Showing posts with label Pembangkang. Show all posts
Showing posts with label Pembangkang. Show all posts

3 January 2012

Tindakan Hasut Sertai Perhimpunan 9 Jan Gugat Ketenteraman Awam

Tindakan menghasut orang ramai untuk berhimpun di kawasan Mahkamah Tinggi di sini pada 9 Jan ini boleh menggugat ketenteraman awam selain menghina pentadbiran sistem keadilan negara, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak terpedaya dengan hasutan pihak yang tidak bertanggungjawab yang sengaja ingin membawa masalah mereka ke jalanan dan seterusnya menghuru-harakan negara.

"Banyak kain rentang yang digantung di tempat awam, serta mesej-mesej melalui media sosial yang mengajak dan menghasut orang ramai supaya berkumpul di perkarangan mahkamah pada hari mahkamah membuat keputusan kes perbicaraan (ketua pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim 9 Jan ini.

"Ini adalah menghairankan kerana mahkamah masih belum membuat apa-apa keputusan mengenai kes tersebut," katanya dalam kenyataan dalam Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata setakat ini, 168 laporan polis diterima di seluruh negara daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan, peniaga, persatuan, ahli politik dan orang awam sebagai membantah kempen mengadakan perhimpunan itu.

"Saya berharap pemimpin atau penganjur perhimpunan tersebut menarik balik rancangan mereka untuk mengadakan perhimpunan itu kerana ia akan menyusahkan orang ramai, khususnya masyarakat umum di Kuala Lumpur," kata Mohmad dalam satu kenyataan.

Beliau turut meminta penulis-penulis blog yang menggesa orang ramai menyertai perhimpunan itu supaya menghentikan penulisan mereka dengan serta-merta.

Melahirkan pandangan serupa dengan Khalid, Mohmad berkata: "Perbuatan itu boleh mengundang berlakunya pelanggaran undang-undang, menggugat ketenteraman awam dan menghina pentadbiran sistem keadilan negara kita."

Mohmad seterusnya mengeluarkan amaran berikut: "Pada hari tersebut, sesiapa yang terlibat atau menyertai mana-mana pihak untuk meneruskan juga perhimpunan ini, polis akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada."

Sementara itu, Ketua Trafik Kuala Lumpur ACP Rusli Mohd Noor berkata polis akan mengumumkan persediaan untuk menghadapi rancangan perhimpunan tersebut, termasuk penutupan jalan.

 
Sumber: BERNAMA

2 January 2012

PKR Ketepi Pembangunan Modal Insan

Tindakan Yayasan Selangor di bawah kepimpinan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tetap mahu merobohkan Asrama Yayasan Selangor di sini, menunjukkan mereka lebih mementingkan soal ekonomi daripada pembangunan modal insan.

Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, tindakan itu hanya menunjukkan wajah sebenar kerajaan negeri yang mendakwa memperjuangkan keadilan serta kebajikan untuk rakyat.

"Peliknya, mengapa asrama berkenaan yang menyediakan peluang pendidikan kepada anak- anak luar bandar Selangor yang kurang berkemampuan dan miskin untuk dihantar ke sekolah kawalan di bandar yang baik, hendak dihentikan?

"Kerajaan negeri sanggup menggadaikan kebajikan masyarakat luar bandar demi keuntungan jangka pendek berbanding pembangunan modal insan yang sangat penting bagi jangka panjang," kata beliau.

Kelmarin, Gerakan Saya Anak Yayasan Selangor (GSAYS) memaklumkan ruang perbincangan dengan pihak berkenaan agar menimbang semula keputusan merobohkan asrama itu telah tertutup apabila Yayasan Selangor membuka tender kepada pemaju yang berminat untuk membangunkan tanah tapak asrama yang akan dirobohkan nanti.

Lebih mengecewakan, pihak Yayasan Selangor atau kerajaan negeri dikatakan tidak menyediakan alternatif untuk membina asrama baru bagi menggantikan asrama yang akan dirobohkan itu nanti.

Tambah Syed Anuar, rakyat perlu menilai semula kerajaan negeri yang telah diberikan mandat untuk memerintah itu tetapi gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan menghukum mereka dalam pilihan raya akan datang.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, perkembangan terbaru tersebut merupakan berita dukacita kepada warga pendidik kerana asrama seperti itu sepatutnya diperbanyakkan, bukan dikurangkan.

"Langkah mengutamakan keuntungan dan kebendaan itu dilihat tidak selari dengan pembangunan insan serta usaha kerajaan untuk memberi peluang kepada pelajar luar bandar menuntut di sekolah ternama di kawasan bandar.

"Saya kira asrama ini sudah ada sejak tahun 1970-an lagi dan sudah beribu-ribu pelajar asrama itu yang telah mendapat manfaat," ujarnya.

Alimuddin yang merupakan bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, Yayasan Selangor perlu menyediakan asrama baru yang lebih baik bagi menampung lebih banyak pelajar di tempat lain jika mereka tetap mahu merobohkan asrama tersebut.

 
Sumber: Utusan - Md. Azrin Rosly