Persidangan Perwakilan Nasional GERAKAN Ke-40
KUALA LUMPUR: Umno tidak mempunyai niat untuk menerajui Pulau Pinang walaupun Barisan Nasional (BN) diberi mandat untuk mentadbir negeri ini selepas pilihan raya, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata beliau telah membincangkan perkara tersebut dengan Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman, yang mempunyai pandangan yang sama bahawa Umno tidak akan menerajui Pulau Pinang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional GERAKAN Ke-40 di sini, semalam.
Terdahulu dalam ucapannya, Najib, yang juga Presiden Umno, berkata parti itu bersedia untuk bekerjasama dengan parti-parti komponen Barisan Nasional di Pulau Pinang untuk merampas kembali negeri tersebut dari Pembangkang.
"Kita (Barisan) mesti bekerja bersama-sama di Pulau Pinang sebagai satu keluarga dan setiap daripada kita perlu menawarkan diri sebagai sebahagian daripada penyelesaian dan bukan masalah," katanya.
"Saya tidak akan mengalah dalam memenangi Pulau Pinang walaupun terdapat orang-orang yang mengatakan tiada harapan. Kita tidak perlu mempunyai sikap mengalah dan mesti bekerja keras dan membuktikan kita adalah Kerajaan yang lebih baik daripada Pembangkang. "
Beliau juga berkata, Gerakan perlu membuat beberapa pilihan yang sukar dan menyakitkan jika ia mahu kekal sebagai kuasa politik yang disegani. Ini, katanya, termasuk mempunyai pelan alternatif bagi pengundi di Pulau Pinang dan barisan calun-calun yang baik untuk pemilihan yang akan datang.
"Jika anda (Gerakan) mahu berbuat seperti apa yang dicakapkan, anda mesti berani, menaikkan moral yang tinggi, ia adalah satu-satunya cara untuk Gerakan terus hidup sebagai sebuah parti politik, "katanya.
Berhubung seruan Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe supaya Presiden Parti Tan Sri Dr Koh Tsu Koon tidak bertanding, Najib berkata, Dr Koh tahu apa yang perlu dilakukan.
"Kami mempunyai hubungan kerja yang baik. Saya tinggalkan ia dalam tangan yang baik. Dia tahu apa yang perlu dilakukan, " kata Najib. [BERNAMA]