9 February 2012

Pinjaman Bukan Sagu Hati Untuk Kerajaan - KWSP

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan bahawa ia tidak memberikan pinjaman kepada individu dan sebaliknya hanya akan memberikan pinjaman awal RM300 juta kepada kerajaan untuk membiayai skim pemilikan rumah bagi golongan tidak mampu di Kuala Lumpur.

Tabung itu memberikan pinjaman berkenaan berasaskan pertimbangan komersil dan dengan jaminan sesuai untuk melindungi kepentingan pencarum, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pelaburan KWSP Dato’ Shahril Ridza Ridzuan.

Beliau berkata KWSP masih dalam perbincangan dengan syarikat tujuan khas (special purpose vehicle) di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan (SPV Yayasan WP) untuk memberikan pinjaman itu.

“Pada asasnya syarat-syarat ini melibatkan kemudahan awal sebanyak RM300 juta dengan pinjaman selanjutnya akan dilluluskan atas budi bicara Panel Pelaburan KWSP tertakluk kepada prestasi memuaskan pengendalian akaun oleh SPV Yayasan WP,” kata beliau.

“ Kemudahan ini akan disemak semula 12 bulan selepas tarikh bayaran terakhir daripada jumlah RM300 juta dibuat,” jelasnya.

Sharil menjelaskan bahaw SPV Yayasan WP akan mengadakan urusan pajakan (Skim Ijarah) dengan peserta individu.

Hakmilik rumah-rumah berkenaan akan dimiliki oleh SPV Yayasan WP sehingga urusan pajakan di bawah Skim Ijarah ini diselesaikan sepenuhnya oleh peserta terlibat.

Pinjaman kepada SPV Yayasan WP adalah terjamin kerana semua unit rumah akan dicaj atau diuntukkan oleh SPV Yayasan WP kepada KWSP, dengan perlindungan jaminan sekurang-kurangnya dua kali ganda amaun pinjaman, kata beliau.

Di samping itu, terdapat penahanan tunai sebanyak 25 peratus daripada pembayaran pinjaman KWSP kepada SPV Yayasan WP yang akan disimpan dalam akaun rizab kecairan yang diuntukkan kepada KWSP bersama-sama dengan semua peruntukan aliran tunai.

“Syarat-syarat perjanjian pinjaman juga dalam risiko boleh diterima KWSP kerana ia dicagarkan terhadap egar dan aliran tunai dengan jaminan yang sesuai ke atas pembayaran balik pinjaman yang dibuat,” tambah beliau.

KWSP difahamkan bahawa SPV Yayasan WP hanya akan memilih peserta yang mempunyai rekod bayaran sewa yang baik,” katanya.

Dato’ Shahril berkata jika peserta tidak dapat membayar balik pinjaman, DBKL akan membeli balik rumah-rumah berkenaan bagi mendapatkan aliran tunai yang diperlukan untuk melunaskan hutang kepada KWSP.

“Berdasarkan syarat-syarat dan aturan jaminan yang telah KWSP kemukakan, KWSP dilindungi sepenuhnya dan kadar keuntungan tahunan sebanyak 5.5 peratus yang dikenakan adalah wajar,” kata beliau.

Pakatan Rakyat sebelum ini mendakwa KWSP menyalah guna simpaanan pencarum dengan memberi pinjaman untuk penduduk miskin yang tidak mampu mendapat pinjaman bank membeli rumah di Kuala Lumpur.

Kira-kira 20,000 dijangka mendapat manfaat daripada skim itu yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 
 
 
Sumber: AntaraPos