Pengagihan daging korban perlu dilakukan oleh orang Islam kerana ia
merupakan ibadah keagamaan dan demi memastikan ia tidak menimbulkan
sensitiviti di kalangan umat Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata walaupun pengagihan daging korban itu boleh dilakukan
oleh golongan bukan Islam tapi perkara berkenaan boleh menimbulkan rasa
tidak puas hati di kalangan umat Islam.
"Pengagihan daging korban tidak salah dalam konteks hukum Islam
tetapi persoalannya sekarang di manakah pemimpin-pemimpin masyarakat dan
anggota politik yang beragama Islam dalam melaksanakan ibadah korban
tersebut?" katanya.
Bernama melaporkan beliau berkata demikian kepada pemberita selepas
merasmikan majlis Khatam Al-Quran Perdana 2011 Tadika Islam Majlis Agama
Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Masjid Khalid Al-Walid, Jalan
Padang Tembak di Kuala Lumpur Khamis. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Dr Muhammad Yamin Ismail.
Jamil Khir berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar Khamis yang
mengatakan bahawa beberapa blog mempertikai tindakan Anggota Parlimen
Seputeh, Teresa Kok mengagihkan sendiri daging korban kepada masyarakat
Islam baru-baru ini.
Akhbar berkenaan memetik blog http://novandri.blogspot.com dan http://klxpress.blogspot.com
yang memaparkan gambar Kok mengagihkan daging korban tersebut
bagaimanapun blog itu tidak menjelaskan bila dan di mana gambar anggota
Parlimen itu dirakamkan.
Jamil Khir berkata beliau tidak mengetahui sejauh manakah kebenaran blog yang memaparkan cerita tersebut.
Sementara itu, mengenai Tadika Islam di bawah pentadbiran MAIWP,
MAIWP akan menaikkan kadar bantuan makanan daripada RM1.50 sen sehari
kepada jumlah antara RM1.80 sen dan RM3 sehari untuk setiap pelajar
bermula Januari ini.
Selain itu, MAIWP telah membelanjakan kira-kira RM6.5 juta setahun
untuk pembayaran emolumen kepada guru-guru tadika berbanding hasil
pendapatan MAIWP menerusi kutipan yuran bulanan berjumlah hanya RM1.2
juta setahun, kata Jamil Khir.
Pembayaran emolumen melebihi pendapatan MAIWP itu adalah untuk
membuktikan bahawa pihaknya mahu memastikan pelajar-pelajar tadika Islam
mempunyai keseimb angan antara penguasaan ilmu dan nilai sahsiah dan
peribadi yang tinggi, katanya.-17/11/2011
Sumber: Agenda Daily