksama dalam sektor swasta. Kajian yang dilakukan oleh Dr
Lee Hwok Aun dan Dr. Muhammed Abdul Khalid pada tahun 2012 mendapati bahawa
bagi setiap seorang graduan Melayu yang dipanggil temu duga dalam sektor
swasta, secara puratanya 5.3 graduan Cina ditemu duga, walaupun mereka
mempunyai kelulusan yang sama. Data rasmi juga menunjukkan kadar pengangguran
adalah tertinggi dalam kalangan tenaga kerja Bumiputera iaitu 70.3%, termasuk
graduan menganggur sebanyak 66.9%. Kita juga sering mendengar keluhan pekerja
Bumiputera yang menerima gaji lebih rendah berbanding kaum-kaum lain dalam
sektor swasta. Pakar ekonomi Just Faaland, J.R Parkinson dan Rais Saniman
membuktikan dalam buku mereka Growth and Ethnic Inequality: Malaysia's New
Economic Policy, bahawa pekerja Bumiputera menerima gaji 20 hingga 40 peratus
lebih rendah berbanding bukan Bumiputera.
13. Secara umumnya,
kedudukan ekonomi orang Melayu hari ini masih meruncing. Ketidaksaksamaan dalam
masyarakat agak menggerunkan kita. Pada masa yang sama, kita berhadapan dengan
pelbagai cabaran dalam meneruskan agenda ekonomi Melayu. Kita bersaing dalam
ekonomi yang lebih terbuka. Kita berhadapan dengan fahaman kesamarataan yang
menentang sebarang pelaksanaan agenda Melayu. Menerusi pelbagai instrumen
perjanjian perdagangan bebas antarabangsa, negara kita didesak supaya jangan
lagi mengamalkan dasar untuk melindungi kepentingan kaum Bumiputera. Kononnya,
dasar seperti ini merupakan penghalang kepada pembangunan ekonomi dan merencatkan
pasaran. Padahal, dasar ini pernah digunakan oleh negara maju lebih setengah
abad sebelum mereka mencapai tahap negara maju.
14. Kita sebenarnya
sedang menongkah arus kapitalisme global dan ideologi pasaran bebas yang
semakin melebarkan jurang ketidaksaksamaan. Seperti yang diakui oleh pemenang
hadiah nobel ekonomi Joseph Stiglitz dalam bukunya The Price of Inequality,
dasar ekonomi yang berasaskan teori dan ideologi yang salah telah memburukkan
keadaan ketidaksaksamaan dalam masyarakat di seluruh dunia, termasuk di Eropah
dan Amerika Syarikat.
15. Saya fikir sudah
sampai masanya kita menilai kembali model ekonomi negara kita. Ya, benar
pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 6.3% adalah antara yang tertinggi di Asia;
nilai pelaburan langsung asing sebanyak RM216.5 bilion pada tahun 2013 adalah
antara yang terbaik dalam sejarah; kedudukan Malaysia dalam Laporan Dayasaing
Global 2014 meningkat daripada nombor 24 ke nombor 20 daripada 148 buah negara.
Semua ini menunjukkan bahawa pencapaian ekonomi negara kita amat
memberangsangkan dan kita berada pada landasan yang betul untuk menjadi negara
maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.
16. Tetapi di sebalik
semua pencapaian ini, Yang Amat Berhormat Presiden dan saya selaku Timbalan
sering memikirkan adakah kita boleh memejamkan mata dan memekakkan telinga
dengan tidak berbuat apa-apa jika kaum Bumiputera yang merupakan 67.4% daripada
rakyat negara kita masih berada dalam kumpulan berpendapatan rendah; jika 4
juta daripada 6.5 juta pekerja yang mencarum dalam KWSP di negara kita
berpendapatan kurang RM2,000 sebulan; jika jurang ketidaksaksamaan di negara
kita antara yang tertinggi di rantau ini; jika rakyat masih tidak mampu
memiliki rumah sendiri.
17. Mengenai isu
perumahan, ada ahli UMNO di akar umbi yang mengatakan kepada saya, rumah-rumah
yang dibina dengan harga RM400,000 sebenarnya bukan rumah mampu milik, tetapi
rumah mampu tengok sahaja. Pandangan ini ada juga kebenarannya. Menurut Kajian
Khazanah Research Institute, harga rumah mampu milik yang sewajarnya adalah 3
kali median pendapatan isi rumah, iaitu bagi kumpulan pendapatan isirumah 40%
terbawah dengan harga RM70,000 dan kumpulan berpendapatan sederhana pada harga
RM160,000 atau pada purata harga RM130,000. Rumah-rumah yang dibina dengan
harga yang terlalu mahal, terutamanya di kawasan-kawasan bandar dan pinggir
bandar, sudah tentulah tidak mampu dibeli oleh rakyat berpendapatan rendah dan
sederhana.
18. Saudara-saudari,
persoalannya nanti, ketika negara kita mencapai sasaran Pelan Transformasi
Ekonomi dengan nilai GNI RM1.7 trillion, dengan pendapatan perkapita RM48,000,
dengan penambahan 3.3 juta pekerja berkemahiran dan RM1.4 trillion pelaburan
daripada sektor swasta dan kerajaan, berapakah daripada jumlah sasaran ini akan
turun mengalir menjadi milik kaum Bumiputera? Dalam keghairahan kita meletakkan
sasaran besar untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, kita juga
harus menetapkan sasaran yang jelas untuk kaum Bumiputera dan memastikan
kekayaan negara kita dapat diagihkan kepada semua rakyat baik di kota mahupun
di desa, di semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak, baik kumpulan
berpendapatan tinggi mahupun kumpulan pertengahan dan 40% terbawah, semuanya -
kulluhum ajma'in - perlu dipastikan mendapat peluang yang adil dan saksama.
