Showing posts with label Akidah. Show all posts
Showing posts with label Akidah. Show all posts

27 October 2011

Mengapa Tauhid Tiga Serangkai

SEJAK kemasukan Islam ke Tanah Melayu, umat Islam di negara ini kuat berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang disusun atau diformulasikan oleh dua tokoh terbesar dalam bidang ilmu tauhid iaitu Imam Abu al Hasan al Asy’ari r.a dan Imam Abu Mansur al Maturidi r.a.

Perkara ini telah ditegaskan oleh ulama ulung Tanah Melayu, al Allamah Sheikh Abdullah Fahim.

Beliau juga menyatakan bahawa ia telah menjadi ijmak ulama di Tanah Melayu. Antara kenyataannya berbunyi: “Tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu seMelaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas; awam-awam, kadi-kadi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga Raja-raja sekalian mereka itu bermazhab dengan mazhab al Imam al Syafi’e r.a ijma’an (ijmak), tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafi’e. Usuluddin atas perjalanan Abi al Hasan al Asy’ari r.a. Diambilkan dari Syuruh dan Hawasyi Ummu al Barahin dan Jauharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu”.

Di dalam kitab ini, pendekatan Sifat 20 digunakan bagi memahami permasalahan ketuhanan. Pendekatan ini juga diguna pakai di kebanyakan negara-negara Islam yang berpegang dengan akidah ASWJ seperti di Mesir, Syria dan Morocco. Ia juga menjadi silibus di kebanyakan universiti di dunia Islam termasuklah universiti Islam terulung di dunia, Universiti al Azhar al Syarif.

Sejak doktrin ini diguna pakai di negara kita, kita berupaya mengecapi nikmat keamanan beragama dan ketamadunan negara. Tidak seperti negara-negara Islam lain yang memakai acuan yang bercanggah dengannya seperti aliran fahaman Syiah, Muktazilah, Musyabbihah dan sebagainya. Tidak timbul di dalam doktrin Sifat 20 ini soal-soal kepincangan dan percanggahannya dengan akidah ASWJ yang tulen.

Namun, setelah ratusan tahun pendekatan ini digunakan tanpa sebarang masalah dalam menjaga kemurnian tauhid dan akidah umat Islam, timbul desas-desus yang mengatakan bahawa ia diambil dari Falsafah Greek. Malah, tidak lagi sesuai dijadikan sebagai pendekatan dalam pembelajaran ilmu Tauhid. Sementelahan itu juga, pendekatan tauhid tiga serangkai yang dirumuskan oleh Ibnu Taimiyyah menjadi pengganti Doktrin Sifat 20. 

Usaha-usaha untuk menukar pendekatan tauhid tiga serangkai ini dalam kurikulum pendidikan negara juga nampaknya begitu pantas dilakukan.

Persoalannya, kenapakah tiba-tiba pendekatan ini pula yang perlu dipilih sebagai pengajaran ilmu tauhid di negara kita?

Adakah pendekatan Sifat 20 mengandungi unsur-unsur yang mengelirukan atau terseleweng dari iktikad ASWJ? Adakah pembahagian tauhid tiga serangkai ini telah dinaskan oleh syarak dan terdapat dalil-dalil yang menunjukkan ke atasnya? Apakah kita pasrah sahaja dengan pendapat yang mengatakan doktrin Sifat 20 yang kita pegang dan pakai selama ini bukan tauhid yang benar tetapi diambil dari fahaman falsafah Greek.

Jika begitu, semua orang yang berpegang dengan Tauhid 20 mengikut ajaran yang salah dan sesat. Apakah boleh kita terima penyesatan ini yang melibatkan nenek moyang kita, para ulama kita dan majoriti umat Islam di seluruh dunia?


Dibawa Rasullulah SAW

Kita telah sedia maklum, bahawa akidah ASWJ yang diketahui secara umum ialah akidah yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan diikuti oleh sahabat-sahabat baginda.

Tidak kedapatan langsung, perkataan yang terkeluar daripada Rasulullah SAW dan sahabat baginda yang menyebut tentang tauhid yang digembar-gemburkan oleh pengikut Ibnu Taimiyyah dan Wahhabi ini.

