JAKARTA: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa Malaysia tidak menceroboh atau mengambil mana-mana wilayah Indonesia dan berkata bahawa rakyat kedua-dua negara tidak seharusnya bergaduh tentang hal itu.
Beliau difahamkan bahawa, dakwaan merebut tanah tersebut telah dicetuskan oleh politik dalaman, dan menegaskan Malaysia tidak berniat untuk mencampuri urusan politik dalaman sesebuah negara dan berharap isu tersebut tidak dipolitikkan.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pemimpin-pemimpin Indonesia, termasuk Menteri Luar, Marty Natalegawa; Menteri Politik, Undang-undang dan Keselamatan, Djoko Suyanto; Menteri Dalam Negeri, Gamawan Fauzi dan Menteri Pertahanan, Purnomo Yusgiantoro yang telah menjelaskan perkara tersebut.
Perkara ini turut disokong oleh kenyataan Ketua Angkatan Tentera Bersenjata Indonesia, Laksamana Agus Suhartono yang berkata bahawa tiada sebarang masalah berkaitan dengan dakwaan peralihan tanda sempadan.
Pada sidang akhbar dengan media tempatan, Ahmad Zahid disertai oleh Pesuruhjaya DPR, Ramadhan Pohan yang telah pergi ke kawasan sempadan dan melihat sendiri bahawa tanda-tanda sempadan tersebut tidak beralih dari kedudukannya.
Batu-batu penanda sempadan tersebut kekal seperti termaktub dalam Perjanjian Anglo-Belanda pada tahun 1891 dan Perjanjian seterusnya.
Perkara-perkara yang berkaitan dengan persempadan dikendalikan oleh empat Jawatankuasa Malaysia-Indonesia meliputi Jawatankuasa Teknikal Persempadan, Suruhanjaya Persempadan Bersama, Kumpulan Penandaan Kerja, dan Kumpulan Kerja mengenai ukur dan penempatan penanda sempadan.
Ramadhan juga memaklumkan bahawa, Batu-Batu Penanda Sempadan tersebut diletakkan dengan disaksikan oleh pegawai-pegawai daripada kedua-dua belah pihak.
Beliau juga berkata, tiada bukti dan kebenaran terhadap dakwaan seramai 3000 anggota keselamatan Malaysia telah mencerobohi sempadan Indonesia dan memasuki ke dalam wilayah-wilayah Indonesia. BERNAMA