19. Saudara-saudari,
kita sebenarnya amat memerlukan satu model ekonomi yang benar-benar dapat
memastikan pertumbuhan disertai dengan pengagihan yang saksama. Kita tidak
boleh membiarkan majoriti rakyat negara kita terpinggir dan tersisih daripada
arus kemajuan ekonomi negara. Apatah lagi, ketidaksaksamaan dalam masyarakat
kita hari ini bukan lagi merupakan masalah kaum semata-mata, tetapi juga
masalah kelas. Kita sedang menghadapi masalah jurang yang besar antara golongan
kaya dan golongan miskin, jurang antara etnik dan intra etnik,jurang antara
Semenanjung, Sabah dan Sarawak, jurang antara masyarakat bandar dan luar
bandar, jurang antara CEO, pengurusan kanan syarikat dan pekerja bawahan. Semua
ini jika dibiarkan berterusan akhirnya akan menjejaskan pencapaian ekonomi
negara kita secara keseluruhan.
20. Sebagai mewakili
suara orang Melayu dan Bumiputera, saya ingin tegaskan supaya pendekatan, dasar
dan strategi yang lebih berkesan untuk merapatkan jurang kaum dan kelas
dilaksanakan segera. Kita perlu memberikan tumpuan dan keutamaan kepada program
latihan peningkatan kemahiran pekerja Bumiputera, memperbaiki mekanisme
subsidi, menangani diskriminasi dalam sektor pekerjaan, memperkemaskan
perundangan, pengawalan dan penguatkuasaan terhadap pekerja asing, memperkenalkan
dasar mengenai peningkatan dan pengawalan pendapatan pekerja, menambah
mekanisme percukaian yang lebih berstruktur (targeted), meningkatkan insentif
bagi membantu keluarga menambah kekayaan, menyediakan ekosistem kondusif kepada
pelajar luar bandar dan miskin bandar, menekankan semula pembangunan luar
bandar, memperluaskan jaringan keselamatan sosial, dan menyasarkan tindakan
afirmatif berdasarkan keperluan (need-based) khusus untuk kumpulan isi rumah
40% terbawah tanpa mengira kaum. Jangan ada mana-mana pihak yang cuba
mempersoalkan tindakan pembetulan ini sebagai agenda perkauman. Ini adalah
agenda negara.
21. Oleh itu, kita
perlu menjadikan Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional, bukan agenda kaum.
Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan oleh YAB Presiden mempunyai
peranan penting untuk mengkaji secara terperinci kedudukan ekonomi Bumiputera,
merencana hala tuju masa depan ekonomi Bumiputera, termasuk memperkukuhkan
instrumen dasar, institusi dan inisiatif memajukan ekonomi Bumiputera. Saya mencadangkan
supaya Agenda Bumiputera serta dasar dan strategi merapatkan jurang ekonomi
dijadikan teras utama Rancangan Malaysia Ke-11 yang merupakan lonjakan terakhir
Malaysia untuk menjadi negara maju. Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional
tidak boleh dilaksanakan secara picisan atau terpisah daripada kerangka besar
ekonomi negara. Ia mesti dilaksanakan secara inklusif, komprehensif dan
merentasi semua sektor ekonomi. Saya juga mencadangkan satu Dasar Ekonomi
Nasional yang baharu dirangka untuk memacu inisiatif kesaksamaan ke hadapan.
Apatah lagi, tanggungjawab merapatkan jurang kaya dan miskin adalah perintah
Allah s.w.t. kepada kita sepertimana firman-Nya dalam Surah Al-Nahl, Ayat 71:
وَٱللَّهُ
فَضَّلَ
بَعۡضَكُمۡ
عَلَىٰ
بَعۡضٍ۬
فِى
ٱلرِّزۡقِۚ
فَمَا
ٱلَّذِينَ
فُضِّلُواْ
بِرَآدِّى
رِزۡقِهِمۡ
عَلَىٰ
مَا
مَلَڪَتۡ
أَيۡمَـٰنُہُمۡ
فَهُمۡ
فِيهِ
سَوَآءٌۚ
أَفَبِنِعۡمَةِ
ٱللَّهِ
يَجۡحَدُونَ
Yang bermaksud:
"Dan Allah telah
melebihkan sebahagian daripada kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang
dikurniakan-Nya dalam pada itu, orang-orang yang diberi kelebihan itu tidak
mahu memberikan sebahagian daripada kelebihan hartanya kepada hamba-hamba
mereka, supaya orang-orang itu dapat sama mempunyai harta. Maka mengapa mereka
tergamak mengingkari nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik?"
Memperkukuhkan Manhaj
Wasatiyyah Dalam Menangani Cabaran dan Ancaman Terhadap Islam
Saudara dan saudari
yang saya hormati sekalian,
22. Kita juga sedang
menghadapi pelbagai cabaran baharu dalam soal agama. Saban hari saya mendengar
keluh kesah orang Melayu yang bimbang dengan kesan faham liberalisme dan
sekularisme ke atas aqidah umat Islam. Hari ini kita banyak mendengar kes-kes
pelanggaran syariat yang dilakukan atas nama kebebasan dan hak asasi.
Penghinaan ke atas umat Islam juga dilakukan secara terbuka. Selain itu, umat
Islam juga sedang berhadapan dengan ancaman ekstremisme dan militanisme yang
sekiranya tidak dibendung segera akan memberi kesan buruk kepada negara.
23. Apa yang lebih
membimbangkan ialah wujudnya trend sekularisasi dalam agama, iaitu agama
dilihat dalam neraca ideologi sekular liberal Barat yang tercabut daripada akar
Syariat. Trend ini sedang berkembang di seluruh dunia. Misalnya, majalah
Economist keluaran bulan Oktober yang lalu memberikan gambaran yang agak
mengejutkan mengenai amalan perkahwinan sejenis yang dilarang oleh syariat
Islam dan juga oleh agama-agama lain. Menurut majalah ini, dalam tahun 1950-an,
perkahwinan sejenis tidak diterima di hampir semua negara di dunia. Namun,
dalam tempoh hanya enam dekad, yang disebut sebagai "the leap
forward", hari ini 113 negara atau 63% daripada keseluruhan negara di
dunia telah mengiktiraf perkahwinan sejenis atas nama menghormati hak asasi dan
kesamarataan.