Begitu juga dalam metodologi ASWJ yang telah disusun oleh pelopornya, Imam Abu al Hasan al Asy’ari r.a dan Imam Abu Mansur al Maturidi r.a, tidak pernah menggariskan tauhid ini dalam ruang lingkup akidah ASWJ.

Apa yang kita dapati tauhid ini telah ditimbulkan dan direka oleh Ibnu Taimiyyah dan dikembang biakkan pula oleh anak-anak muridnya sehingga ke generasi Muhammad ibn Abdul Wahhab. Dalam erti kata lain, tauhid inilah yang menjadi pegangan golongan Wahhabi secara khusus.

Sejak dahulu lagi hinggalah ke hari ini, telah terdapat banyak penentangan dan penolakan yang diutarakan oleh ulama terhadap Tauhid 3 Serangkai ini. Oleh yang demikian, kita melihat di dalam kitab-kitab penulisan ulama ASWJ, terdapat banyak butiran lanjut mengenai penolakan mereka terhadap tauhid yang direka cipta ini.

Jika kita menyoroti dari perspektif ulama tersebut, kita mendapati ulama al Azhar telah bersetuju mengeluarkan kenyataan tentang kesalahan tauhid ini yang sebenarnya telah direka dan dicipta oleh orang-orang yang terkeliru dengan maksud sebenar ayat al-Quran dan hadis.

Justeru, kenapa pula kita perlu memakai pendekatan Tauhid 3 Serangkai yang mengandungi kepincangan dan telah ditolak oleh ulama kecuali Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya?

Untuk lebih jelas lagi, di bawah ini disenaraikan beberapa cendekiawan dan sarjana Islam dan kitab penulisan mereka yang mengandungi penolakan terhadap ajaran tauhid rekaan ini:

  • Al ‘Allamah al Mufassir al Muhaddith Sheikh Yusof al Dijwi RA, Ahli Lembaga Majlis Ulama Besar al Azhar.
Beliau mengeluarkan fatwa penolakan al Azhar terhadap tauhid rububiah dan uluhiah. Kenyataannya ini dipaparkan dalam Majalah Nur al Islam edisi tahun 1933 yang merupakan lidah rasmi al Azhar pada masa itu.

Fatwa yang dikeluarkannya ini, turut dipersetujui oleh ulama al Azhar yang lain tanpa adanya sebarang bangkangan. Sehingga hari ini, fatwa tersebut masih lagi segar. Ini dapat dilihat dalam beberapa majalah yang diiktiraf oleh al Azhar. Antaranya, di dalam majalah al Muslim. Al Muhaddith al ‘Allamah Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim r.a telah mengeluarkan kembali fatwa ini dalam majalah tersebut.

  • Al Muhaddith al ‘Allamah Sheikh Salamah al Qudha’i al ‘Azzami al Syafi’i r.a dalam kitabnya al Barahin al Sati’ah fi Raddi b’ad al bida’ al Syai’ah.
Kitab ini telah mendapat pengiktirafan dan pujian daripada muhaddith pada zaman tersebut iaitu al ‘Allamah Sheikh Muhammad Zahid al Kauthari r.a.

  • Al Allamah al Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki al Hasani, ulama besar di Mekah al Mukarramah dan bekas tenaga pengajar Masjid al Haram yang diakui ilmunya oleh ulama pada zaman ini.
Beliau telah menulis penolakannya terhadap tauhid ini dalam kitabnya Huwallah. Bahkan beliau menyarankan kerajaan Arab Saudi supaya mengkaji semula pengajaran tauhid ini di institusi pengajian rendah, menengah dan Tinggi di dalam Muktamar Hiwar al Watoni di Mekah yang diadakan pada 5/11/1424 hingga 9/11/1424. Ia disebut di dalam kertas kerja beliau yang bertajuk al Ghuluw.

  • Mufti Besar Mesir, Prof. Dr. Ali Jumu’ah.
Beliau turut menyentuh masalah ini di dalam laman web beliau ketika menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya. Iaitu, tentang seorang pemuda yang mengkafirkan seluruh penduduk kampung kerana bertawassul dengan mendakwa orang yang bertawassul tergolong dalam golongan musyrikin yang beriman dengan tauhid rububiah tetapi tidak beriman dengan tauhid uluhiah.

