18 November 2011

Penjelasan Isu Projek Pusat Fidlot Nasional Elak Rakyat Diperdaya

SELEPAS Laporan Ketua Audit Negara 2010 akhir bulan lalu mendedahkan projek Pusat Fidlot Nasional (PFN) tidak menepati sasaran pengeluaran bagi 2010, pelbagai dakwaan dibuat parti pembangkang. Isu itu mendapat perhatian hanya disebabkan syarikat peneraju projek pusat penggemukan lembu itu, National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) ialah milik suami dan anak-anak Menteri Pembangunan, Wanita dan Keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Walaupun menteri berkenaan belum terbukti terbabit dengan projek itu, selain mempunyai hubungan keluarga dengan pemilik NFC, perkara itu tidak menghalang pembangkang mengorek apa yang dianggap skandal kepada mereka.

Niat pembangkang ini agak jelas iaitu untuk menjejaskan persepsi rakyat terhadap kerajaan. Kita tidak ada masalah jika apa dikatakan pembongkaran oleh pembangkang itu adalah sesuatu yang benar. Memang semua pihak mempunyai tanggungjawab melakukan pemantauan bagi pihak rakyat ke atas sebarang perbelanjaan kerajaan, lebih-lebih lagi apabila wang itu disalurkan kepada syarikat swasta bagi melaksanakan projek kebangsaan. Bagaimanapun apa dilakukan pembangkang berkaitan isu ini amat tidak beretika. Kebanyakan daripada ‘pembongkaran’ ini adalah separuh benar yang boleh dianggap sebagai satu pembohongan.

Kenyataan separuh benar ini mungkin hanya sebahagiannya benar tetapi disebarkan dengan mencampuradukkannya dengan unsur mengelirukan. Penyebarannya dilakukan dengan niat untuk memperdaya, mengalih perhatian atau meletakkan kesalahan ke atas seseorang. Sebagai contoh isu pembelian unit kondominium oleh NFC yang dibongkar pembangkang tanpa mengetahui matlamat sebenar pembeliannya.

Menurut Pengerusi NFC, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail yang juga suami Shahrizat sebanyak dua unit kondominium memang dibeli syarikat itu. Namun, ia bukan satu penyalahgunaan wang, tetapi sebagai pelaburan, sementara menunggu projek PFN mendatangkan hasil. Malah, kata Salleh kepada wartawan di Gemas semalam, pelaburan itu membuahkan hasil jauh lebih baik daripada simpanan tetap di bank. Berhubung dakwaan pembangkang bahawa NFC membuat perbelanjaan RM26,400 kepada Shahrizat, sekali lagi ia terbukti separuh benar berikutan jumlah itu adalah nilai lembu dibeli menteri itu daripada NFC dan sudah pun dibayar balik hampir sepenuhnya.

Jelas sekali pembangkang cuba mengambil kesempatan dalam isu ini bagi memenangi hati pengundi, walaupun dilakukannya itu satu helah yang mahu ditonjolkan sebagai kebenaran. Sikap ghairah pembangkang memburukkan imej pemimpin UMNO bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ia sudah menjadi agenda politik sempit mereka untuk membohongi rakyat. Sewajarnya isu ini diperjelaskan bagi mengelakkan rakyat diperdaya oleh tipu muslihat pembangkang. Lagi lewat ia dijelaskan. Lagi banyak dakyah yang akan mereka sebarkan.