24. Keadaan ini
menimbulkan keresahan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam. Mereka
bimbang sekiranya gejala sekularisasi agama ini tidak segera dibendung, maka
benteng aqidah dan syariat yang sekian lama dipertahankan oleh umat Islam akan
runtuh dirempuh arus liberalisme. Dalam konteks perjuangan UMNO, semua ini
merupakan cabaran baharu yang tidak pernah kita lalui sebelum ini. Kalau dahulu
kita cuma berhadapan dengan asakan PAS yang cuba membuktikan siapa lebih Islam.
Tetapi hari ini kita berada di luar kancah perlumbaan ini. Kita sedang berada
dalam dunia pasca-moden yang menganggap agama sebagai penghalang kepada
kebebasan manusia. Dalam realiti hari ini, semakin ramai pula pihak yang cuba
membuktikan siapa lebih liberal, bukan siapa lebih Islam.
25. Saudara-saudari,
UMNO sebagai parti tunjang Melayu-Islam tidak pernah dan tidak akan sesekali
meminggirkan agenda memartabatkan Islam daripada dasar perjuangan kita. Ia
sudah lama termateri dalam Perlembagaan UMNO sebagaimana peruntukan Fasal 3.3
yang menjelaskan bahawa asas dan tujuan UMNO adalah untuk menegak,
mempertahankan dan mengembangkan Islam. Malah sejak 57 tahun kita merdeka,
UMNO-lah yang telah banyak membangunkan Islam di negara ini dalam segenap
sektor sama ada pendidikan agama, ekonomi dan kewangan Islam, pembangunan
sosial, pentadbiran mahupun perundangan Syariah.
26. Pendekatan UMNO
sejak dahulu, kini bahkan selamanya berpaksikan kepada orientasi atau manhaj
Wasatiyyah. Yang dimaksudkan dengan Wasatiyyah bukanlah pendekatan yang
bersifat 'al-ghuluw wa ttatarruf fiddīn' iaitu bersifat melampau dan keras
dalam pendekatan beragama hingga terjerumus kepada perlakuan yang kaku dan
beku, dan terbawa-bawa kepada perlakuan militan yang merosakkan agama.
Wasatiyyah juga tidak bersifat 'al-tasāhul fiddīn' iaitu memperlonggar dan
mempermudahkan agama hingga ke peringkat liberal yang menyesatkan.
27. Sebaliknya
pendekatan wasatiyyah yang diamalkan UMNO adalah konsep kecemerlangan dan
kesederhanaan umat yang berpaksikan Syariat Islam. Sememangnya maksud
wasatiyyah di dalam Islam adalah berlegar sekitar konsep keadilan,
kecemerlangan, pilihan terbaik dan perimbangan dalam segala perkara. Boleh
dikatakan perkataan-perkataan ini adalah kata kunci dalam memahami konsep
wasatiyyah dalam Islam. Pendekatan ini jelas diisyaratkan di dalam Al-Quran,
surah Al-Baqarah, Ayat 143:
وَكَذَٲلِكَ
جَعَلۡنَـٰكُمۡ
أُمَّةً۬
وَسَطً۬ا
لِّتَڪُونُواْ
شُہَدَآءَ
عَلَى
ٱلنَّاسِ
وَيَكُونَ
ٱلرَّسُولُ
عَلَيۡكُمۡ
شَهِيدً۬اۗ
Yang bermaksud:
"Dan demikianlah
(sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu
(wahai umat Muhammad) satu umat yang terpilih lagi adil, supaya kamu layak
menjadi orang yang memberikan keterangan kepada umat manusia (tentang yang
benar dan yang salah)".
28. Sebab itulah
saudara-saudari sekalian, sebagai pendokong perjuangan suci ini, kita sebagai
pejuang UMNO bermanhaj wasatiyyah harus tegas menentang gejala esktremisme dan
militanisme yang ketika ini begitu cepat mempengaruhi anak-anak muda yang
mahukan jalan pintas ke syurga. Kita juga tidak akan berkompromi dengan mereka
yang cuba memesongkan makna wasatiyyah yang cukup sinonim dengan prinsip
kesederhanaan Islam atau moderation dengan membawa ideologi songsang seperti
liberalisme dan sekularisme.
29. Kita juga tidak
boleh lagi berada dalam khutub khanah lama untuk mencari penyelesaian baharu
kepada kemelut yang dihadapi oleh umat Islam hari ini. Kita perlu meneroka ilmu
dan kemahiran terkini untuk menangani cabaran semasa. Bagi saya, di sinilah
letaknya peri penting tradisi keilmuan di dalam UMNO. Seluruh ahli UMNO perlu
menambah khazanah ilmu di dada bagi mendepani cabaran masa kini.
30. Saya fikir budaya
membuat laporan polis dan mengangkat sepanduk dalam menghadapi asakan terhadap
akidah dan syariat Islam bukan lagi jawapan yang tuntas kepada kemelut yang
dihadapi oleh ummah. Kita perlu memperbanyak perbincangan, penerbitan dan
wacana mengenai kebebasan dan hak asasi manusia menurut persepektif Islam dan
juga bagaimana Islam menghadapi tentangan sekularisme. Kita perlu menangani
trend sekularisasi dalam agama ini dengan keteguhan akidah dan ketajaman minda,
bukannya diselubungi oleh ketegaran emosi. Di samping itu, institusi-institusi
Islam perlu diperkasa, penguatkuasaan undang-undang Islam perlu dipertegas dan
kerjasama UMNO dengan NGO-NGO Islam perlu diperkukuh.
Bunga kesidang si
bunga tanjung,
Tumbuh di laman mekar
berkembang,
Agama dijulang Bangsa
dijunjung,
Begitulah UMNO terus
berjuang.
PENDIDIKAN
SEBAGAI WAHANA KEMAJUAN DAN PERPADUAN NASIONAL
Saudara dan saudari
yang saya hormati sekalian,
31. Kita juga
menghadapi cabaran baharu dalam bidang pendidikan. Peranan pendidikan sebagai
wahana untuk bangsa Melayu meningkatkan taraf sosio ekonomi menjadi lebih
penting. Jika dahulu fokus kita dalam bidang pendidikan ialah untuk
meningkatkan kadar enrolmen dan membasmi buta huruf. Hari ini, sasaran dalam
bidang pendidikan telah berganjak kepada melahirkan tenaga manusia yang
berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Dalam dunia yang semakin kompetitif
hari ini, memiliki kelayakan di peringkat menengah sahaja tidak memadai.