Beliau menolak sekeras-kerasnya pembahagian tauhid ini dengan mengatakan bahawa pembahagian tauhid ini adalah perkara rekaan yang tidak pernah datang dari Salafussoleh tetapi orang pertama yang menciptanya ialah Sheikh Ibnu Taimiyyah.

Beliau juga menyatakan bahawa pendapat yang menyatakan bahawa tauhid rububiah sahaja tidak mencukupi bagi keimanan seseorang adalah pendapat yang diadakan-diadakan dan bercanggah dengan ijmak kaum Muslimin sebelum Ibnu Taimiyyah.

  • Prof. Dr. Muhammad Sa’id al Ramadhan Bouti, Ulama Kontemporari Dunia Islam dari Syria.
Beliau menyatakan dengan tegas bahawa pembahagian tauhid ini adalah bidaah dalam Seminar Pengurusan Fatwa Negara-negara Asean anjuran Universiti Sains Islam Malaysia pada pada 16 hingga 17 April 2005 di Hotel Nikko Kuala Lumpur.

  • Prof. Dr. Isa ibn Abdullah Mani’ al Himyari - Mantan Pengarah Jabatan Waqaf dan Hal Ehwal Islam Dubai.
Beliau telah menulis mengenai kepincangan pembahagian tauhid ini di dalam kitabnya yang bertajuk ‘al Fath al Mubin fi Bara’at al Muwahhidin min ‘Aqaid al Musyabbihin.

  • Al ‘Allamah Abu Abdullah ‘Alawi al Yamani dalam kitabnya Intabih Dinuka fi Khatorin.
Kitab ini telah mendapat pujian dari lima ulama besar Yaman.

  • Al ‘Allamah Abu al Hasanain Abdullah ibn Abdur Rahman al Makki al Syafi’i, ulama besar Mekah.
Beliau juga telah membahaskan masalah ini di dalam kitabnya al Qaul al Wajih fi Tanzih Allah Taala ‘an al Tasybih.

  • Dr. Sheikh Yusof al Bakhur al Hasani salah seorang ahli fatwa di Kanada juga telah menulis risalah mengenainya.
  • Sheikh Sirajuddin Abbas seorang ulama unggul Indonesia, juga menghuraikan masalah ini yang ditulis dalam versi Melayu dalam kitabnya Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.
Beliau dengan tegas menyatakan bahawa tauhid ini merupakan iktikad rekaan puak Wahhabi dan bukannya iktikad ASWJ.

Dalam satu petikan, beliau menyatakan: Kaum Wahhabi mencipta pengajian baru ini bertujuan untuk menggolongkan orang-orang yang datang menziarahi Makam Nabi SAW di Madinah, orang-orang yang berdoa dengan bertawassul dan orang yang meminta syafaat Nabi SAW serupa dengan orang kafir yang dikatakan bertauhid rububiah itu.

  • Al ‘Allamah Muhammad al ‘Arabi ibn al Tabbani al Hasani, Tenaga Pengajar di Masjid al Haram.
Beliau juga turut menulis kepincangan tauhid ini di dalam kitabnya Bara’ah al Asy’ariyyin min ‘Aqaid al Mukhalifin.

  • Dr. Umar Abdullah Kamil, sarjana dan pakar ekonomi Arab Saudi serta ahli eksekutif Universiti al Azhar.
Beliau pernah membentangkan kebatilan konsep Tauhid 3 Serangkai ini di dalam Seminar Perpaduan Ummah dan Pemurniaan Akidah anjuran Kerajaan Negeri Pahang pada 25-26 Ogos 2006 dan di Multaqa 3 Ulama Mekah al Mukarramah yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Johor pada 20 Februari 2008.

Kertas kerja tersebut telah diterbitkan oleh Sekretariat Penjelasan Hukum Berkenaan Isu-isu Aqidah dan Syariah Majlis Agama Islam Johor.

Beliau turut membahaskan kepincangan pembahagian tauhid ini di dalam kitabnya yang bertajuk Kalimah Hadi’ah fi Bayan Khata’ al Taqsim al Thulasi li al Tauhid (Perkataan yang tenang dalam menjelaskan kesalahan pembahagian yang tiga bagi ilmu Tauhid).

