19 December 2011

Pemuda UMNO Kecam Insiden Penurunan Bendera Presiden UMNO

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadap dan melampau oleh peserta demonstrasi membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) petang semalam yang telah menurunkan bendera yang memaparkan gambar Presiden UMNO, YAB Dato' Sri  Najib Tun Razak, dan menggantikannya dengan bendera himpunan mereka.

Tindakan sedemikian memaparkan bahawa kumpulan ini langsung tidak matang dan bertanggung jawab malahan mencabul etika dan adab ketika mengunjungi mana-mana tempat.

Bagi Pemuda UMNO, kami konsisten dalam memperjuangkan hak dan kebebasan mahasiswa dengan seruan agar pindaan dilakukan ke atas AUKU bagi memberikan peluang  dan pengiktirafan kepada mahasiswa untuk melibatkan diri di dalam politik. Namun dalam kita merai serta menyamarakkan semangat keterbukaan dan penyertaan ini,  jangan pula ada yang mencemar mahupun memperlekehkannya dengan perlakuan yang tidak mencerminkan tindakan dan pertimbangan yang matang.

Bahkan, perlakuan sedemikan tidak sepatutnya ditonjolkan oleh golongan mahasiswa yang mahukan peranan dan suara mereka sebagai golongan cendiakawan diiktiraf dan diwakili dalam masyarakat.

Pemuda UMNO menyeru agar mahasiswa tampil dengan perjuangan yang rasional dan beradab jika ingin bergiat di dalam politik. Perjuangan ini hendaklah berpaksikan kepada kebijaksanaan, peniliaian yang rasional serta kematangan terutama sekali dalam menghormati perbezaan pendapat.

Janganlah kita begitu mudah terjebak dengan ledakan emosi mahupun terpaut dengan aksi yang tidak mencerminkan ketajaman pemikiran dan idealisme orang muda di kalangan mahasiswa.

Pemuda UMNO menggesa agar siasatan dilakukan ke atas kejadian tersebut dan pada masa yang sama mendesak agar pihak penganjur, yang terdiri daripada Solidariti Mahasiwa Malaysia dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik, memohon maaf kepada Presiden UMNO dan UMNO keseluruhannya.


Sumber:  rembau.net