32. Sebagai parti
yang memperjuangkan nasib Bumiputera, UMNO perlu memberi perhatian secara lebih
serius kepada usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja Bumiputera. Data
terkini menunjukkan 64.3% tenaga buruh Bumiputera mempunyai sijil SPM dan ke
bawah. Hanya 27.8% berpendidikan tinggi. Keadaan ini tidak memberikan kelebihan
kepada kaum Bumiputera untuk bersaing dalam pasaran kerja yang semakin
kompetitif. Oleh itu, kita perlu berani berganjak untuk melihat pendidikan
sebagai komponen penting dalam meningkatkan pencapaian Bumiputera. Di samping
memberikan fokus kepada pencapaian di peringkat pengajian tinggi, kita juga
perlu memberi tumpuan kepada bidang latihan teknikal dan vokasional untuk
meningkatkan kemahiran dan daya saing pekerja Bumiputera.
33. Di samping itu,
kita jangan lupa peranan pendidikan sebagai wahana perpaduan dan wahana untuk
membina identiti nasional. Kerana itu saya sering menegaskan kepentingan kita
memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah perpaduan. Jika murid daripada
semua kaum dapat belajar di bawah satu bumbung dengan meningkatkan penguasaan
bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, maka saya yakin perpaduan di negara
kita akan menjadi lebih kukuh. Hari ini, polarisasi kaum masih wujud
sebahagiannya kerana politik kebencian yang dimainkan oleh sesetengah pihak.
Sensitiviti kaum tidak dipedulikan, institusi Raja dimomokkan, malah wujud
cabar mencabar antara agama. Saya percaya, kita boleh mengembalikan kepercayaan
antara kaum melalui satu sistem pendidikan kebangsaan yang memberi keutamaan
kepada perpaduan nasional.
34. Matlamat ini
boleh kita capai jika kita meletakkan asas-asas yang kukuh untuk perpaduan
dalam sistem pendidikan kita. Ini termasuklah memperkasa Bahasa Melayu sebagai
bahasa perpaduan dan menjadikan perpaduan nasional sebagai agenda utama semua
aliran persekolahan di negara kita, termasuk di sekolah jenis kebangsaan,
sekolah agama rakyat, sekolah swasta dan lain-lain. Jangan lagi ada kisah murid
yang tidak tahu berbahasa Melayu, sedangkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan
negara kita. Jangan lagi ada insiden kenyataan berbaur perkauman dikeluarkan
oleh guru atau murid di sekolah. Jangan lagi ada perasaan prejudis kaum dan
agama yang tebal dalam kalangan rakyat negara kita. Saya fikir, tempoh 57 tahun
merdeka sudah cukup untuk kita hapuskan segala rasa prejudis dan syak wasangka
antara kaum. Tinggal lagi, kita semua, baik parti politik, pertubuhan bukan
kerajaan, gerakan pendidikan Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain, perlulah
ada keikhlasan, ada kejujuran, dan ada kesungguhan untuk memupuk perpaduan.
Jangan kita bercakap mengenai perpaduan, tetapi pada masa yang sama bertindak
menebalkan tembok pemisahan kaum.
35. Pada hemat saya
juga, dalam semangat untuk mengikis sikap prejudis sesama rakyat, adalah wajar
kerajaan mengambil tindakan tegas dalam membendung kenyataan-kenyataan yang
menyentuh sensitiviti kaum dan agama daripada memercikkan api perbalahan.
Adalah lebih baik kita mencegah daripada nantinya terpaksa merawat luka
permusuhan yang parah. Kerana itu saya telah menyatakan pendirian saya mengenai
Akta Hasutan. Bagi saya, Akta ini wajar dikekalkan dengan beberapa
penambahbaikan. Peruntukan khusus perlu dimasukkan untuk melarang mana-mana
pihak daripada mempersoalkan jaminan perlembagaan mengenai kedudukan agama
Islam sebagai Agama Persekutuan. Akta ini juga perlu menghalang mana-mana pihak
daripada mempersoalkan hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan
agama masing-masing. Begitu juga dengan kedudukan tanah rezab Melayu dan
Regimen Askar Melayu DiRaja yang merupakan sebahagian daripada wasiat Raja-Raja
Melayu perlu dilindungi daripada perbuatan menghasut. Apa yang penting ialah
kita perlu melihat Akta Hasutan bukan sebagai akta yang hanya melindungi
kepentingan orang Melayu, tetapi akta yang memelihara perpaduan dan keharmonian
nasional.
PERSEPSI
ORANG MUDA TERHADAP UMNO
Saudara dan saudari
yang saya hormati sekalian,
36. Hari ini, parti
kita sedang menyongsong perubahan. Sebagai parti yang memperjuangkan
kemerdekaan, UMNO telah banyak berjasa kepada orang Melayu dan rakyat
Malaysia.Tiada siapa yang boleh menafikan sumbangan UMNO kepada agama, bangsa
dan tanah air. Tetapi, survival parti kita pada masa hadapan tidak boleh
bergantung semata-mata kepada rekod sumbangan kita pada masa lalu. Rakyat, khususnya
orang Melayu, ingin melihat apa sumbangan UMNO kepada mereka dalam mengharungi
cabaran masa hadapan yang lebih getir. Untuk itu, kita perlu mempersiapkan UMNO
untuk menjadi parti masa hadapan, parti harapan umat Melayu, parti idaman
generasi muda Melayu dan parti yang sesuai dengan dinamika politik nasional.
37. Terus terang saya
katakan saya agak bimbang melihat perkembangan hari ini. UMNO masih bertahan di
kampung-kampung, tetapi semakin hilang sokongan masyarakat bandar yang lebih
terbuka, lebih terdedah kepada pelbagai maklumat dan lebih sofistikated dari
segi pemikiran, nilai dan cara hidup. Dalam pilihanraya umum yang lalu, UMNO
kalah di kebanyakan kawasan bandar majoriti Melayu. Kita kalah di Shah Alam,
Ampang, Lembah Pantai, Bangi, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan banyak
kawasan lain yang suatu ketika dahulu merupakan kubu kuat UMNO. Kita juga kalah
teruk di Selangor yang merupakan negeri termaju di Malaysia.