  • Al Allamah Abdur Rahman Hasan Habannakah al Maidani.
Beliau juga telah menulis masalah ini secara khusus di dalam kitabnya yang bertajuk Tauhid al Rububiah wa Tauhid al Ilahiyyah wa Mazahib al nas bi al Nisbah Ilaihima.

Ulama-ulama ini telah lama melakukan pengkajian dan penelitian rapi terhadap tauhid tiga serangkai ini.

Kepada pembaca yang prihatin dan bijaksana sebaik-baiknya mendapatkan keterangan lanjut dari kitab-kitab ini terlebih dahulu sebelum berani membuat kesimpulan dan melontarkan pendapat di khalayak ramai.


Asas Sahih

Perkara agama apatah lagi berkaitan dengan akidah tidak boleh dibuat kesimpulan sebarangan tetapi perlu merujuk kepada asas yang sahih.

Untuk mempertahankan agama tidak cukup bermodalkan semangat juang dan sijil menjela-jela semata-mata sehingga kita terpekik dan terlolong tidak kena pada tempatnya tetapi memerlukan kemantapan ilmu, kecemburuan terhadap penodaan yang dilakukan ke atas agama dan umatnya, keikhlasan kepada Allah dan hati yang disinari cahaya oleh Allah.

Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya didapati telah menjadikan konsep pembahagian tauhid ini sebagai batu loncatan untuk mengkafirkan umat Islam.

Mereka telah mengkafirkan orang-orang yang bertawassul dengan Rasulullah SAW dan wali-wali, orang-orang yang menziarahi kubur dan sebagainya dengan dakwaan orang yang melakukan pekerjaan tersebut bertauhid dengan tauhid rububiah sahaja tetapi tidak tidak bertauhid dengan tauhid uluhiah.

Mereka menyamakan tauhid yang dimiliki oleh orang-orang yang melakukan pekerjaan ini sama dengan orang musyrikin yang menjadikan berhala sebagai sampingan mereka dengan Allah.

Apakah pernah ketika Rasulullah SAW berdakwah, Baginda SAW mengatakan kepada orang yang memeluk Islam kamu telah mempunyai tauhid rububiah tetapi masih belum memiliki tauhid uluhiah?

Apakah boleh kita katakan orang bukan Islam juga mempunyai tauhid seperti orang Islam atau ahli tauhid?

Objektif tauhid Asma’ dan Sifat digembar-gemburkan untuk menyandarkan kepada Allah SAW makna perkataan tangan, mata, bersemayam, ketawa, turun dan sifat penyerupaan yang lain kepada makna yang hakiki yang dikenali di sisi makhluk.

Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan kerana yang demikian itu menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya.

Sehubungan dengan ini, umat Islam diseru agar sama-sama berfikir dan meneliti dengan hati yang lapang dan dada yang terbuka rasional perkara ini.

Kita seharusnya berbangga dengan ramainya bilangan umat Islam dan berusaha menambah bilangan umat Islam tetapi sebaliknya kita sendiri yang mengecilkan lagi kuantiti umat Islam yang semakin hilang kualitinya hanya kerana permasalahan uluhiah dan rububiah yang sengaja ditimbulkan.

Tidak ada suatu perkara yang lebih buruk daripada mengkafirkan orang Islam yang menyebut kalimah tauhid Laa ilaaha illallah dan mentasdiqkannya di dalam hati.

Banyak kemusnahan yang berlaku di negara-negara Islam disebabkan oleh perkara ini. Kita sendiri telah menyaksikan dengan mata kepala kita bagaimana persengketaan umat Islam telah mencetuskan kelemahan dan kemusnahan terhadap negara-negara Islam seperti di Afghanistan, Yaman, Lebanon, Syria, Mesir dan sebagainya.

Semoga persengketaan dan kehancuran ini tidak terjadi di negara kita Malaysia yang tercinta ini. Justeru, sewajarnya pembahagian ini dibentangkan di atas meja perbincangan secara ilmiah dan profesional serta berlandaskan kepada usul kitab dan sunnah.

Ini hanyalah lontaran awal dari hasil penelitian kami yang dirujuk kepada sumber-sumber yang sahih dan tokoh-tokoh ulama yang berkeahlian. Insya-Allah, penerangan lanjut mengenai tauhid ini akan dikeluarkan pada keluaran akan datang.

Bahan-bahan yang bakal dipersembahkan banyak merujuk kepada kitab penulisan Imam al Haramain al ‘Allamah Ibnu al ‘Arabi al Tabbani bertajuk Bara’ah al Asy’ariyyin. Ia telah diringkaskan oleh al Allamah Prof. Dr. Isa ibn Abdullah Mani’ al Himyari, Mantan Pengarah Jabatan Waqaf dan Hal Ehwal Islam Dubai di dalam kitabnya yang bertajuk ‘al Fath al Mubin fi Bara’at al Muwahhidin min ‘Aqaid al Musyabbihin.


21 October 2011

Selamatkan Akidah Umat Islam

Tanggal 22 Oktober 2011, kita sebagai umat Islam akan melakarkan sejarah. Percubaan untuk menghimpunkan seramai sejuta orang di Stadium Shah Alam. Sama ada berjaya atau tidak, kita serahkan kepada Allah SWT.

Perhimpunan ini yang dianjurkan oleh Sekretariat Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) serta badan-badan bukan kerajaan, NGO-NGO Islam, mewakili pelbagai pertubuhan, institusi-Institusi pendidikan, warga korporat, kelab-kelab sukan dan riadah, persatuan seni mempertahankan diri, pasukan beruniform, kelab-kelab belia, ahli jawatankuasa masjid dan surau, tenaga guru dan lain-lain badan.

Perhimpunan yang bertemakan “Selamatkan Akidah”, secara tidak langsung mahu memberi amaran kepada bukan Islam supaya tidak mencampuri urusan orang Islam dan jangan sekali berani memurtadkan mereka. Saya difahamkan bahawa sekretariat HIMPUN telah berjumpa dengan beberapa orang mufti untuk memohon restu. Para mufti bersepakat bahawa keperluan persoalan aqidah perlu ditangani melalui hujah agama bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik.

Kita sebagai umat Islam mesti memberikan sokongan padu ke atas niat murni ini, jika kita benar-benar sayangkan agama Islam dan negara tercinta, yang berasaskan sistem kenegeraan Melayu. Jangan biarlah negara ini menjadi Singapura yang kedua. Begitu juga dengan Pulau Pinang. Ia mesti dipertahankan sehingga titisan darah yang terakhir. Jika tidak, kita akan menyesal dan dikutuk oleh generasi akan datang kerana gagal mempertahankan kalimah yang mulia ini.

Tujuan HIMPUN amat murni untuk mengukur tahap kesatuan dan semangat kekitaan dikalangan orang Islam khasnya terhadap gerak-kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011. Memberitahu rakyat perlunya persoalan aqidah ditangani melalui hujah agama bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik. Menserlahkan Institusi Raja yang menjadi payung Bangsa Melayu dan Islam dalam hal peranan mereka dalam sama-sama menangani isu yang menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam di negara ini. Menzahirkan kekuatan aqidah dan keimanan masyarakat Islam sambil memberi amaran tentang bahaya yang akan menimpa negara ini seandainya isu ini terus dieksploitasi. Menyedarkan rakyat tentang wujudnya peruntukkan dalam Perlembagaan dan undang-undang negeri yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mengganggu-gugat kesucian Islam serta tindakan mendakwahkan agama selain daripada Islam kepada orang Islam.

Perlu diingatkan bahawa orang Melayu adalah umat Islam yang paling beruntung di dunia ini berbanding dengan umat Islam di negara-negara lain. Melayu dan Islam dilindungi oleh perlembagaan. Islam itu, Melayu itu Islam. Lebih istimewa lagi yang memeluk agama Islam, pun boleh dikira sebagai Melayu mengikut perlembagaan, walaupun bukan Melayu dari segi keturunan. Bermakna, saudara Muslim juga tidak boleh murtad setelah memeluk Islam. Apatah lagi orang Melayu. Inilah peruntukan yang tidak ada dalam dunia. Begitulah beruntungnya umat Islam di negara bertuah ini.

Namun, sayangnya murtad tetap juga berlaku. Bukan Islam begitu berani memurtadkan umat Islam walaupun ia tidak dibenarkan sama sekali. Insiden yang dalam majlis Gereja Katholik Damansara Utama (DUMC) begitu mencabar sama sekali wibawa agama dan umat Islam. Kita mesti bangun sebelum nasi menjadi bubur.