38. Dalam rangka
menyediakan ucapan saya pada malam ini, saya mendapatkan pandangan pemuda dan
pemudi Melayu mengenai UMNO. Mereka terdiri daripada graduan muda, golongan
profesional, aktivis masyarakat, usahawan dan ahli akademik. Bagi saya,
pandangan orang muda terhadap UMNO adalah penting dalam menentukan survival
UMNO. Orang muda merupakan pewaris perjuangan parti kita, dan pandangan mereka
tentang UMNO akan menentukan jatuh bangunnya UMNO pada masa hadapan.
39. Saya bertanya
kepada mereka apa persepsi mereka terhadap UMNO? Apa aspirasi mereka? Apa
harapan mereka? Apa kebimbangan mereka? Apa perkara penting yang hendak
disampaikan kepada UMNO? Saya minta supaya mereka bercakap secara jujur, ikhlas
dan terbuka. Saya ingin tahu apa yang perlu UMNO lakukan supaya anak-anak muda
di luar sana ghairah untuk berada bersama-sama kita dalam saf perjuangan UMNO.
40. Izinkan saya
berkongsi pandangan mereka dengan saudara dan saudari pada malam ini. Pertama,
mereka kata UMNO sedang mengalami trust deficit atau defisit kepercayaan;
kedua, UMNO ini parti feudal; ketiga, dalam UMNO ada budaya play safe dan
budaya pak turut; keempat, UMNO dikuasai oleh warlord; dan kelima, UMNO diancam
oleh budaya ugut dan budaya tabur. Ini kata mereka.
41. Mereka
menjelaskan satu persatu kepada saya apa yang mereka maksudkan dengan
kelima-lima perkara ini. Mengenai defisit kepercayaan, mereka beritahu saya
mereka sebenarnya sokong perjuangan UMNO. Mereka sayang kepada UMNO. Bagi
mereka tidak ada parti lain yang boleh diharapkan untuk mempertahankan agama,
bangsa dan tanah air melainkan UMNO. Cumanya, mereka ingin melihat pemimpin
UMNO di setiap peringkat lebih berintegriti, lebih amanah, lebih jujur, lebih
telus, tidak terpalit dengan gejala rasuah, tidak menonjolkan kemewahan yang
berlebihan, tidak bergaduh sesama sendiri dan sebagainya. Jika ini boleh
dilakukan, maka orang muda akan percaya semula kepada UMNO.
42. Mereka juga tidak
mahu UMNO terlalu terikat dengan hirerki hingga mewujudkan gambaran parti kita
menjadi parti feudal sehingga orang bawah tidak boleh bersuara selagi orang
atas tidak bersuara. Sehinggakan hendak beri pandangan pun kena tengok apa
orang atas kata. Kalau orang atas kata A, maka yang di bawah mesti kata A.
Kalau orang atas kata B, yang di bawah pun mesti kata B.
43. Menurut mereka
lagi, orang muda dalam UMNO mempunyai idea-idea yang bernas tetapi merasakan
lebih baik diam daripada bercanggah pandangan dengan orang atas. Ada yang kata
kalau bercakap lebih sedikit nanti dianggap hendak memandai. Ada pula yang beri
nasihat orang muda mesti berhati-hati dalam politik. Jangan terlalu menonjol. Jangan
terlalu laju. Nanti kena sekat, nanti kena cantas, kena kerat, kena sabo, kena
cah keting, kena terajang dan lain-lain lagi. Jadi, lama-kelamaan mereka fikir
lebih baik diam daripada bercakap, atau lebih selamat jadi pak turut saja.
Seolahnya ada satu budaya play safe, atau budaya pilih jalan selamat dalam
UMNO.
44. Akibatnya, dalam
UMNO, lebih ramai orang memilih untuk berdiam diri daripada bercakap. Ini
mewujudkan persepsi bahawa parti kita sedang dilanda budaya kelesuan. Akhirnya,
orang Melayu dan rakyat tertanya-tanya di mana suara keramat UMNO? Di mana
taring Pemuda? Di mana ketegasan Wanita? Di mana kelantangan Puteri? Kesannya,
kita seolahnya ketandusan pemimpin untuk menjuarai kepentingan orang Melayu.
Sehinggakan timbul cakap-cakap di luar sana yang mengatakan NGO Melayu lebih
lantang daripada UMNO dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu.
45. Bagi saya, kita
perlu membuktikan bahawa UMNO bukannya sebuah parti yang lesu. UMNO bukannya
parti yang mempunyai budaya pak turut, budaya nyanyi, budaya puji, budaya
lambung, budaya ampu sana ampu sini. UMNO adalah parti yang berwibawa, parti
yang ada idealisme, parti yang ada masa depan, parti pilihan anak-anak muda.
Ingatlah, orang muda hari ini tidak suka jadi pak turut. Mereka naik geli
dengan budaya ampu. Mereka benci budaya sabo. Mereka tolak budaya cah keting.
Jika kita boleh buang semua budaya negatif ini jauh-jauh, saya yakin UMNO akan
menjadi parti pilihan orang muda.
46. Satu lagi ialah
budaya warlord. Ramai yang beritahu saya dalam UMNO ada banyak warlord. Mereka
ini amat berkuasa kerana mempunyai ramai pengikut setia yang sanggup melakukan
apa sahaja untuk mereka. Dengan sokongan pengikut, warlord akan mengugut
pemimpin atasan parti untuk berikan apa sahaja yang mereka minta. Jika tak
diberi, mereka akan sabo parti dalam pilihan raya.
47. Kita perlu
buktikan bahawa warlord bukan sebahagian daripada budaya UMNO. Kita menolak
sikap sekalangan yang cuba untuk kekal berkuasa dengan menabur kemewahan kepada
pengikut. Sehinggakan ada yang kata tak payah buat kerja dalam UMNO. Yang perlu
dibuat ialah kumpul kekayaan untuk tabur kemewahan kepada pengikut supaya
mereka sentiasa setia. Keadaan ini menyebabkan kos politik menjadi semakin
mahal. Yang tiada wang tidak boleh masuk politik. Walaupun ada bakat, ada
kelulusan, ada kebolehan, mereka tak mampu untuk bergerak aktif dalam parti
jika tiada wang. Saya bimbang, akhirnya nanti yang naik dalam hiraki parti
adalah orang yang ada wang, bukan orang yang ada kebolehan. Orang kata money is
everything in politics. No money, no talk. Seolahnya, wang adalah kuasa, wang
adalah segala-galanya.
48. Saya kadang kala
terfikir adakah sudah tidak ada keikhlasan dan kejujuran dalam perjuangan?
Adakah sudah tidak ada nilai pengorbanan dalam politik? Adakah pengikut menilai
pemimpin semata-mata berdasarkan kemampuan mereka untuk tabur kemewahan? Adakah
pemimpin mengukur kesetiaan pengikut berdasarkan harga yang mereka bayar? Bagi
saya, budaya ugut dan tabur ini amat bahaya kepada parti kita. Budaya ini akan
menyebabkan politik wang berleluasa di dalam parti. Pengikut yang terima wang
akan suka. Mereka puji pemimpin yang boleh beri sesuatu kepada mereka. Tetapi
jangan kita lupa. Rakyat di luar sana tak suka politik wang. Mereka curiga bila
lihat orang politik hidup mewah. Tak setimpal dengan pendapatan. Apatah lagi
jika ada yang suka menunjuk-nunjuk kemewahan. Rakyat akan mula menuduh bermacam
perkara yang tidak baik terhadap parti kita. Inilah punca masalah trust deficit
atau defisit kepercayaan terhadap UMNO. Jadi, ingatlah. Apa guna kita naik
dalam hiraki parti, tetapi rakyat menolak parti kita kerana mereka tidak suka
dengan imej dan sikap kita.
49. Apa yang saya
sebutkan ini adalah persepsi dan kritikan orang muda terhadap UMNO. Barangkali
ada yang betul, ada juga yang kurang tepat. Tetapi mengambil yang baik daripada
kritikan ini adalah lebih afdal. Ini membuktikan bahawa UMNO adalah parti yang
terbuka dan kita sentiasa bermuhasabah. Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam
Surah Al-Zumar Ayat 18:
ٱلَّذِينَ
يَسۡتَمِعُونَ
ٱلۡقَوۡلَ
فَيَتَّبِعُونَ
أَحۡسَنَهُ
ۥۤۚ
أُوْلَـٰٓٮِٕكَ
ٱلَّذِينَ
هَدَٮٰهُمُ
ٱللَّهُۖ
وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ
هُمۡ
أُوْلُواْ
ٱلۡأَلۡبَـٰبِ
Yang bermaksud:
Yang berusaha
mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan
menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah
orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan mereka itulah
orang-orang yang berakal sempurna.
HARAPAN
ORANG MUDA TERHADAP UMNO
Saudara dan saudari
yang saya hormati sekalian,
50. Sebenarnya, orang
muda dan umat Melayu seluruhnya menaruh harapan yang tinggi kepada UMNO. Mereka
tidak menolak perjuangan UMNO. Mereka mahu supaya pemimpin UMNO tegas
memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam, tetapi pada masa yang sama tidak
dilihat terlalu ekstrem perkauman atau terlalu liberal. Mereka percaya bahawa
dalam sebuah masyarakat pelbagai kaum, UMNO perlu bersikap adil terhadap
kaum-kaum lain, tetapi tidaklah sampai menggadaikan asas dan prinsip perjuangan
UMNO. Pendek kata, orang muda mahu UMNO terus menjadi parti yang sederhana,
parti yang berjaya mengekalkan keseimbangan dalam hubungan kaum dan agama. Apa
yang penting ialah pemimpin UMNO mesti dilihat lebih ikhlas, lebih jujur, lebih
telus, lebih adil dan lebih berwibawa dalam menggalas perjuangan parti.
51. Saya fikir orang
muda mempunyai pemikiran yang agak kritis. Apabila ada perkara yang dilihat
tidak cocok dengan idealisme mereka, maka mereka akan mengkritik. Tetapi itulah
lumrah orang muda. Itulah juga kekuatan orang muda. Mereka yakin dengan
idealisme mereka dan berani memperkatakan apa yang mereka fikir benar. Mereka
ada courage - iaitu keberanian - dan ada conviction - yakni keyakinan yang
teguh dengan apa yang mereka fikirkan benar. Kedua-dua sifat inilah yang
menjadikan orang muda ada kewibawaan, ada ketokohan, ada keupayaan untuk
memimpin.
52. Jadi, dalam
proses untuk melengkapkan perubahan dan peremajaan UMNO, untuk menjadikan UMNO
sebagai parti harapan orang muda, parti idaman, parti masa depan, saya
mencadangkan 7 langkah pembaharuan yang perlu kita laksanakan segera:
Pertama, UMNO perlu
melahirkan pemimpin muda yang berwibawa dan menjadi peneraju pemikiran (opinion
leader) di dalam masyarakat. Garap idealisme orang muda. Galakkan budaya
berfikir dan bersuara dalam UMNO. Pemimpin muda yang ada idealisme, ada wibawa
dan berani bersuara perlu diketengahkan untuk menjuarai isu-isu rakyat, menjadi
jurucakap parti, bukan diketepikan oleh parti;
Kedua, UMNO perlu
melakukan pencarian bakat. Kita perlu menyediakan platform untuk orang muda
daripada golongan profesional, intelektual, agamawan, aktivis sosial dan
lain-lain yang diterima oleh masyarakat untuk bergerak aktif dalam UMNO.
Paltform ini perlu diwujudkan di peringkat pusat, negeri dan bahagian.
Contohnya, mereka yang berbakat boleh dilantik ke unit-unit tertentu di dalam
parti dan diberi peranan untuk menyumbang kepada parti. Kita juga perlu
ketengahkan mereka yang berbakat dan berkaliber untuk menjadi calon dalam
pilihanraya. Mereka ini tidak semestinya berjawatan tinggi dalam parti.