Menurut statistik, setakat ini hanya 168 permohonan murtad diluluskan. Menurut sumber lain jumlah permohonan murtad sebanyak 686 manakala kelulusan diberikan kepada 135 orang. Sabah mendahului dengan 67 orang manakala Negeri Sembilan 33 orang. Menurut Pawanchek Merican, jurucakap Persatuan Peguam Muslim, Mahkamah Syariah Negeri Sembilan telah meluluskan 16 kes meninggalkan Islam. Saya amat yakin jumlah ini jauh lebih besar daripada yang sebenar kerana menurut Mufti Perak, lebih 260,000 telah dimurtadkan. Gerakan memurtadkan umat Islam telah lama berlaku. Apa yang penting bukannya angka, tetapi percubaan dan keberanian mencabar kedaulatan agama Islam. Kita tahu, tetapi buat-buat tidak tahu.

Pihak yang mengambil kesempatan amat licik. Contohnya, pembinaan pusat Kristian antarabangsa, yang dikenali sebagai Calvary Convention Centre (CCC) di Bukit Jalil oleh Calvary Church, atas nama badan kebajikan untuk mendapat pengecualian cukai. Memang menjadi perancangan Kristian untuk menjadikan Malaysia sebagai sasaran Kristianisasi setelah berjaya di negara Melayu yang lain seperti Indonesia.

Bagi mendapat kebenaran merancang, mereka telah mengemukakan plan kepada Dewan Bandaraya sebagai pusat komersial. Apabila mendapat kebenaran merancang, yang dibina bukanlah pusat komersial. Ia hanya sebagai alat, tetapi yang akan muncul nanti sebagai mercu tanda, adalah gereja terbesar di Asia. Itupun mereka masih terus mendesak dan memohon kerajaan membenarkan mereka mendirikan gereja di Putrajaya dan Shah Alam, di kawasan yang mereka amat minoriti. Apakah kita masih buta?

Bagaimana populasi penduduk yang hanya 10 peratus boleh membina sebuah gereja terbesar di Asia dalam sebuah negara Islam? Tidak cukuplah dengan pembinaan patung tertinggi di dunia di Batu Caves. Jangan ulangi kesilapan demi kesilapan. Akhirnya, nanti negara ini akan keluar sebagai sebagai Malaysia boleh dalam segala hal. Di manakah kedudukan tujuh wasiat raja-raja Melayu itu?

Sebagai umat Islam kita sepatutnya menjunjung kasih titah Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibuddin Shah, yang disampaikan mewakili Raja-Raja Melayu sempena Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia Kali Pertama bulan lalu. Antara intipati utama yang terkandung dalam titah diraja baginda ialah supaya umat Islam di negara ini menghayati semangat bersatu padu khususnya dalam mempertahankan maruah agama dan bangsa.

Dengan mengambil contoh bagaimana warga Malaysia berketurunan India dari pelbagai kumpulan politik, para akademia dan pelbagai organisasi, telah bersatu suara dan tindakan, atas nama mempertahankan maruah dalam isu novel Interlok yang dianggap menghina kaum mereka. Hasil kesatuan ini, tuntutan mereka berjaya membuahkan hasil dan semangat bersatu padu inilah yang wajar dijadikan iktibar. Menurut baginda lagi, kelemahan umat Islam yang semakin terserlah menyebabkan pihak-pihak lain bertambah angkuh, dan toleransi umat Islam terus dicabar. Akibatnya, pencerobohan-pencerobohan bentuk baru telah berlaku seperti pelanggaran menghormati kalimah suci Allah yang sekian lama menjadi ‘hak eksklusif’ kepada umat Islam.

Menurut Raja Nazrin lagi, pada ketika umat Islam hari ini dilihat berada dalam kemelut taksub untuk meraih kuasa dan pengaruh politik sehingga sanggup menggadaikan prinsip-prinsip asas agama dan maruah bangsa. Ketaksuban politik di kalangan umat menyebabkan mereka bergembira melihat pihak yang kalah menjadi abu walaupun pihak yang menang hanya akan menjadi puntung-puntung arang.

Ingatlah wahai saudaraku, ramai yang beranggapan bahawa survival umat Islam (Melayu) terletak di tangan parti politik. Tanpa kita sedari sepatutnya survival parti politik itulah yang bergantung kepada umat Islam (Melayu) itu sendiri. Adalah tidak tepat jika bangsa Melayu cuba dimajukan secara reaktif, yakni dengan saranan menyandarkan kekuatan mereka kepada kemenangan parti semata-mata, sedangkan mereka seharusnya dibangunkan secara proaktif dengan mem¬bina kekuatan diri sendiri terlebih dahulu. Kekuatan diri yang akan menguatkan kekuatan parti.

Menurut Pahrol Juoi, parti yang kuat tidak menjamin bangsa yang kuat, kerana perjuangan terhadap agama, bangsa dan negara, tidak boleh berhenti walau apa pun masalah yang melanda parti. Ambillah iktibar dengan apa yang telah berlaku di sekeliling kita kerana Allah SWT mengingatkan kita supaya mengambil iktibar daripada sesuatu peristiwa yang berlaku.

Misalnya, Parti Kongres boleh ditinggalkan apabila rakyat India melihat Kongres hilang upaya oleh masalah dalamannya. Parti Kao¬mintang yang begitu berjasa, ditinggalkan oleh rakyat Taiwan apabila dilihat kurang demokratik terhadap pandangan generasi baru negara. Begitu juga Golkar di Indonesia, Liberal Democratic Party (LDP) di Jepun dan di mana-mana jua. Hakikatnya parti hanyalah satu alat sedangkan kecemerlangan bangsa, agama dan negara adalah satu matlamat. Matlamat hanya ada satu, sedangkan jalan-jalan menuju ke matlamat begitu banyak. Bangsa yang bijak, tidak akan meletakkan hanya satu jalan sahaja untuk mencapai satu matlamat.

Di sinilah terletaknya ke¬matangan berpolitik. Lihatlah politik bukan Islam, mereka meluaskan jalan dan jaringan, bebas untuk bekerja¬sama dengan mana-mana pihak, sama ada pihak NGO, parti politik (kerajaan atau pembangkang), organisasi kor¬porat dan sebagainya tanpa mengira latar belakang dan ideologi. Yang penting matlamat tercapai, survival bangsa terjamin. Apabila mereka menjadi kuat, amat sukar untuk tergugat dan digugat. Akibatnya, kita terpaksa tunduk disebabkan oleh kekuatan mereka.

Titah Raja Nazrin agar Majlis Agama Islam di bawah payung naungan Raja-Raja Melayu berada di barisan hadapan bagi memenuhi peranan kritikal ini perlu dipandang serius oleh pihak-pihak yang berkenaan. Begitu juga titah Sultan Selangor yang mahukan peneraju dan kakitangan penguatkuasaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya jangan terus bersikap “mengalah” atau apologetik ketika berhadapan dengan sebarang percubaan untuk melunturkan akidah orang Islam.

Bukan Islam sengaja mahu mencabar Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988 dipayungi oleh Fasal (1) dan (4) Perkara 11 perlembagaan persekutuan tidak membenarkan pengembangan ajaran agama lain kepada umat Islam. Sesungguhnya, tiada kompromi dalam soal akidah.

Pun begitu langkah preventif pada masa sama mesti diambil. Umat Islam tidak boleh terlalu dilekakan dengan hiburan. Akidah mereka mesti diperkemaskan dan diperhebatkan. Baru-baru ini saya menghadiri taklimat sebuah pertubuhan HIV/AIDS. Nampaknya, kita terlalu tunduk kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, sehingga soal istilah pun kita masih mengalah. Misalnya, istilah pelacur tidak boleh digunakan tetapi digantikan dengan pekerja seks. Seks selamat menggantikan istilah seks bebas atau seks luar nikah. Apa erti semuanya ini? Amat jelas sekali ada gerakan yang seolah-olah mahu melunturkan akidah umat Islam dan menghalalkan apa yang diharamkan oleh Islam. Inilah cabaran yang memerlukan pengorbanan di kalangan kita.

Ayuhlah, tidak kira apa jua latar belakang, ideologi, parti politik dan sebagainya, kita sebagai umat Islam perlu zahirkan tindakan dengan tampil ke hadapan untuk menunjukkan solidariti kita pada 22 Oktober ini. Barulah ketika itu orang lain tidak berani memijak kepala kita lagi. Selamatkan akidah umat Islam!