Pengalaman kita dalam pilihanraya kecil Pengkalan Kubor dan Kuala Besut
menunjukkan calon yang tidak berjawatan tinggi di peringkat bahagian boleh
menang kerana mereka diterima oleh rakyat;
Ketiga, wujudkan
modul pengkaderan dan pentarbiyahan yang tersusun untuk melahirkan lebih ramai
pemimpin muda UMNO yang bijak, petah dan tangkas berhujjah serta teguh daya
rohaninya. Kita perlu membentuk UMNO dengan kalangan ahlinya yang punya
kekentalan semangat serta menghayati prinsip dan matlamat perjuangan parti yang
sebenar. Beri mereka kekuatan untuk mengolah perjuangan UMNO yang lebih segar
dalam konteks cabaran semasa. Jadikan mereka kumpulan pemikir muda di dalam
UMNO.
Keempat, semarakkan
semangat kesukarelawanan melalui program-program bersama rakyat. Pecahkan
tembok pemisah antara parti dan rakyat menerusi kerja-kerja sukarela. Dekati
rakyat, dengar rintihan mereka, fahami masalah mereka. Tanya diri kita, berapa
ramai daripada kita yang sentiasa mendekati rakyat dan disayangi oleh rakyat.
Manfaatkan sepenuhnya teknologi maklumat, khususnya media sosial, untuk
sentiasa mendekati dan memenangi hati golongan muda;
Kelima, wujudkan
institusi naziran di dalam UMNO untuk memantau setiap Bahagian dan Cawangan.
Satu Jabatan Naziran perlu diwujudkan di dalam UMNO untuk pastikan semua
pemimpin di peringkat Majlis Tertinggi, sayap, negeri, bahagian dan akar umbi
buat kerja. Bahagian ini bertanggungjawab untuk melaporkan kepada Jawatankuasa
Pengurusan UMNO dan Majlis Tertinggi mengenai keberkesanan program-program yang
dilaksanakan oleh parti;
Keenam, gerakkan
revolusi mental yang baharu dalam UMNO dan bangsa Melayu seperti yang pernah
digarap oleh Allahyarham Datuk Senu Abdul Rahman. Mungkin kita boleh namakan
Revolusi Mental 2.0. Cerna idea, pemikiran dan kaedah baharu untuk menangani
cabaran perubahan zaman dalam bidang ekonomi, politik, agama, hubungan kaum,
teknologi dan lain-lain. Sepertimana yang diungkapkan oleh Allahyarham Tun
Abdul Razak dalam pendahuluan buku Revolusi Mental, antara sebab kemunduran
bangsa Melayu ialah pemikiran yang terkebelakang yang disebabkan oleh
kekurangan ilmu dan cara hidup yang lama. Justeru, UMNO perlu berani menerajui
perubahan pemikiran, budaya dan sikap bangsa Melayu untuk menempa kemajuan.
Pada masa yang sama, hadapi dengan bijaksana kemunculan pelbagai tentangan yang
cuba menggoyahkan prinsip perjuangan UMNO untuk bangsa Melayu sebagai bangsa
teras di Malaysia. Yang penting, jadikan prinsip perjuangan UMNO relevan
sepanjang masa; dan
Ketujuh, bangkitkan
gerakan kesedaran nilai undi dalam kalangan masyarakat Melayu. Gerakan
pendaftaran pengundi baharu mesti dibuat dengan lebih bersungguh-sungguh.
Jangan buat sambil lewa. Jangan buat sekadar melepas batuk di tangga kata
orang. Jangan sampai kegagalan kita menambah bilangan pengundi Melayu
menyebabkan kaum Melayu yang merupakan kaum majoriti menjadi golongan minoriti
dalam pilihanraya. Sasaran gerakan ini wajib dimulai dengan memastikan semua
ahli UMNO yang layak mengundi didaftarkan sebagai pengundi.
MEREKAYASA
PERUBAHAN
Saudara dan saudari
yang saya hormati sekalian,
53. Bagi saya, UMNO
mesti melakukan perubahan yang drastik jika ingin kekal relevan dengan
peredaran masa. Pendekatan dan gerak kerja UMNO hari ini sedang dipintas oleh
gerakan yang lebih canggih dan sesuai dengan selera masa kini. Lebih-lebih
lagi, jika UMNO ingin menjadi parti masa hadapan, maka citra UMNO mestilah
cocok dengan jiwa anak-anak muda Melayu, golongan profesional Melayu dan tidak
lupa seluruh generasi muda yang berada di desa mahupun di kota. Mereka adalah
pewaris perjuangan parti kita.
54. Untuk itu, UMNO
memerlukan suntikan tenaga muda sama ada di kalangan wanita dan lelaki, yang
berkebolehan dan berkelayakan untuk memimpin parti. Orang lama mesti beri
laluan kepada orang muda. Lebih-lebih lagi jika kita menjadi liabiliti kepada
parti, kita harus segera berundur secara terhormat. Kita telah lama bercakap
mengenai peremajaan UMNO, tetapi tanyalah diri kita apakah proses ini
benar-benar berlaku di dalam parti.
55. Kita tidak ada
banyak masa untuk menunggu perubahan berlaku. Kita perlu merekayasa perubahan.
If change does not happen, we have to engineer the change. Justeru pada hemat
saya, wajar untuk kita pertimbangkan pemilihan parti dilaksanakan mengikut
kehendak Perlembagaan UMNO dan tidak ditangguhkan selepas pilihanraya umum
seperti yang pernah dibuat sebelum ini. Saya juga mencadangkan pindaan
Perlembagaan UMNO diadakan tahun hadapan dengan memperuntukkan pindaan yang
sesuai untuk membolehkan barisan pelapis muda menyumbang peranan dan khidmat
bakti yang lebih besar kepada UMNO. Saya percaya UMNO tidak akan berpecah
sekiranya pemilihan diadakan. Pemimpin UMNO tentunya cukup matang untuk
menghadapinya. Saya sendiri akan sentiasa berdiri bersama-sama YAB Presiden
untuk merealisasikan perubahan dan peremajaan parti kita.