18 October 2011

Himpunan Sejuta Umat

INFO HIMPUN

Program Himpunan Sejuta Umat dianjurkan oleh Sekretariat Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) serta badan-badan bukan kerajaan, NGO-NGO Islam, penglibatan warga korporat dan warga kerja masing-masing.

Masyarakat Islam khususnya akan menjadi peserta barisan hadapan.  Mereka mewakili pelbagai pertubuhan, institusi-Institusi pendidikan, warga korporat, kelab-kelab sukan dan riadah, persatuan seni mempertahankan diri, pasukan beruniform, kelab-kelab belia, AJK Masjid dan Surau, tenaga guru dan lain-lain badan serta pertubuhan yang akan disenaraikan kemudian.

Sebuah sekretariat akan ditubuhkan.  Sekretariat ini akan dibantu oleh beberapa pasukan kerja yang akan menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan tempat himpunan, kemudahan yang diperlukan, susur atur majlis, penyediaan makanan dan tempat solat, publisiti dan pemberitahuan awam, tetamu jemputan, iklan di media cetak dan elektronik serta media baru dan sebagainya.



Apa yang kita mahu capai dalam Himpunan Sejuta Umat ini?
  • Untuk menerangkan kedudukan perkara yang sebenarnya tidak seperti yang digembar-gembur melalui media.
     
  • Mengukur tahap kesatuan dan semangat kekitaan dikalangan orang Islam khasnya terhadap gerak-kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011.
     
  • Memberitahu rakyat perlunya persoalan aqidah ditangani melalui hujah agama bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik.
     
  • Menserlahkan Institusi Raja yang menjadi payung Bangsa Melayu dan Islam dalam hal peranan mereka dalam sama-sama menangani isu yang menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam di negara ini.
     
  • Menzahirkan kekuatan aqidah dan keimanan masyarakat Islam sambil memberi amaran tentang bahaya yang akan menimpa negara ini seandainya isu ini terus dieksploitasi.
     
  • Menyedarkan rakyat tentang wujudnya peruntukkan dalam Perlembagaan dan undang-undang negeri yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mengganggu-gugat kesucian Islam serta tindakan mendakwahkan agama selain daripada Islam kepada orang Islam.



Himpunan  Sejuta Umat ini akan dikendalikan mengikut lunas-lunas berikut:
  • Keseluruhan pengendalian program dari awal hingga akhir sama sekali tidak menggambarkan kecenderungan berpolitik.
     
  • Peserta himpunan terdiri daripada semua rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan agama dan afiliasi politik  (Walaupun
    perhimpunan ini secara logiknya akan disertai oleh orang Islam namun penyertaan mereka yang bukan Islam dialu-alukan).
     
  • Himpunan ini adalah perhimpunan aman yang mendapat kebenaran pihak yang berkuasa.
     
  • Tema himpunan tertumpu atau fokus kepada kegiatan kristianisasi, kesan dan cabarannya kepada masyarakat majmuk di negara ini.
     
  • Penyertaan Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai tonggak atau payung bangsa Melayu dan Agama Islam adalah sangat munasabah dan bertepatan pada masa dan ketikanya.


Tarikh:
22 Oktober 2011 | Sabtu

Masa:
2.00 petang hingga 6.00 petang

Tempat:
Stadium Shah Alam, Selangor Darul Ehsan

Tentatif awal program Himpunan Sejuta Umat (akan dikemaskini dalam masa terdekat):
  • Ucapan penganjur mengalu-alukan penyertaan para peserta himpunan
  • Alunan Asma Ul-Husna
  • Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan terjemahan
  • Nasyid bertemakan jihad mempertahankan kesucian Islam
  • Ucapan tetamu utama
  • Ucapan  wakil-wakil NGO terpilih
  • bacaan ikrar mempertahankan kesucian Islam
  • Menyampaikan logo Himpunan Sejuta Umat kepada wakil-wakil negeri sebagai tanda komitmen mereka penganjuran himpunan yang sama diperingkat negeri-negeri.

Semua umat Islam dijemput menghadiri Perjumpaaan ini tanpa mengira bangsa, fahaman politik dan latarbelakang.

Portal Resmi : Himpunan Sejuta Umat