56. Ini adalah seruan
terakhir untuk UMNO. Do or be dead! Jangan letak kepentingan diri melebihi
kepentingan parti. Saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan pemimpin UMNO
di semua peringkat, jika kita menjadi batu penghalang kepada peremajaan parti,
maka kita mesti berundur secara terhormat. Parti kita mesti kekal relevan
supaya bangsa Melayu terus terbela. Diri kita tidak penting. Yang penting ialah
bangsa Melayu dan UMNO. Ingatlah, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum
kecuali kaum itu sendiri mengubah apa yang ada dalam dirinya. Sepertimana
firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Ra'du Ayat 11:
إِنَّ
ٱللَّهَ
لَا
يُغَيِّرُ
مَا
بِقَوۡمٍ
حَتَّىٰ
يُغَيِّرُواْ
مَا
بِأَنفُسِہِمۡۗ
57. Jangan kita lupa
akan seruan YAB Presiden. Di Dewan Merdeka ini jugalah semasa merasmikan
Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO tahun 2008, Presiden dengan jelas
menuntut agar kita berubah untuk kepentingan rakyat. Saya petik kata-kata
Presiden. "Berubah dari sikap-sikap mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah.
Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada
mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin kerja, berubah daripada kurang
berkhidmat kepada suka berkhidmat. Berubahlah, jika tidak, kita rebah".
Soalnya, apakah kita mengambil serius gesaan YAB Presiden ini? Atau, adakah ia
ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri?
58. Saudara-saudari,
kita mesti memperbetulkan segera segala kesilapan kita dan melakukan perubahan
demi kelangsungan agama dan bangsa kita. Amatilah betul-betul peringatan Allah
s.w.t. sebagaimana firmanNya dalam surah Al-An'am Ayat 6:
أَلَمْ
يَرَوْا
كَمْ
أَهْلَكْنَا
مِنْ
قَبْلِهِمْ
مِنْ
قَرْنٍ
مَكَّنَّاهُمْ
فِي
الْأَرْضِ
مَا
لَمْ
نُمَكِّنْ
لَكُمْ
وَأَرْسَلْنَا
السَّمَاءَ
عَلَيْهِمْ
مِدْرَارًا
وَجَعَلْنَا
الْأَنْهَارَ
تَجْرِي
مِنْ
تَحْتِهِمْ
فَأَهْلَكْنَاهُمْ
بِذُنُوبِهِمْ
وَأَنْشَأْنَا
مِنْ
بَعْدِهِمْ
قَرْنًا
آخَرِينَ
Tidakkah mereka
memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum
mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka
bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu dan
Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai
mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa
mereka dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?
PENUTUP
Saudara dan saudari
yang saya hormati sekalian,
59. Zaman untuk
dipuja dan dipuji dalam kelompok sendiri sudah berlalu. Ini adalah zaman untuk
kita bersama-sama masyarakat, merasai keresahan mereka, berusaha mencari
penyelesaian kepada permasalahan yang mereka alami. Ini zaman untuk kita meraih
keyakinan rakyat, zaman untuk kita memimpin bangsa mengharungi cabaran yang
semakin hebat. Hormat rakyat bukan sesuatu yang boleh dipaksa. Berusaha,
berkhidmatlah kepada rakyat bagi mendapatkan hormat mereka kepada kita. UMNO
adalah parti massa yang lahir daripada kebangkitan rakyat yang mempunyai
matlamat dan arah tuju yang jelas. UMNO terbina demi masa depan umat Melayu dan
negara. UMNO bukan parti yang lahir daripada rasa benci, tetapi penuh dengan
rasa kasih dan sayang demi kesejahteraan rakyat. UMNO adalah parti yang sarat
dengan harapan untuk masa depan bangsa dan negara. Binalah keyakinan, tunjukkanlah
keazaman, hamparkanlah harapan kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia
seluruhnya bahawa parti ini adalah pilihan terbaik buat mereka.
60. Kepada umat
Melayu dan Bumiputera yang sedang menekuni ucapan saya ini sama ada yang berada
di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bersatulah kita atas nama kewatanan dan
kecintaan kepada negara. Kita sudah tiada masa untuk bertelingkah atau berbenci
antara satu sama lain. Kepada seluruh rakyat tanpa batas kaum dan fahaman,
marilah kita menolak gerakan meracuni dan membenci sesama kita. Jangan kita
biarkan negara ini runtuh hanya kerana umpan-umpan yang dilontarkan kepada kita
oleh pihak luar.
61. Buat Wanita,
bangunlah dengan istiqamah perjuangan. Hulurkan salam jemputan buat wanita
Melayu dari segenap ceruk rantau dan latar belakang--guru wanita, ustazah,
peguam, doktor, pegawai profesional hatta NGO wanita dan ibu-ibu tunggal--
marilah bersama-sama sebaris dengan kita dalam perjuangan ini. Buat Pemuda,
bangkitlah dengan bara perjuangan. Beranikan diri berada di mana sahaja bila
panggilan untuk berkorban masa dan tenaga. Bawalah golongan muda yang dahagakan
kebersamaan dan interaksi. Berikan mereka harapan. Buat Puteri, bangkitlah
dengan semangat baharu yang segar membawa pemudi dan wirawati negara meyakini
perjuangan kita. Tanamkan benih kasih kepada mereka, nescaya mekarlah nanti
dengan rimbunan pendokong.
62. Harapan saya
kepada seluruh bangsa Melayu, renunglah nasib masa depan bangsa kita. Hargai
sejarah perjuangan bangsa di masa lalu, perjuangan yang meletakkan kita di sini
hari ini. Bangkitlah bersama-sama UMNO untuk merencana masa depan bangsa kita
agar tidak hilang ditelan zaman, agar terus tegar mendepani cabaran. Saya
percaya, dengan kekuatan tekad dan keazaman kita semua, dengan limpahan rahmat
dan inayah Allah s.w.t, UMNO akan beroleh kekuatan dan keyakinan untuk
melakukan perubahan dan pembaharuan, dan seterusnya mara membela agama, bangsa
dan negara kita.
Gagahnya pahlawan
dahulukala,
Menjadi tauladan
sepanjang zaman,
Kalian tinggalkan
warisan bangsa,
Untuk kita teruskan
perjuangan.
Hidup Melayu! Hidup
Melayu! Hidup Melayu!